Fototerapi berasaskan rumah berbanding dengan hospital untuk rawatan jaundis tanpa komplikasi bagi kalangan bayi baru lahir yang cukup bulan

Bayi baru lahir lazimnya mendapat suatu keadaan yang dikenali sebagai jaundis. Jaundis berlaku akibat daripada pengumpulan bahan-bahan berwarna kuning-oren pada kulit dan mata yang dikenali sebagai 'bilirubin'. Konsentrasi bilirubin yang meningkat boleh merosakkan otak serta menyebabkan efek yang amat memudaratkan pada jangka masa yang panjang. Fototerapi (rawatan cahaya lampu) adalah sejenis rawatan yang digunakan di kalangan bayi baru lahir untuk mengurangkan paras bilirubin. 'Fototerapi berasaskan rumah' boleh digunakan dalam rumah dengan penyeliaan yang sesuai. Fototerapi berasaskan rumah cuma digunakan untuk kes-kes jaundis yang tidak melibatkan komplikasi . Fototerapi berasaskan rumah boleh menawarkan kebaikan-kebaikan tertentu seperti mengurangkan perbelanjaan hospital dan menambah pertalian baik antara bayi dan ibu. Sebaliknya, fototerapi berasaskan rumah boleh dikaitkan dengan masalah-masalah seperti peningkatan risiko efek buruk bilirubin pada otak dan peningkatan risiko kemasukan semula ke hospital. Dalam ulasan Cochrane ini, fototerapi berasaskan rumah dibandingkan dengan fototerapi berasaskan hospital untuk kalangan bayi cukup bulan yang mempunyai jaundis tanpa komplikasi. Pengarang ulasan ini mendapati tiada kajian-kajian yang memenuhi kriteria kelayakan. Pengarang-pengarang ulasan Cochrane ini merumuskan bahawa tiada bukti berkualiti tinggi yang terkini untuk menyokong atau menyangkal kegunaan fototerapi di rumah bagi jaundis tanpa komplikasi di kalangan bayi baru lahir.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (Penang Medical College). Disunting oleh Chan Mei Wai (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi fslee@pmc.edu.my.