Soalan ulasan
Adakah penggunaan ubat kumur mulut klorheksidin (antiseptik spektrum luas) dan pembersihan konvesional gigi membantu mengawal dan menambah baik gingivitis (keradangan gusi)? Adakah kekerapan berkumur atau kepekatan larutan mempengaruhi keputusan dan adakah kesan sampingan yang tidak diingini?
Latar belakang
Gingivitis adalah satu keadaan yang boleh dirawat apabila gusi menjadi merah, bengkak dan mudah berdarah. Gingivitis adalah sangat lazim - kajianmencadangkan seramai 50% hingga 90% orang dewasa di UK dan USA mengalaminya. Dalam kalangan orang yang rentan, gingivitis boleh membawa kepada periodontitis, yang tidak berbalik. Dalam periodontis, keradangan diiringi dengan kehilangan ligamen dan tulang yang menyokong gigi. Jika tidak dirawat ia boleh menyebabkan kehilangan gigi. Periodontitis teruk merupakan penyakit yang keenam paling meluas di dunia.
Telah diketahui bahawa mengekalkan kebersihan oral pada standad tinggi adalah penting untuk pencegahan dan rawatan gingivitis. Memberus gigi adalah kaedah utama mengekalkan standard kebersihan oral yang baik. Beberapa kaedah pembersihan lazim termasuklah flos pergigian, berus interdental dan penskaleran dan penggilapan yang dibuat oleh profesional pergigian. Ada orang yang sukar mengawal pembentukan plak dan mencegah gingivitis hanya dengan pembersihan gigi konvensional. Oleh itu mereka kadangkala menggunakan ubatkumur mulut yang mengandungi klorheksidin sebagai tambahan kepada pembersihan gigi konvensional. Ubat kumur mulut ini sedia terdapat di kaunter; tidak memerlukan preskripsi di luar USA.
Ciri kajian
Kami melibatkan 51 kajian yang menganalisis 5345 peserta. Bukti dalam ulasan ini adalah terkini sehingga 28 September 2016. Secara umumnya, peserta kajianadalah kanak-kanak dan orang dewasa yang menghidap gingivitis atau periodontitis, boleh menggunakan kaedah pembersihan mulut biasa dan mereka sihat. Kami tidak mengeluarkan kajian yang sesetengah pesertanya mempunyai keadaan perubatan atau keperluan penjagaan khas kerana kami menganggap penggunaan ubat kumur mulut klorheksidin adalah relevan untuk mereka. Kajian-kajian yang dimasukkan menilai kesan ubat kumur mulut klorheksidin terhadap gingivitis untuk sekurang-kurangnya 4 minggu sebagai tambahan kepada pembersihan gigi konvensional dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa.
Keputusan utama
Terdapat bukti berkualiti tinggi bahawa penggunaan ubat kumur mulut yang mengandungi klorheksidin sebagai tambahan kepada memberus dan membersih gigi biasa untuk 4 hingga 6 minggu atau 6 bulan mengurangkan pembentukan plak. Terdapat juga bukti berkualiti tinggi berkenaan pengurangan sederhana gingivitis dalam kalangan orang yang menghidap gingivitis ringan, walaupun tahap penyakit sudah rendah, ia tidak dianggap penting secara klinikal. Keadaan bukti sedia ada tidak membolehkan kami menentukan tahap pengurangan gingivitis dalam kalangan orang yang menghidap gingivitis tahap sederhana atau teruk.
Tiada bukti bahawa kepekatan atau kekuatan klorheksidin tertentu lebih berkesan berbanding kepekatan yang lain.
Berkumur 4 minggu atau lebih menyebabkan stain pada gigi, yang mungkin memerlukan penskaleran dan penggilapan yang dibuat oleh profesional pergigian. Kesan sampingan lain juga dilaporkan termasuk pembentukan kalkulu (tartar), gangguan rasa sementara dan kerosakan lapisan mulut.
Kualiti bukti
Satu kajian dinilai sebagai tidak jelas risiko bias, 50 kajian selebihnya adalah berisiko bias tinggi, walau bagaimanapun ini tidak mempengaruhi kualiti penilaian untuk gingivitis dan plak kerana kami percaya kajian lanjutan sukar mengubah keyakinan kami dalam menganggarkan kesannya.
Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my