Soalan-soalan: Adakah ubat tekanan darah mencegah strok, penyakit pembuluh darah yang lain dan demensia; dalam kalangan penghidap strok atau strok ringan Apakah sasaran tekanan darah yang terbaik bagi pencegahan strok, penyakit pembuluh darah yang lain dan demensia; dalam kalangan pesakit strok atau strok ringan?
Latar belakang: Strok, disebabkan oleh pembuluh darah yang tersumbat atau berdarah di dalam otak menjejaskan lebih kurang 14 juta manusia serata dunia setiap tahun. Pemandiri strok mempunyai penambahan risiko mendapat ulangan strok, penyakit pembuluh darah yang lain dan demensia. Tekanan darah tinggi merupakan faktor risiko penting yang boleh meningkatkan risiko ini. Ubatmenurunkan tekanan darah diketahui dapat mencegah strok yang pertama kali. Walau bagaimanapun, penurunan tekanan darah yang keterlaluan (menggunakan ubat tekanan darah) dalam kalangan pemandiri strok berkemungkinan memudaratkan terutamanya sebaik sahaja selepas kejadian strok. Yang demikian, kami mengulas kajian yang telah menguji ubatan yang menurunkan tekanan darah yang dimulakan sekurang-kurangnya 48 jam selepas strok atau strok ringan.
Ciri-ciri kajian: ulasan ini adalah terkini sehingga Ogos 2017. Kami masukkan 11 kajian yang melibatkan 38,742 peserta: lapan kajian menilai kesan ubat tekanan darah, dan tiga kajian membandingkan sasaran tekanan darah yang berlainan. Sepuluh kajian telah berlandaskan hospital dan satu kajian dilakukan dalam persekitaran pengamal perubatan am. Tidak semua kajian yang telah menyumbangkan maklumat kepada semua hasil kesudahan.
Keputusan utama: ubat-ubat tekanan darah menurunkan risiko ulangan strok dalam kalangan penghidap strok atau TIA, manakala bukti yang ada adalah tidak mencukupi untuk membuat kesimpulan samada ianya mengurangkan risiko penyakit pembuluh darah yang lain dan demensia. Bukti juga tidak mencukupi untuk membuat kesimpulan sasaran tekanan darah terbaik bagi pesakit yang menghidap strok atau TIA.
Kualiti bukti: secara keseluruhannya, kualiti kajian-kajian dalam ulasan ini adalah sederhana. Walau bagaimanapun, kami menemui keputusan yang seakan dengannya di dalam analisis yang menggunakan hanya kajian yang berkualiti tinggi sahaja. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menyiasat sama ada ubat-ubat tekanan darah juga mencegah demensia dan sasaran tekanan darah yang terbaik untuk pesakit yang menghidapi strok atau TIA.
Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Azlan Husin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my