Adakah sebarang rawatan boleh membantu orang yang berjaya berhenti merokok mengelakkan diri dari merokok semula?

Latar belakang

Sesetengah orang mula merokok semula tidak lama selepas berhenti dan ini dikatakan 'pengulangan'. Rawatan yang digunakan untuk membantu orang mengelakkan pengulangan biasanya memberi tumpuan kepada mengajar kemahiran dalam menghadapi godaan untuk merokok, tetapi juga boleh memanjang tempoh rawatan yang membantu mereka berhenti atau memberikan rawatan tambahan, seperti panggilan susulan, risalah, atau ubatberhenti merokok. Kami ingin melihat apakah jenis pendekatan ini boleh membantu, sama ada bagi orang yang berhenti dengan sendiri atau dengan bantuan rawatan, atau bagi mereka yang berhenti kerana mereka mengandung atau dimasukkan ke hospital.

Ciri-ciri kajian

Kami mengemaskini carian kami bagi pangkalan data penyelidikan pada Februari 2018. Kami mendapati 77 kajian yang menguji pelbagai cara untuk membantu orang yang berhenti merokok baru-baru ini untuk tidak berulang semula. Lima belas kajian adalah yang baru untuk kemaskini terkini. Empat puluh lapan kajian termasuklah orang yang telah berhenti, dan 29 kajianmembantu orang untuk berhenti dan kemudian menjalani rawatan untuk mencegah pengulangan. Dua puluh enam kajian memberi tumpuan kepada orang yang perlu berhenti merokok untuk masa yang terhad kerana mereka mengandung (18 kajian), masuk wad (lima kajian), atau kerana perkhidmatan ketenteraan (tiga kajian). Kebanyakan kajian menggunakan rawatan sokongan tingkah laku yang cuba mengajar orang kemahiran untuk mengatasi keinginan untuk merokok, atau diikuti dengan risalah atau panggilan tambahan, sumber internet atau telefon bimbit, atau kaunseling tambahan. Sesetengah kajianmenguji penggunaan ubat-ubatan untuk membantu orang berhenti merokok, dengan harapan untuk mencegah pengulangan.

Keputusan-keputusan utama

Bukti yang kami dapati tidak menyokong penggunaan rawatan tingkah laku untuk membantu mencegah pengulangan selepas berhenti merokok. Hasilnya adalah sama dalam semua kumpulan orang yang dikaji. Rawatan yang paling berhasil melibatkan pelanjutan rawatan dengan ubat berhenti merokok, khususnya, varenicline. Pelanjutan rawatan dengan bupropion tidak signifikan untuk membantu dan tidak ada bukti yang mencukupi untuk melanjutkan rawatan dengan terapi penggantian nikotin.

Kepastian bukti

Untuk rawatan tingkah laku, kepastian bukti adalah sederhana. Ini kerana kepelbagaian hasil dalam kajian. Kepastian bukti untuk rawatan dengan ubatberhenti merokok adalah bervariasi. Terdapat bukti kepastian yang sederhana untuk varenicline, bukti kepastian sederhana untuk bupropion, dan buktikepastian rendah untuk terapi penggantian nikotin (NRT), dan untuk kedua-dua NRT dan bupropion. Kepastian bukti adalah terhad oleh kerana saiz kajian yang kecil.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah(USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

https://www.cochrane.org/ms/CD003999/adakah-sebarang-rawatan-boleh-membantu-orang-yang-berjaya-berhenti-merokok-mengelakkan-diri-dari