Dua Ulasan Cochrane yang diterbitkan baru-baru ini adalah ulasan yang terakhir dalam satu siri ulasan sistematik yang meringkaskan bukti mengenai kesan intervensi yang berbeza untuk merawat obesiti dan berat badan berlebihan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Ulasan-ulasan ini meringkaskan hasil 114 kajian yang melibatkan lebih dari 13,000 kanak-kanak dan orang muda. Ia menunjukkan bahawa gabungan pemakanan, aktiviti fizikal dan intervensi perubahan tingkah laku boleh mengurangkan berat badan dalam kalangan kanak-kanak yang berumur enam hingga 11 tahun dan remaja yang berusia 12 hingga 17 tahun, tetapi terdapat batasan dalam kajian dan variasi keputusan.
Obesiti kanak-kanak dan remaja adalah salah satu kebimbangan kesihatan awam global yang utama. Pertambahan berat badan yang cepat dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun telah meningkat secara global, dan mempunyai kesan kesihatan mental dan fizikal yang ketara seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, asma, masalah tidur dan perasaan harga diri yang rendah. Obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja boleh berterusan sehingga dewasa, dan ini meningkatkan risiko kesihatan yang buruk di kemudian hari.
Kedua-dua Ulasan Cochrane terkini ini akan memaklumkan kerja yang sedang dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Dua ulasan ini melihat kesan pemakanan, aktiviti fizikal dan intervensi tingkah laku dalam merawat kanak-kanak dengan berat badan berlebihan atau obesiti dari enam tahun hingga dewasa. Kedua-dua ulasan ini adalah terakhir dalam satu siri enam ulasan yang merangkumi pembedahan, terapi dadah, intervensi yang mensasarkan ibu bapa sahaja, dan intervensi gaya hidup untuk kanak-kanak pra-sekolah.
Ulasan mengenai kanak-kanak melihat bukti dari 70 kajian yang dijalankan ke atas lebih dari 8,000 dari kanak-kanak yang berusia enam hingga 11 tahun dari Eropah, Amerika Syarikat, Kanada, New Zealand, Australia, Jepun dan Malaysia. Kebanyakan kajian membandingkan intervensi perubahan tingkah laku tanpa rawatan atau penjagaan biasa. Majoriti kajian (65/70) melibatkan kedua-dua anak dan ibu bapa atau penjaga mereka.
Kualiti bukti adalah rendah tetapi mencadangkan apabila dibandingkan dengan tiada rawatan atau penjagaan biasa, intervensi yang menggabungkan pemakanan, aktiviti fizikal dan perubahan tingkah laku mungkin mempunyai kesan kecil dan jangka pendek dalam mengurangkan berat badan dan skor-z indeks jisim badan (Ukuran proksi lemak badan berdasarkan berat berkaitan dengan ketinggian, jantina dan umur. Para penyelidik kurang mengetahui tentang kesan pemakanan, aktiviti fizikal dan perubahan tingkah laku terhadap perasaan harga diri dan kualiti hidup, kerana sebahagian kecil daripada kajian-kajian yang terlibat melihat penghasilan ini. Terdapat kejadian kesan sampingan yang sangat rendah; dua kajian melaporkan sebilangan kecil kesan sampingan tetapi ini tidak dianggap berkaitan dengan pengambilan bahagian dalam kajian.
Ulasan terhadap remaja mendapati 44 kajian lengkap yang melibatkan hampir 5000 orang muda yang berumur antara 12 hingga 17 tahun dengan berat badan berlebihan atau obesity. 50 kajian selanjutnya masih dijalankan dan belum lagi melaporkan hasilnya. Kebanyakan kajian menilai gabungan kesan pemakanan, aktiviti fizikal dan perubahan tingkah laku, tetapi terdapat variasi dalam kandungan dan tempoh intervensi dan penghantaran, serta cara perbandingan digunakan. Terdapat bukti berkualiti sederhana bahawa gabungan pemakanan, aktiviti fizikal dan perubahan tingkah laku mengurangkan berat badan remaja sebanyak kira-kira tiga setengah kg, dan bukti berkualiti rendah bahawa intervensi ini dapat mengurangkan indeks jisim badan sehingga sedikit melebihi satu kg/m2. Kesan ini dikekalkan dalam kajian jangka panjang yang berlangsung sehingga dua tahun.Penemuan dari ulasan ini juga mencadangkan kualiti kehidupan yang agak baik tetapi tidak menemui bukti kukuh megenai kelebihan atau kekurangan untuk meningkatkan perasaan harga diri anak muda, aktiviti fizikal dan pengambilan makanan.
Keputusan kajian berbeza dalam kedua-dua ulasan dan pengarang melihat sebab-sebab berkemungkinan untuk ini. Walau bagaimanapun, mereka tidak dapat menjelaskan variasi dengan pasti dalam keputusan kajian. Pengarang-pengarang tidak dapat mencari perbezaan dalam keputusan apabila melihat pelbagai jenis intervensi, penetapan intervensi atau sama ada ibu bapa terlibat dalam intervensi. Kedua-dua ulasan ini menyerlahkan keperluan untuk penyelidikan lebih lanjut untuk menerokai variasi antara keputusan kajian dengan lebih mendalam .
Dr Emma Mead, yang mengetuai ulasan untuk kanak-kanak enam hingga 11 tahun sebagai sebahagian daripada PhD beliau di Sekolah Kesihatan dan Penjagaan Sosial, di Teesside University, UK, mengatakan penemuan ini menyempurnakan gambaran yang sangat kompleks mengenai topik kesihatan global yang penting: "Ulasan-ulasan ini adalah penting kerana mereka menyediakan bukti paling terkini untuk menunjukkan bahawa intervensi perubahan tingkah laku dapat membantu merawat kanak-kanak yang berlebihan berat badan dan obesiti. Walau bagaimanapun, kita perlu bekerja lebih untuk memahami cara mengekalkan kesan positif intervensi setelah ia diselesaikan, dan memahami intervensi yang paling sesuai di negara yang berpendapatan rendah, dan untuk keluarga dari latar belakang sosio-demografi yang berlainan. "
Dr Lena Al-Khudairy, Penyelidik Felow dari Bahagian Sains Kesihatan di University Warwick, UK, yang mengetuai ulasan remaja, berkata: "Pendekatan yang menggabungkan beberapa intervensi boleh berkesan untuk mengatasi berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan remaja, tetapi kita masih perlu mengetahui lebih lanjut tentang komponen tertentu yang paling berkesan dan dalam siapa, dan juga penting untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pandangan remaja tentang intervensi tersebut. "
Petikan penuh:
Mead E, Brown T, Rees K, Azevedo LB, Whittaker V, Jones D, Olajide J, Mainardi GM, Corpeleijn E,
O'Malley C, Beardsmore E, Al-Khudairy L, Baur L, Metzendorf M-I, Demaio A, Ells LJ. Diet, physical activity and behavioural interventions for the treatment of overweight or obese children from the age of 6 to 11 years. Cochrane Database of Systematic Reviews 2017. Issue 6. Art. No.: CD012651. DOI: 10.1002/14651858.CD012651.pub1
Al-Khudairy L, Loveman E, Colquitt JL, Mead E, Johnson RE, Fraser H, Olajide J, Murphy M, Velho
RM, O'Malley C, Azevedo LB, Ells LJ, Metzendorf M-I, Rees K. Diet, physical activity and behavioural interventions for the treatment of overweight or obese adolescents aged 12 to 17 years. Cochrane Database of Systematic Reviews 2017. Issue 6. Art. No.: CD012691. DOI: 10.1002/14651858.CD012691.pub1
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi,
Jo Anthony
Pegawai Kanan Media dan Komunikasi, Cochrane
M +44(0) 7582 726 634 E janthony@cochrane.org or pressoffice@cochrane.org
Mengenai Cochrane
Cochrane adalah rangkaian global yang bebas yang terdiri daripada penyelidik, profesional, pesakit, penjaga dan orang yang berminat dengan kesihatan. Cochrane menghasilkan ulasan yang mengkaji semua bukti yang terbaik yang dihasilkan melalui penyelidikan dan membuatkan ia lebih mudah untuk memaklumkan keputusan tentang kesihatan. Ini dipanggil ulasan sistematik. Cochrane adalah sebuah organisasi yang bukan untuk keuntungan yang bekerjasama dengan rakan usaha daripada lebih 120 buah negara untuk menghasilkan maklumat kesihatan yang boleh dipercayai, boleh diakses yang bebas daripada penajaan komersial dan konflik kepentingan yang lain. Kerja kami diiktiraf sebagai mewakili standard emas antarabangsa untuk maklumat berkualiti tinggi, yang dipercayai.
Dapatkan maklumat lanjut di cochrane.org
Ikut kami di Twitter @cochranecollab
Sekiranya anda seorang wartawan atau ahli akhbar dan ingin menerima makluman berita sebelum penerbitan dalam talian atau jika anda ingin mengatur wawancara dengan penulis, sila hubungi pejabat akhbar Cochrane: pressoffice@cochrane.org