Soalan ulasan
Kami mengulas bukti ke atas kesan-kesan topikal dan sistemik (ubat-ubatan oral atau suntikan yang memberi kesan ke atas keseluruhan tubuh) rawatan untuk ekzema tangan bila dibandingkan dengan plasebo (rawatan serupa tetapi tak aktif), tidak ada rawatan, penyampai (bahan-bahan tak aktif yang membantu penyampaian rawatan aktif), atau rawatan lain. Kami melibatkan 60 kajian rawak (5469 peserta) yang mempunyai penerbitan sehingga April 2018.
Latarbelakang
Ekzema tangan merupakan keradangan kulit tangan yang boleh disebabkan oleh alergen sentuhan (iaitu bahan yang menyebabkan tindakan alergi) seperti bahan kimia getah, tetapi faktor luaran lain (contoh, bahan gatal seperti air atau pencuci) dan keadaan atopik yang sedia ada merupakan penyebab yang penting. Ekzema tangan boleh menyebabkan pengurangan kualiti kehidupan yang membawa kepada banyak masalah berkaitan kerja. Terdapat berbagai jenis ekzema tangan, dan berbagai jenis rawatan topikal (krim, salap, atau losyen) dan ubat sistemik yang tidak diketahui keberkesanannya boleh digunakan.
Ciri-ciri kajian
Kebanyakan peserta merupakan pesakit yang dirawat sebagai pesakit luar berumur lebih 18 tahun yang mempunyai ekzema tangan yang ringan hingga kronik serius. Rawatan lazimnya diberikan sehingga empat bulan, dan hasil-hasil dinilai terutamanya selepas rawatan. Berbagai jenis rawatan dikaji dan dibandingkan kepada tanpa rawatan, varian ubatan yang sama, plasebo, atau penyampai ubatan. Dua puluh dua kajian telah dibiaya oleh syarikat farmaseutikal.
Keputusan-keputusan utama
Terdapat data yang terhad untuk menyokong cara terbaik merawat ekzema tangan disebabkan tahap kualiti kajian yang berbeza dan kegagalan mengumpulkan data daripada kajian-kajian yang mempunyai intervensi yang serupa. Krim kortikosteroid dan fototerapi (penyinaran dengan cahaya UV) merupakan plihan rawatan utama, walaupun tiada perbandingan antara pilihan-pilihan ini. Berikut, kami nyatakan keputusan-keputusan bagi perbandingan utama yang dikaji.
Krim/salap kortikosteroid: buih clobetasol propionate mungkin meningkatkan kawalan ekzema tangan sebagai baik/sangat baik yang dinilai oleh peserta bila dibandingkan kepada penyampai ubatan (516 berbanding 222 bagi setiap 1000), tetapi perbezaan antara kumpulan adalah kurang jelas bagi kawalan yang dinilai oleh penyelidik, dan lebih banyak kejadian sampingan telah dilaporkan dengan clobetasol propionate (178 berbanding 79 bagi setiap 1000) (semua berlandaskan bukti berkepastian sederhana).
Krim mometasone furoate yang digunakan tiga kali seminggu mungkin menambahbaik sedikit kawalan sebagai baik/tersangat baik yang dinilai oleh penyelidik berbanding kepada rawatan dua kali seminggu, dan kawalan yang dinilai oleh peserta tidak diukur. Sedikit penipisan kulit telah berlaku dalam kedua-dua kumpulan, tetapi jumlah kes adalah kecil (semua berlandaskan bukti berkepastian rendah).
Penyinaran dengan cahaya UV: berbagai jenis penyinaran (iaitu pendedahan kepada penyinaran) telah dibandingkan. PUVA terhad mungkin menambahbaik kawalan baik/tersangat baik yang dinilai oleh penyelidik berbanding kepada UVB gegelang sempit (400 berbanding 200 bagi setiap 1000); bagaimanapun, kami tidak pasti penemuan ini kerana keputusan juga menunjukkan PUVA setempat mungkin memberikan sedikit atau tiada perbezaan. Simptom yang dinilai oleh peserta tidak diukur. Sembilan dari 30 peserta di dalam kumpulan UVB pancaran terhad melaporkan kejadian sampingan yang tidak diingini (terutamanya kemerahan) berbanding kepada tiada dalam kumpulan PUVA (kesemuanya berlandaskan bukti berkepastian sederhana).
Perencat calcineurin topikal: penerima tacrolimus mungkin lebih cenderung untuk mencapai penambahbaikan kawalan simptom baik/tersangat baik yang dinilai oleh penyelidik berbanding dengan yang diberikan sarana (14/14 peserta dengan tacrolimus berbanding kepada tidak ada dengan penyampai ubatan), tetapi kawalan simptom yang dinilai oleh peserta tidak diukur. Empat dari 14 peserta dalam kumpulan tacrolimus berbanding kosong dalam kumpulan penyampai ubatan mengalami rasa terbakar/kegatalan yang boleh diterima di tempat aplikasi. Satu kajian kecil membandingkan tacrolimus kepada mometasone furoate, keduanya diterima dengan baik, tetapi tidak mengukur kawalan yang dinilai penyelidik atau peserta (kesemuanya berlandaskan bukti berkepastian sederhana).
Intervensi oral: imunosupresan oral (sejenis ubat yang menghalang respon imun) cyclosporin mungkin menambahbaik sedikit kawalan simptom baik/tersangat baik yang dinilai penyelidik atau peserta berbanding kepada krim betamethasone topikal (sejenis kortikosteroid). Risiko kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti pening kepala adalah sama diantara kumpulan (kesemuanya berlandaskan bukti berkepastian sederhana).
Derivatif vitamin A oral (retinoid) alitretinoin (10 mg) mencapai kawalan simptom baik/tersangat baik yang dinilai penyelidik dalam 307 berbanding kepada 194 peserta bagi setiap 1000 dengan plasebo, dan 30 mg alitretinoin mencapai kawalan yang dinilai penyelidik dalam 432 berbanding kepada 157 peserta bagi setiap 1000 dengan plasebo. Keputusan yang serupa dilihat untuk kawalan yang dinilai peserta (bukti berkepastian tinggi). Apabila dos alitretinoin ditambah kepada 30 mg, risiko sakit kepala lebih tinggi berbanding kepada plasebo (74 berbanding 251 bagi setiap 1000; bukti berkepastian tinggi), tetapi ini mungkinnya tidak berbeza antara 10 mg alitretinoin dan plasebo (berlandaskan bukti berkepastian sederhana).
Kualiti bukti
Kualiti bukti kebanyakannya adalah sederhana, dengan kebanyakan analisis berlandaskan ke atas satu kajian yang mempunyai saiz sampel yang kecil; yang demikian, sesetengah keputusan perlu ditafsirkan dengan berhati-hati.
Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my
https://www.cochrane.org/ms/CD004055/rawatan-untuk-ekzema-tangan