Adakah prostat MRI, dengan atau tanpa biopsi sasaran MRI, lebih baik daripada biopsi sistematik untuk mengesan kanser prostat pada lelaki?

Latar belakang

Kebanyakan kanser prostat berkembang secara perlahan dan mungkin tidak mempunyai kesan merbahaya disepanjang hayat lelaki. Sementara itu, secara klinikalnya kanser ini boleh menyebabkan masalah seperti penyumbatan saluran kencing, sakit tulang dan kematian. Ujian antigen spesifik prostat (PSA) diikuti dengan sampel tisu prostat yang berpandukan ultrasound sering digunapakai untuk mengesan kanser ini diperingkat awal. Baru-baru ini, pengimejan resonans magnetik (MRI) juga telah digunakan untuk membantu diagnosis.

Apakah matlamat ulasan ini?

Tujuan kajian ini adalah untuk membandingkan MRI sahaja, MRI bersama-sama dengan biopsi, dan laluan yang menggunakan MRI untuk membantu membuat keputusan sama ada melakukan biopsi atau tidak (yang mana dinamakan 'laluan MRI') dengan biopsi berpandukan ultrasound standard (yang kini dipanggil 'biopsi sistematik') dalam merujuk kepada biopsi berpandukan template.

Apakah penemuan utama ulasan ini?

Kami telah memeriksa bukti berkaitan sehingga Julai 2018. Ia melibatkan 43 kajian, terutamanya dari negara-negara Barat, iaitu lelaki yang berumur antara 61 hingga 73 tahun.

Dalam populasi 1000 orang yang berisiko untuk mendapat kanser prostat, di mana 300 lelaki benar-benar mempunyai kanser prostat secara klinikal, MRI mengenal pasti 273 lelaki dengan betul sebagai kanser prostat yang signifikan secara klinikal tetapi terlepas baki 27 lelaki; untuk 700 lelaki yang tidak mempunyai kanser prostat secara klinikal, MRI akan mengenal pasti 259 dengan betul sebagai tidak mempunyai kanser prostat tetapi akan terlepas lagi 441 lelaki sebagai kanser prostat yang signifikan secara klinikal.

Dalam populasi yang sama, biopsi berpandukan MRI akan mengenal pasti 240 daripada 300 lelaki dengan betul sebagai kanser prostat yang signifikan secara klinikal tetapi terlepas baki 60 lelaki; untuk 700 lelaki yang tidak mempunyai kanser prostat secara klinikal, MRI akan mengenal pasti 658 dengan betul sebagai tidak mempunyai kanser prostat tetapi terlepas lagi 42 orang sebagai kanser prostat yang penting secara klinikal.

Kaedah MRI akan mengenal pasti dengan tepat 216 daripada 300 lelaki yang mempunyai kanser prostat yang klinikal tetapi terlepas baki 84 lelaki; untuk 700 lelaki yang tidak mempunyai kanser prostat yang klinikal, kaedah MRI akan mengenal pasti dengan betul 672 sebagai tidak mempunyai kanser prostat tetapi akan terlepas baki 28 lelaki sebagai kanser prostat yang klinikal.

Biopsi sistematik pula akan mengenal pasti 189 orang daripada 300 lelaki dengan kanser prostat yang signifikan secara klinikal tetapi terlepas 111 lelaki lagi; untuk 700 lelaki yang tidak mempunyai kanser prostat secara klinikal, biopsi sistematik mungkin mengenal pasti semua 700 sebagai tidak mempunyai kanser prostat dan tidak akan mengelompokkan mana-mana lelaki sebagai kanser prostat yang klinikal.

Apabila membandingkan kaedah MRI dengan biopsi sistematik dalam kumpulan lelaki yang mungkin atau tidak mempunyai biopsi sebelum ini, kami mendapati bahawa kaedah MRI adalah 12% lebih cenderung untuk membuat diagnosis yang betul. Pada lelaki tanpa biopsi sebelum ini, kaedah MRI adalah 5% lebih cenderung untuk membuat diagnosis yang betul, sedangkan untuk lelaki yang mempunyai biopsi negatif, ianya 44% lebih cenderung untuk membuat diagnosis yang betul.

Berapa kukuhkah bukti ini?

Kami menilai kualiti bukti untuk penemuan utama kajian ini sebagai rendah. Penyelidikan yang lebih berkualiti tinggi mungkin mengubah penemuan ini.

Apakah implikasi ulasan ini?

Penemuan kajian Cochrane ini menunjukkan bahawa kaedah MRI adalah lebih baik daripada biopsi sistematik dalam membuat diagnosis kanser prostat yang signifikan klinikalnya. Walau bagaimanapun, kaedah MRI masih terlepas beberapa lelaki yang mempunyai kanser prostat yang signifikan tanda klinikalnya. Oleh itu, penyelidikan lanjut dalam bidang ini adalah penting.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syarifah Amirah Balqis Awang (Lincoln University College). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi syamirahbalqis3@gmail.com

https://www.cochrane.org/ms/CD012663/adakah-prostat-mri-dengan-atau-tanpa-biopsi-sasaran-mri-lebih-baik-daripada-biopsi-sistematik-untuk