Penyelidikan baru mendapati asid lemak omega-3 mengurangkan risiko kelahiran pramatang

Penyelidikan baru mendapati asid lemak omega-3 mengurangkan risiko kelahiran pramatang

Ulasan Cochrane  yang baru yang diterbitkan hari ini telah menemui bahawa meningkatkan pengambilan asid lemak tak tepu berlemak panjang (long-chain polyunsaturated fatty acid) omega-3 sewaktu kehamilan mengurangkan risiko kelahiran pramatang. 

Kelahiran pramatang merupakan punca utama kematian kanak-kanak di bawah umur 5 tahun di seluruh dunia, menyumbang kepada bilangan kematian hingga ke satu juta setiap tahun. Bayi pramatang berisiko tinggi dalam keadaan jangka panjang termasuk cacat penglihatan, kelewatan kadar pembangunan dan  kesukaran pembelajaran.

 ‘Kelahiran pramatang adalah isu kesihatan kritikal global, dengan jangkaan 15 juta bayi dilahirkan terlalu awal setiap tahun,’ jelas Profesor Madya Philippa Middleton dari Cochrane Kehamilan dan Kelahiran dan Institut Kesihatan dan Perubatan Australia Selatan. ‘Bayi pramatang adalah bayi yang dilahirkan sebelum tempoh 37 minggu, dimana tempoh kehamilan normal adalah antara 38 hingga 42 minggu – semakin awal bayi dilahirkan, semakin tinggi risiko kematian atau masalah kesihatan.’

Profesor Madya Middleton dan pasukan penyelidik Cochrane telah mengkaji dengan teliti rantaian omega-3 rantai panjang dan peranannya dalam mengurangkan risiko kelahiran bayi pramatang – terutamanya asid docosahexaenoic (DHA) dan asid eicosapentaenoic (EPA) yang terkandung dalam suplemen tambahan asid ikan dan minyak ikan. Mereka telah meneliti 70 penyelidikan yang dilakukan secara rawak dan mendapati faedah peningkatan pengambilan harian rantai panjang omega-3 untuk wanita hamil,:

  •        Menurunkan risiko kelahiran pramatang (kurang dari 37 minggu) sebanyak 11% (dari 134 setiap 1000 ke 119 setiap 1000 kelahiran)
  •       Menurunkan risiko kelahiran pramatang awal (kurang dari 34 minggu) sebanyak 42% (dari 46  setiap 1000 ke 27 setiap 1000 kelahiran)
  •        Mengurangkan risiko bayi kurang berat (kurang dari 2500g) sebanyak 10% 

 ‘Disebabkan kekurangan pilihan dalam mencegah kelahiran pramatang, penemuan terbaru ini sangat penting untuk wanita hamil, bayi-bayi dan profesional kesihatan yang merawat mereka,’ kata Profesor Madya Middleton. ‘Kita masih belum memahami sepenuhnya sebab-sebab proses bersalin pramatang, maka mengenalpasti dan mencegah kelahiran awal sentiasa menjadi cabaran. Ini merupakan salah satu sebab suplemen omega-3 sewaktu kehamilan sangat menarik minat dikalangan penyelidik seluruh dunia.’

Ulasan Cochrane yang diterbitkan pada hari ini buat pertama kalinya pernah diterbitkan pada tahun 2006, dan pada masa itu dibuat kesimpulan bahawa bukti penyelidikan tidak kukuh untuk menyokong pengambilan rutin suplemen omega-3 asid lemak sewaktu kehamilan. Setelah sedekad, kajian yang dikemaskini menyimpulkan bahawa terdapat bukti-bukti penyelidikan yang berkualiti tinggi untuk menyokong pengambilan suplemen omega-3 sebagai satu strategi efektif dalam mengurangkan kadar kelahiran pramatang.

 ‘Ramai wanita hamil di United Kingdom (UK) telah mengamalkan pengambilan suplemen omega-3 atas pilihan peribadi bukannya atas nasihat dari profesional kesihatan,’ kata Profesor Madya Middleton. ‘Penemuan ini sangat bermanfaat memandangkan kebanyakan suplemen di pasaran tidak mengandungi dos optimum atau jenis omega-3 yang sesuai untuk mencegah kelahiran pramatang. Kajian kami mendapati dos optimum harian untuk suplemen mengandungi 500-1000 miligrams (mg) asid lemak omega-3 berlemak panjang (mengandungi sekurangnya 500mg DHA) bermula pada usia kehamilan 12 minggu.’

‘Pada akhirnya, kami berharap kajian ini akan memberikan sumbangan yang nyata kepada asas bukti yang diperlukan untuk mengurangkan kelahiran pramatang, yang terus menjadi salah satu masalah kesihatan ibu dan anak yang paling mendesak dan sukar dikesan di setiap negara di seluruh dunia.’

Pasukan dari SAHMRI, termasuk penyelidik Cochrane dari kajian omega-3, telah menggunakan penemuan kajian ini untuk membangunkan sumber dan maklumat mengenai asid lemak omega-3 untuk wanita hamil dan profesional kesihatan yang boleh diakses secara online di

www.sahmriresearch.org/omega3 

Nota Editor:

Petikan: Middleton P, Gomersall JC, Gould JF, Shepherd E, Olsen SF, Makrides M. Omega-3 fatty acid addition during pregnancy. Cochrane Database of Systematic Reviews 2018, Issue 11 . Art. No.: CD003402. DOI: 10.1002/14651858.CD003402.pub3

Diterjemahkan oleh Nurul Nazual Zulkepli Amin  (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Teguh Haryo Sasongko (Universitiy Perdana). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi nazual@ms.pmc.edu.my