iStent untuk glaukoma sudut terbuka

Apakah tujuan ulasan ini? 
Tujuan kajian Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada implantasi satu atau lebih iStent atau peranti suntikan (iStent) lebih berkesan untuk mengelakkan pesakit yang mempunyai glaukoma sudut terbuka primer memerlukan ubat titis glaukoma (iaitu ‘bebas rawatan ubat titis’) berbanding dengan rawatan perubatan yang konvensional, laser, atau rawatan pembedahan. Ubat titis glaukoma digunakan untuk mengawal kadar tekanan cecair di dalam mata pesakit (dipanggil sebagai tekanan intraokular (IOP). Kami juga melihat perubahan secara purata dalam bilangan titisan ubat glaukoma yang diperlukan untuk mengawal IOP dari asas, perubahan purata dalam IOP dari awal (iaitu sebelum rawatan), dan kualiti kehidupan yang berkaitan dengan kesihatan seperti yang ditakrifkan oleh penyelidik kajian. Kami telah memeriksa semua hasil kajian pada jangka masa pendek (kurang daripada 6 bulan), jangka masa sederhana (6 hingga ≤ 18 bulan), jangka masa panjang (> 18 bulan dan ≤ 36 bulan) dan lebih daripada masa 36 bulan. Kami mengumpul dan menganalisis semua percubaan terkawal rawak yang berkaitan (RCTs; kajian klinikal di mana pesakit dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu kumpulan rawatan) untuk menjawab soalan ini dan kami mendapati tujuh RCT yang menilai iStent.

Mesej utama 
Terdapat bukti kualiti yang sangat rendah bahawa rawatan dengan iStent mungkin menghasilkan kadar yang tinggi untuk mereka bebas rawatan ubat titik pada jangka masa sederhana atau mempunyai kawalan yang lebih baik terhadap IOP mereka. Tiada satu pun daripada tujuh RCT tersebut yang meneliti bagaimana iStent memberi kesan kepada kualiti hidup dan laporan mengenai komplikasinya sangat pelbagai. Buat masa ini, keputusan praktik klinikal harus berdasarkan penilaian pembekal dan keutamaan pesakit, memandangkan hasil kajian tidak konsisten dan risiko berat sebelah dalam kajian berkaitan yang diterbitkan sehingga kini.

Apakah yang telah kami kaji dalam ulasan ini? 
Glaukoma adalah sekumpulan penyakit mata yang menyebabkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan terhadap saraf optik mata. Sekiranya tidak dirawat, glaukoma boleh menyebabkan buta. Peningkatan IOP adalah satu-satunya faktor risiko yang boleh dimodifikasi untuk glaukoma sudut terbuka, iaitu jenis glaukoma yang paling banyak berlaku. Rawatan konvensional yang pertama untuk glaukoma sudut terbuka adalah rawatan perubatan (contohnya ubat titis glaukoma) atau rawatan laser. Pembedahan, yang mempunyai profil risiko yang lebih tinggi, ditawarkan apabila glaukoma semakin teruk walaupun setelah mendapat rawatan ubat atau laser.

Prosedur pembedahan glaukoma yang invasif secara minimal melibatkan implantasi peranti seperti iStent. Ianya dicadangkan sebagai alternatif yang lebih selamat berbanding pembedahan glaukoma biasa pada mereka yang mempunyai glaukoma sudut terbuka yang minimal atau sederhana. IStent membuat ‘pintasan’ di antara ruang hadapan mata dan laluan saliran cecair semula jadinya. Pintasan ini meningkatkan aliran cecair keluar dari mata, yang mana boleh mengurangkan IOP dan keperluan untuk menggunakan ubat titis glaukoma untuk mengawal IOP.

Apakah hasil utama ulasan ini? 
Kami mengenal pasti empat RCT yang melibatkan peserta rawak dengan rawatan iStents dan kombinasi pembedahan katarak (dipanggil phacoemulsification) atau dengan phacoemulsification sahaja. Di samping itu, kami mengenal pasti dua RCT yang melibatkan peserta mendapat rawatan dengan iStents atau rawatan perubatan. Kami juga mengenal pasti satu RCT yang mana peserta rawak mendapat rawatan dengan satu iStent, dengan dua iStent, atau dengan tiga iStent. Pengilang iStent telah menyediakan pembiayaan dan penajaan untuk semua RCT dalam kajian ini.

Berdasarkan bukti kualiti yang rendah, kami mendapati bahawa peserta yang menerima iStent yang dikombinasi dengan pembedahan katarak lebih cenderung bebas rawatan ubat titis dan mungkin mengalami pengurangan sedikit dalam jumlah titisan glaukoma yang digunakan setiap hari untuk mengawal IOP dalam jangka masa sederhana, berbanding dengan peserta yang menjalani pembedahan katarak sahaja; Walau bagaimanapun, secara dasarnya tiada perbezaan perubahan purata dalam IOP antara kedua-dua kumpulan.

Oleh kerana kepelbagaian yang ketara, kami tidak menjalankan analisis kedua-dua kajian yang membandingkan rawatan dengan iStent dan terapi perubatan. Penyelidik kepada kedua-dua kajian itu melaporkan bahawa tiada peserta dalam kumpulan terapi perubatan itu yang bebas ubat titis selama 12 bulan, berbanding kumpulan yang mendapat rawatan iStent, 90% peserta bebas ubat titis. Data mencadangkan bahawa rawatan dengan dua atau tiga iStents mungkin lebih berkesan daripada rawatan dengan satu iStent dari segi kawalan IOP.

Tiada satu pun daripada tujuh kajian ini memasukkan maklumat mengenai kualiti hidup, manakala perbezaan dari segi komplikasi atau kesan sampingan antara kumpulan rawatan adalah tidak pasti memandangkan hanya sedikit kejadian yang dilaporkan dan keberkesanannya adalah berbeza-beza.

Adakah ulasan ini terkini? 
Kami telah mencari kajian yang diterbitkan sehingga 17 Ogos 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syarifah Amirah Balqis Awang (Lincoln University College). Disunting oleh Rosnani Zakaria (universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi syamirahbalqis3@gmail.com.

https://www.cochrane.org/ms/CD012743/istent-untuk-glaukoma-sudut-terbuka