Rawatan untuk anemia semasa kehamilan yang dianggap akibat dari kekurangan zat besi

Apabila darah mengandungi kekurangan sel-sel darah merah, atau sel-sel darah merah mengandungi kekurang hemoglobin untuk menghantar oksigen yang mencukupi kepada tisu-tisu, keadaan ini dikenali sebagai anemia. Biasanya, terdapat pengurangan kepekatan hemoglobin dalam darah ibu semasa kehamilan dan ini membenarkan aliran darah yang lebih baik ke sekitar rahim (uterus) dan kepada bayi. Kekadang, keadaan ini dipanggil anemia fisiologikal dan tidak memerlukan rawatan. Anemia sebenar, bagaimanapun, boleh jadi ringan, sederhana atau teruk dan boleh menyebabkan kelemahan, keletihan dan pening. Anemia yang teruk menyebabkan wanita berisiko mendapat kegagalan jantung dan ini biasa berlaku di negara-negara berpendapatan rendah. Terdapat beberapa penyebab anemia, termasuk kekurangkan zat besi, asid folik atau vitamin B12.Kesemua ini diperlukan untuk membina sel-sel merah dan terdapat dalam diet yang baik. Kekurangan zat besi, bagaimanapun adalah penyebab lazim bagi anemia dalam kehamilan. Rawatan zat besi boleh diberikan melalui mulut (oral), melalui suntikan kedalam otot-otot (intramuskular) atau suntikan kedalam vena (intravena). Transfusi darah atau pemberian sesuatu yang merangsangkan tubuh untuk menghasilkan lebih sel-sel merah (eritropoietin) juga boleh diberikan sebagai rawatan.

Dalam kajian semula ini, kami mengenalpasti 23 kajian yang melibatkan 3198 wanita hamil. Kebanyakan kajian dilakukan di negara-negara berpendapatan rendah dan banyak variasi rawatan telah dikaji. Zat besi yang diberi secara oral mengurangkan insidens anemia tetapi kekadang boleh menyebabkan sembelit dan loya. Walaupun kaedah intramuskular dan intravena menghasilkan tahap sel-sel merah dan penyimpanan zat besi yang lebih baik berbanding kaedah oral, tiada ukuran klinikal (seperti pra-eklampsia, kelahiran pramatang, perdarahan postpartum) dinilai dan terdapat kekurangkan data dari segi kesan buruk. Rawatan intravena boleh menyebabkan trombosis vena (sekatan dalam vena) dan rawatan intramuskular menyebabkan kesakitan dan perubahan warna yang penting pada lokasi suntikan, Ianya tidak jelas sama ada wanita dan bayi menjadi lebih sihat apabila wanita-wanita tersebut diberikan zat besi untuk anemia ringan atau sederhana semasa kehamilan. Tiada kajian yang dilakukan menggunakan transfusi darah.

Secara keseluruhan, tiada bukti yang mencukupi untuk menyatakan bila dan bagaimana anemia semasa kehamilan perlu atau harus dirawat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (Penang Medical College). Disunting oleh Dr Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi fslee@pmc.edu.my.