Adakah kursus-kursus yang bertujuan untuk meningkatkan cara komunikasi petugas kesihatan profesional dengan penghidap kanser mempunyai impak terhadap kesihatan fizikal dan mental mereka?

Apakah tujuan ulasan ini? 
Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada latihan kemahiran komunikasi (CST) untuk petugas kesihatan profesional yang berurusan dengan penghidap kanser mempunyai impak terhadap cara komunikasi petugas kesihatan profesional dan kesihatan fizikal dan mental pesakit.

Apakah jenis-jenis kajian yang telah kami masukkan? 
Kami memasukkan kajian-kajian rawak (RCTs) sahaja yang menilai kesan CST dalam golongan petugas kesihatan profesional (doktor, jururawat dan profesional kesihatan yang lain) yang berurusan dengan pesakit-pesakit kanser. Kami memasukkan beberapa jenis CST dan menilai kesannya terhadap petugas kesihatan profesional dan pesakit-pesakit mereka melalui hasil kajian yang dilaporkan seperti berikut: penggunaan soalan-soalan terbuka, memahami kebimbangan pesakit, pemberian maklumat yang sesuai, menunjukkan empati, penggunaan kandungan fakta, kepenatan petugas kesihatan profesional dan kebimbangan pesakit.

Apakah dapatan utama ulasan ini? 
Kami mendapati 17 RCTs yang membandingkan CST dengan tiada CST. Kajian-kajian telah menjalankan pertemuan dengan pesakit-pesakit sebenar dan simulasi untuk mengukur hasil kajian komunikasi tersebut. Bukti tentang sama ada CST meningkatkan penggunaan soalan terbuka adalah sangat tidak menentu. Walau bagaimanapun, kami menunjukkan bahawa CST mungkin meningkatkan empati petugas kesihatan profesional dan mengurangkan kemungkinan mereka memberikan fakta-fakta sahaja tanpa menunjukkan respon berdasarkan emosi individu pesakit atau menunjukkan sokongan. CST mungkin tidak mempunyai kesan terhadap keupayaan petugas kesihatan profesional untuk menguraikan kebimbangan atau memberikan maklumat yang sesuai.

Bukti juga mencadangkan bahawa kemungkinan CST dapat mencegah kepenatan petugas kesihatan profesional adalah rendah kepastiannya dan ia adalah sangat tidak pasti sama ada CST ada kesan terhadap kebimbangan pesakit.

Apakah yang dimaksudkan? 
CST mungkin membantu petugas kesihatan profesional menunjukkan empati yang lebih terhadap pesakit-pesakit mereka, dan mungkin meningkatkan aspek-aspek kemahiran komunikasi tertentu. Perubahan-perubahan ini mungkin membawa dapatan pesakit yang lebih baik; namun, bukti terkemudian adalah sangat tidak menentu dan lebih banyak kajian diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Julie Yeo (Taylor's University, Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi julieyeohh@gmail.com

https://www.cochrane.org/ms/CD003751/adakah-kursus-kursus-yang-bertujuan-untuk-meningkatkan-cara-komunikasi-petugas-kesihatan-profesional