Stoking kompresi bersenggat untuk pencegahan trombosis vena dalam semasa tinggal di hospital

Latar belakang

Trombosis vena dalam (DVT) ialah pembentukan klot darah dalam vena yang dalam di badan, biasanya berlaku di vena kaki atau pelvis. Beberapa faktor seperti kurang mobiliti, usia lanjut, obesiti, kanser yang aktif, pembedahan major, kecederaan besar, sejarah DVT terdahulu, sejarah DVT keluarga, dan tempoh sakit terbaharu boleh meningkatkan risiko pembentukan DVT. Pesakit hospital yang mempunyai satu atau lebih faktor risiko, berisiko besar untuk DVT, sama ada sejurus selepas pembedahan atau jika mereka kurang mobiliti akibat penyakit perubatan.

Gejala DVT berbeza-beza dari tiada sakit kepada kesakitan dan kebengkakan di kaki. Klot darah boleh bergerak dari kaki ke paru-paru dan mengakibatkan embolisme paru-paru (PE) serta kematian. Rawatan utama untuk DVT termasuklah penggunaan ubat-ubatan penipisan darah (antikoagulasi). Trombosis vena dalam biasanya sembuh, tetapi ia boleh mengakibatkan kesan-kesan jangka panjang seperti tekanan vena yang tinggi pada kaki, kesakitan kaki, kebengkakan, kulit menjadi dan keradangan.

Trombosis vena dalam dapat dicegah dengan penggunaan stocking kompresi atau ubat-ubatan. Ubat-ubatan boleh menyebabkan perdarahan yang menjadi kebimbangan dalam kalangan pesakit pembedahan. Stoking kompresi bersenggat (GCS) membantu mencegahkan pembentukan klot darah di kaki dengan aplikasi amaun tekanan yang berbeza ke bahagian-bahagian kaki yang berlainan.

Ciri-ciri kajian dan keputusan utama

Kami mengenal pasti 20 kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta dibahagikan kepada kumpulan rawatan secara rawak) (2853 unit analitik yang terdiri daripada 1681 pesakit individu dan 1172 kaki individu) dalam carian terkini kami pada 12 Jun 2018. Sembilan kajian membandingkan kumpulan yang memakai stoking dengan tanpa stoking, dan 11 kajian lain membandingkan stoking dan kaedah yang berlainan. Kaedah-kaedah lain yang digunakan adalah dextran 70, aspirin, heparin, dan kompresi berurutan mekanikal. Daripada 20 kajian, 10 melibatkan pesakit yang menjalani pembedahan am; enam melibatkan pesakit yang menjalani pembedahan ortopedik; tiga kajian individu melibatkan pesakit yang menjalani neurosurgeri, pembedahan jantung, dan pembedahan ginekologi; dan hanya satu kajian melibatkan pesakit perubatan (pesakit yang dimasukkan ke hospital atas sebab yang lain daripada pembedahan). Stoking kompresi digunakan sehari sebelum pembedahan atau pada hari pembedahan dan dipakai sehingga keluar hospital atau sehingga pesakit bergerak sepenuhnya. Stoking paras peha digunakan dalam kebanyakan kajian yang disertakan. Keseluruhan kajian-kajian yang disertakan adalah berkualiti tinggi. Kami mendapati pemakaian GCS mengurangkan keseluruhan risiko DVT dan mungkin juga DVT di paha. Kami mendapati bahawa GCS juga dapat mengurangkan risiko PE dalam kalangan pesakit yang menjalani pembedahan. Oleh kerana hanya satu kajian yang memasukkan pesakit perubatan, keputusan untuk populasi ini adalah terhad. Kejadian masalah yang berkait dengan pemakaian GCS tidak dilapor dengan baik di dalam kajian-kajianyang disertakan.

Kualiti bukti

Ulasan kami mengesahkan GCS berkesan mengurangkan risiko DVT dalam kalangan pesakit pembedahan di hospital (bukti kualiti tinggi). Ulasan ini juga menunjukkan GCS mungkin dapat mengurangkan risiko DVT di paha (DVT proksimal, bukti berkualiti sederhana) dan risiko PE (bukti berkualiti rendah). Alasan menurunkan gred kualiti bukti termasuklah kadar kejadian yang rendah (iaitu bilangan peserta DVT yang rendah) dan ketidakpastian kerana hanya sejumlah kecil pesakit yang disaring untuk DVT atau PE proksimal secara rutin. Bukti terhad adalah sedia ada bagi pesakit-pesakit di hospital, dengan hanya satu kajian yang mencadangkan GCS mungkin mencegah DVT dalam kalangan pesakit-pesakit tersebut.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Zi Yan Chiah (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi (Chris_ZY@live.com)

https://www.cochrane.org/ms/CD001484/stoking-kompresi-bersenggat-untuk-pencegahan-trombosis-vena-dalam-semasa-tinggal-di-hospital