Pemerhatian tindakan untuk rehabilitasi lengan selepas serangan angin ahmar

Soalan Kajian 
Kami telah membandingkan kesan pemerhatian tindakan terhadap fungsi lengan dan tangan selepas serangan angin ahmar dengan intervensi alternatif atau tiada intervensi.

Latar belakang 
Angin ahmar adalah salah satu punca kematian dan hilang upaya di seluruh dunia. Individu yang selamat selepas serangan angin ahmar lazimnya mempunyai kesukaran untuk menggerakkan lengan mereka; menyebabkan masalah dengan aktiviti harian dan seterusnya mengurangkan penglibatan dalam aktiviti seharian. Pemerhatian tindakan (PT) ialah satu pendekatan rehabilitasi fizikal yang dicadangkan untuk rehabilitasi lengan, yang mana pesakit yang selamat selepas serangan angin ahmar akan memerhati individu yang sihat melakukan tugas sama ada melalui tayangan video atau secara peribadi; samada diikuti atau tidak perbuatan berkenaan oleh pesakit tersebut. Teknik yang selamat ini boleh dilakukan tanpa perlu menggunakan peralatan yang rumit dan mahal; ia memerlukan penyeliaan juruterapi yang sangat minima. Kajian menunjukkan bahawa PT mengaktifkan bahagian otak yang serupa dengan bahagian otak mereka yang melakukan aktiviti yang sama; dan memudahkan penyembuhan semula pergerakan selepas serangan angin ahmar.

Ciri-ciri kajian 
Kami telah mengenalpasti 12 kajian yang melibatkan 478 individu yang mengalami angin ahmar. Kebanyakannya menggunakan video bersiri dan PT yang diikuti dengan aktiviti fizikal, mengunakan pelbagai aktiviti dengan tugas yang dirumitkan secara berperingkat sepanjang tempoh latihan atau apabila ianya terlalu mudah untuk peserta membuatnya. Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2017.

Keputusan-keputusan utama 
Kajian-kajian berkenaan menguji samada penggunaan PT dibandingkan dengan intervensi alternatif atau tiada intervensi langsung dapat mengakibatkan peningkatan kebolehan perserta kajian untuk menggunakan lengan dan tangan. Dapatan yang ditemui menunjukkan PT telah menyebabkan peningkatan fungsi lengan (lapan kajian) dan fungsi lengan (tiga kajian).

Kualiti bukti 
Kami mengelaskan kualiti bukti sebagai sederhana untuk fungsi tangan; rendah untuk fungsi lengan dan kebergantungan untuk aktiviti harian; dan tersangat rendah untuk prestasi fungsi motor dan kualiti kehidupan. Peserta boleh terlibat dalam terapi PT dengan selamat memandangkan kejadian buruk dan kesan sampingan adalah tidak signifikan sama sekali. Kualiti bukti untuk setiap hasiladalah terhad memandangkan jumlah peserta kajian yang kecil, kualiti kajianyang rendah dan butir-butir laporan kajian yang rendah

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Solihin Zahari (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Azlan Husin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi soloihin@ms.pmc.edu.my.

https://www.cochrane.org/ms/CD011887/pemerhatian-tindakan-untuk-rehabilitasi-lengan-selepas-serangan-angin-ahmar