Apakah tujuan ulasan ini?
Tujuan Ulasan Cochrane adalah untuk mengetahui samada perubatan herba adalah berguna untuk pesakit retinopati diabetes bila dibandingkan dengan plasebo, tidak ada rawatan, perubatan bukan herba (lazim) atau rawatanpembedahan. Para penyelidik Cochrane mengumpul dan menganalisa semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini dan menemui 10 kajian.
Mesej-mesej utama.
Tidak dapat dipastikan samada perubatan herba mempunyai manfaat kepada pesakit retinopati diabetes.
Apakah kajian ulasan ini?
Diabetes merupakan keadaan sepanjang hayat yang bermakna terdapat kandungan gula yang terlalu banyak dalam darah. Kebiasaannya, tubuh badan kita mengawal tahap gula di dalam darah melalui hormon yang dinamakan insulin. Dalam diabetes, samada insulin tidak mencukupi untuk mengawal gula, atau insulin gagal bertindak. Pesakit diabetes boleh mengalami masalah mata. Tahap gula yang tinggi boleh menjejaskan salur darah di bahagian belakang mata. Ini dikenali sebagai retinopati diabetes dan boleh mengakibatkan masalah penglihatan, termasuk buta dalam kes-kes melampau.
Di serata dunia, banyak herba perubatan atau ekstrak herba digunakan untuk merawat retinopati diabetes. Para penyelidik Cochrane mengkaji enam jenis perubatan herba yang berbeza: tablet ekstrak Ruscus, kapsul Sanqi Tongshu, suntikan tetramethylpyrazine, suntikan Xueshuantong, suntikan Xuesaitong dan suntikan Puerarin. Rawatan ini bertahan selama dua minggu hingga 12 bulan.
Apakah keputusan-keputusan utama ulasan ini?
Penyelidik Cochrane menemui 10 kajian berkaitan yang melibatkan 754 peserta; sembilan kajian dari China dan satu dari Poland.
Kajian-kajian ini membandingkan ubatan herba yang digabungkan dengan rawatan konvensional dengan rawatan konvensional sahaja untuk pesakit yang mempunyai retinopati diabetis. Tiada satu pun kajian yang melaporkan sumber pembiayaan kajian. Penemuan adalah seperti berikut.
• Tiada kajian melaporkan mengenai perkembangan retinopati diabetis.
• Kajian memberikan bukti yang berkepastian rendah yang menunjukkan ekstrak herba mungkin menambahkan peluang peningkatan penglihatan (kebolehan membaca 2 atau lebih baris tambahan di Carta Mata, yang digunakan untuk mengukur ketajaman penglihatan).
• Penyelidik Cochrane menilai bukti ke atas beberapa tanda retinopati diabetis (seperti pengurangan pendarahan salur darah di belakang mata) sebagai mempunyai kepastian yang sangat rendah.
• Begitu juga, terdapat bukti yang berkepastian rendah ke atas kesan ekstrak herba pada paras gula dalam darah tetapi bukti-bukti yang ada mencadangkan kesan yang sedikit.
• Kebanyakan kajian tidak melaporkan kesan-kesan sampingan. Dua kajianmelaporkan kesan sampingan minor seperti perut tidak selesa, gatal-gatal, pening dan sakit kepala.
Sehingga bilakah ulasan ini dikemaskini?
Penyelidik Cochrane telah mencari kajian yang telah mengeluarkan penerbitan sehingga Jun 2018.
Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi salwah@usm.my.
https://www.cochrane.org/ms/CD007939/perubatan-herba-untuk-pesakit-retinopati-diabetes