Bukti terbaru kajian kesihatan Cochrane mencabar kepercayaan supplemen omega 3 mengurangkan risiko penyakit jantung, strok atau kematian.

Omega 3 merupakan sejenis lemak. Kuantiti kecil omega 3 penting untuk kesihatan yang baik dan ianya boleh didapati dalam pemakanan kita. Terdapat 3 jenis lemak asid omega 3 seperti asid alfa- linolenic (ALA), asid eicosapentaenoic (EPA) dan asid docosahexaenoic (DHA). ALA selalunya didapati dalam lemak tumbuh- tumbuhan seperti kekacang dan bijirin (walnut dan biji sawi merupakan sumber yang kaya dengan asid ini). EPA dan DHA pula dikenali sebagai lemak rantaian panjang omega 3, didapati secara semulajadi dalam ikan seperti ikan salmon dan minyak ikan, termasuklah minyak ikan kod.

Kenaikan pengambilan lemak omega 3 dipromosikan di seluruh dunia kerana kepercayaan umum bahawa omega 3 ini akan melindungi diri daripada penyakit jantung. Terdapat lebih daripada satu mekanisma tentang bagaimana omega 3 membantu mengelakkan daripada penyakit jantung seperti mengurangkan tekanan darah atau kolesterol. Lemak omega 3 boleh didapati dan dibeli secara mudah di kedai yang menjual supplemen dan ianya dibeli dan digunakan secara meluas.

Satu ulasan sistematik Cochrane yang diterbitkan pada hari ini di Perpustakaan Cochrane, telah menggabungkan keputusan- keputusan daripada 79 kajian percubaan rawak yang melibatkan 112,059 peserta. Kajian- kajian ini telah menilai kesan mengambil  lemak omega 3 tambahan kepada jantung dan peredaran darah, berbanding pengambilan omega 3 dengan kadar biasa atau kurang daripada itu. Dua puluh lima kajian tersebut dinilai sebagai boleh dipercayai kerana direka dan dijalankan dengan baik.

Kajian- kajian ini telah melibatkan lelaki dan wanita yang sebahagiannya sihat dan juga yang telah mempunyai masalah kesihatan dari Amerika Utara, Eropah, Australia dan Asia. Para peserta diasingkan secara rawak , sama ada menaikkan pengambilan lemak omega 3 atau mengekalkan pengambilan lemak omega 3 secara kebiasaan  selama paling kurang setahun. Kebanyakan kajian telah menyiasat kesan pengambilan supplemen yang mengandungi lemak rantaian panjang omega 3 dalam bentuk kapsul dan membandingkan ia dengan pil helah. Hanya beberapa kajian menyiasat pengambilan ikan sebenar. Kebanyakan kajian ALA menambahkan lemak omega 3 ke dalam makanan seperti mentega dan telah memberikan makanan diperkaya, atau makanan sumber ALA asli seperti walnut, kepada peserta di dalam kumpulan intervensi dan makanan biasa (tidak diperkaya) kepada perserta yang lain.

Para penyelidik Cochrane telah menemui peningkatkan kadar lemak rantaian panjang omega 3 memberi  sedikit manfaat atau tiada langsung ke atas hasil kajian yang dilihat. Mereka telah menjumpai bukti yang kukuh bahawa lemak rantaian panjang omega 3 memberi kesan yang sedikit atau tidak bermakna  kepada risiko yang membawa kepada kematian atas faktor yang pelbagai. Risiko kematian daripada pelbagai faktor ialah 8.8%  untuk orang yang telah meningkatkan pengambilan lemak omega 3, berbanding 9% orang yang berada dalam kumpulan kawalan.

Mereka turut menemui kesan pengambilan lemak rantaian panjang omega 3 (termasuklah EPA dan DHA), terutamanya melalui supplemen, kemungkinan tidak memberi kesan yang berbeza kepada risiko penyakit kardiovascular, kematian jantung koronari, penyakit jantung koronari, strok dan ketidakstabilan jantung. Walaupun begitu, lemak rantaian panjang omega 3 mungkin mengurangkan lemak di dalam darah, trigliserida dan kolesterol HDL. Pengurangan trigliserida berkemungkinan menjadi pelindung daripada penyakit jantung, tetapi pengurangan kolesterol HDL memberi kesan yang sebaliknya. Para penyelidik telah mengumpul maklumat mengenai bahaya daripada kajian yang telah dijalankan, tetapi maklumat tentang pendarahan dan darah beku sangatlah terhad. 

Ulasan sistematik ini mencadangkan pengambilan ALA tambahan melalui makanan atau supplemen berkemungkinan memberi kesan yang sedikit atau tiada langsung kepada kematian kardiovaskular atau kematian oleh sebab- sebab yang lain. Walaubagaimanapun, pengambilan ALA tambahan boleh mengurangkan risiko ketidakstabilan jantung dari 3.3% kepada 2.6%. Pasukan ulasan telah menemui pengurangan serangan jantung dengan pengambilan ALA adalah sangat kecil di mana lebih kurang 1000 orang perlu menambahkan pengambilan ALA untuk seorang mendapat manfaat daripadanya. Keputusan yang sama ditemui untuk kematian kardiovaskular. Mereka tidak jumpa maklumat yang mencukupi daripada kajian- kajian untuk mengukur risiko pendarahan atau pembentukan darah beku daripada pengambilan ALA.

Pengambilan lemak rantaian panjang omega 3 atau ALA  tambahan berkemungkinan tidak memberi kesan kepada berat badan atau kadar lemak.

Pengarang utama Cochrane, Dr Lee Hooper daripada Universiti Timur Anglia (University of East Anglia), UK berkata, “Kami yakin hasil penemuan daripada ulasanl ini melawan arus kepercayaan yang popular di mana supplemen lemak rantaian panjang omega 3 boleh melindungi jantung. Ulasan sistematik yang besar ini turut menggunakan maklumat daripada beribu-ribu orang dalam jangka masa yang lama. Walaubagaimanapun, kami tidak menjumpai kesan perlindungan.

 “Ulasan ini menyediakan bukti yang baik bahawa pengambilan supplemen lemak rantaian panjang omega 3 (minyak ikan, EPA dan DHA) tidak memberi manfaat kepada kesihatan jantung atau mengurangkan risiko strok atau kematian daripada sebab yang pelbagai. Kajian-kajian yang paling boleh dipercayai secara konsisten menunjukkan sedikit atau tiada  kesan lemak rantaian omega 3 pada kesihatan kardiovaskular. Namun begitu, walaupun ikan berminyak merupakan makanan yang sihat, sejumlah kajian percubaan yang kecil memberi hasil yang tidak jelas sama ada pemakanan lebih  ikan berminyak dapat melindungi jantung kita.

 “Ulasan sistematik ini menjumpai bukti sederhana di mana ALA, yang ditemui dalam minyak tumbuh- tumbuhan (seperti biji sawi atau minyak canola) dan kekacang (terutamanya walnut) mungkin memberi sedikit  kesan perlindungan daripada sesetengah penyakit jantung dan peredaran darah. Namun begitu, kesannya sangatlah sedikit,, di mana 143 orang perlu meningkatkan pengambilan ALA untuk mengelakkan seorang daripada mendapat aritmia (degupan jantung yang tidak stabil). Seribu orang perlu meningkatkan pengambilan ALA untuk mengelakkan seorang daripada meninggal dunia kerana penyakit jantung koronari atau penyakit kardiovaskular. ALA merupakan lemak essential ,dan ianya komponen yang utama dalam diet yang seimbang dan peningkatan pengambilannya boleh memberi sedikit manfaat untuk mencegah atau merawat penyakit kardiovaskular”

Petikan penuh: Abdelhamid AS, Brown TJ, Brainard JS, Biswas P, Thorpe GC, Moore HJ, Deane KHO, AlAbdulghafoor FK, Summerbell CD, Worthington HV, Song F, Hooper L. Omega 3 fatty acids for the primary and secondary prevention of cardiovascular disease. Cochrane Database of Systematic Reviews 2018, Issue 7. Art. No.: CD003177. DOI: 10.1002/14651858.CD003177.pub3.

Diterjemahkan oleh Siti Sarah Shukor, RCSI & UCD Malaysia Campus (formerly Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong, RCSI & UCD Malaysia Campus (formerly Penang Medical College).