Bukti baru yang diterbitkan di Perpustakaan Cochrane menunjukkan bahawa menambahkan label kalori pada menu dan bersebelahan makanan di restoran, kedai kopi, dan kafeteria dapat mengurangkan kalori yang diambil, walaupun kualiti bukti adalah rendah.
Makan terlalu banyak kalori menyumbang kepada berat badan berlebihan dan meningkatkan risiko penyakit jantung, diabetes, dan banyak jenis kanser, yang merupakan antara punca utama kesihatan yang buruk dan kematian pramatang.
Beberapa kajian telah mengkaji sama ada meletakkan label pemakanan pada makanan dan minuman bukan alkohol mungkin memberi impak kepada pembelian atau penggunaannya, tetapi penemuan-penemuan adalah bercampur-campur. Kini, satu pasukan penyelidik Cochrane telah mengumpulkan keputusan-keputusan kajian yang menilai kesan label pemakanan kepada pembelian dan penggunaan di dalam satu ulasan sistematik.
Pasukan itu mengulas bukti untuk menentukan sama ada, dan berapa banyak label pemakanan pada makanan atau minuman bukan alkohol mempengaruhi amaun makanan atau minuman yang dipilih, dibeli, dimakan, atau diminum. Mereka mempertimbangkan kajian-kajian di mana label harus menyertakan maklumat mengenai kandungan pemakanan atau kalori makanan atau minuman. Mereka mengecualikan label yang memasukkan hanya logo (contohnya tanda atau bintang) atau pentafsiran warna (seperti label “lampu isyarat’) untuk menunjukkan makanan yang lebih sihat dan tidak sihat. Secara keseluruhan, para-penyelidik memasukkan bukti daripada 28 kajian, yang mana 11 menilai impak pelabelan pemakanan terhadap pembelian dan 17 menilai impak pelabelan kepada penggunaan.
Pasukan ini menggabungkan keputusan daripada tiga kajian di mana label kalori ditambah kepada menu atau di letak sebelah makanan di restoran, kedai kopi, dan kafeteria. Untuk makan tengah hari yang biasa dengan pengambilan 600 kalori, seperti sekeping pizza dan minuman ringan, pelabelan boleh mengurangkan kandungan tenaga makanan yang dibeli sekitar 8% (48 kalori). Para pengarang menilai kajian-kajian tersebut mempunyai potensi kecacatan yang mungkin memberi keputusan yang bias.
Menggabungkan keputusan daripada lapan kajian yang dijalankan dalam tetapan buatan atau makmal tidak dapat menunjukkan dengan pasti sama ada menambahkan label akan memberi impak kepada kalori yang digunakan. Walau bagaimanapun, apabila kajian-kajian dengan potensi kecacatan dalam kaedahnya dikeluarkan, baki tiga kajian menunjukkan bahawa label sedemikian boleh mengurangkan kalori yang dimakan sekitar 12% dalam setiap hidangan. Pasukan tersebut mencatatkan bahawa masih terdapat ketidakpastian tentang kesan ini dan kajian lanjut yang lebih baik diperlukan untuk saiz kesan dengan lebih tepat.
Penulis utama ulasan, Professor Theresa Marteau, Pengarah Unit Penyelidikan Tingkah Laku dan Kesihatan di Universiti Cambridge (UK), mengatakan: "Bukti ini menunjukkan bahawa dengan menggunakan label pemakanan dapat membantu mengurangkan pengambilan kalori dan memberi impak yang berguna sebagai sebahagian dari langkah-langkah yang lebih meluas yang bertujuan untuk mengatasi obesiti." Beliau menambah,"Tiada 'peluru ajaib' untuk menyelesaikan masalah obesiti, jadi walau pelabelan kalori dapat membantu, langkah-langkah lain untuk mengurangkan pengambilan kalori juga diperlukan.
Rakan penulis Profesor Susan Jebb dari Universiti Oxford memberi komen: "Beberapa kedai sudah menyediakan maklumat kalori untuk membantu para pelanggan membuat pilihan pembelian yang tepat. Ulasan ini sepatutnya menyediakan pembuat dasar dengan keyakinan untuk memperkenalkan langkah-langkah bagi menggalakkan atau memerlukan pelabelan kalori pada menu dan bersebelahan dengan makanan dan minuman bukan alkohol di kedai kopi, kafetaria, dan restoran."
Para penyelidik tidak dapat mencapai kesimpulan kukuh mengenai kesan pelabelan pada kalori yang dibeli dari kedai runcit atau mesin layan diri kerana bukti sedia ada yang terhad. Mereka menambah bahawa penyelidikan masa depan dengan pertimbangan yang lebih pelbagai mengenai impak label pemakanan yang lebih meluas akan lebih bermanfaat termasuk impak terhadap mereka yang menghasilkan dan menjual makanan, dan juga para pengguna.
Reaksi Pakar terhadap Ulasan Cochrane:
Profesor Ian Caterson, Presiden Persekutuan Obesiti Sedunia, berkata: "Pelabelan tenaga telah terbukti berkesan: orang melihatnya dan membacanya dan terdapat pengurangan kalori yang dibeli. Maklumat ini berguna - gabungan dengan beberapa intervensi lain, perubahan tersebut akan membantu memperlahankan dan akhirnya mengurangkan kenaikan berat badan yang berterusan."
Respon kepada bukti Ulasan Cochrane baru mengenai pelabelan pemakanan pada menu di restoran dan kafe, Caroline Cerny, Pemimpin Perikatan Kesihatan Obesiti, berkata: "Seringkali makanan di restoran atau kafe adalah berukuran besar dan disediakan dengan bahan-bahan tersembunyi seperti garam atau gula, oleh itu sangat mudah untuk makan lebih banyak kalori daripada yang diperlukan. Adalah munasabah apabila kita mengetahui kandungan nutrisi makanan yang kita makan, kita lebih mungkin akan membuat pilihan yang lebih sihat. Penyelidikan penting ini menunjukkan bahawa pelabelan makanan yang jelas makanan yang kita makan di luar rumah, seperti yang semakin banyak dipamerkan pada produk-produk pasar raya, merupakan satu langkah penting untuk memperkasa orang ramai untuk membuat pilihan termaklum apabila makan."
Dr Amelia Lake, Pengarah Bersekutu Fuse: Pusat Penyelidikan Translasi dalam Kesihatan Awam, dan Pakar Diet dan ‘Reader’ dalam Pemakanan Kesihatan Awam di Universiti Teesside, berkata: "Sebagai sebuah masyarakat kita memperoleh sejumlah besar makanan dan minuman di luar persekitaran rumah. Persekitaran makanan di luar rumah ini sangat penting dalam menentukan apa yang kita makan. Secara am terdapat sedikit bukti tentang intervensi yang mungkin berkesan dalam mengubah tingkah laku kita di kafe, restoran, tempat makan bawa pulang, atau mesin layan diri .... [I]ntervensi ini perlu digunakan bersama intervensi lain yang menangani pengambilan dan penggunaan kalori. Ini adalah sebahagian intervensi yang boleh membantu menangani krisis obesiti."
Prof Peymané Adab, Profesor Kesihatan Awam, Universiti Birmingham, berkata: "Ini adalah kajian standard tinggi yang menilai kualiti penyelidikan dasar .... Gambaran keseluruhan menunjukkan kajian berkualiti lebih tinggi diperlukan untuk meningkatkan keyakinan kami mengenai manfaat pelabelan. Khususnya kita tidak tahu sama ada orang yang mengubah pembelian atau penggunaan makanan mereka adalah yang paling banyak mendapat manfaat, atau sama ada pelabelan tersebut boleh memberi manfaat yang berbeza kepada subkumpulan populasi, dengan itu meluaskan ketidaksamaan. Kami juga tidak tahu sama ada label pemakanan mempunyai impak lain, seperti penggantian dengan alternatif yang kurang sihat atau pada jumlah kalori yang digunakan dalam tempoh yang lebih lama. Maklumat mengenai kalori sahaja tidak memberitahu kami tentang kualiti keseluruhan makanan (misalnya jumlah garam, vitamin dan lain-lain) dan kami memerlukan lebih banyak penyelidikan untuk mengetahui sama ada memilih makanan berkalori lebih rendah pada satu masa dalam sehari boleh membawa kepada penggunaan berlebihan pampasan dengan memilih sesuatu yang berkalori lebih tinggi kemudian nanti. Akhirnya, kesan pelabelan pemakanan ke atas perumusan semula produk oleh pengeluar makanan dan pilihan menu yang ditawarkan oleh pihak restoran juga perlu dikaji."
Prof Brian Ratcliffe, Profesor Emeritus Pemakanan, Universiti Robert Gordon, berkata: "... Bukti adalah tidak kuat bahawa pelabelan pemakanan, terutama tenaga (kalori), mempunyai impak signifikan terhadap pilihan pengguna. Walaubagaimanapun, ia adalah penting memberi seberapa banyak maklumat pada masa pemilihan supaya pengguna boleh membuat pilihan komparatif yang sesuai. Jika anda sedang mengawasi berat badan anda dan satu pencuci mulut ditanda sebagai 100 kcal (serbat) manakala yang lain adalah sekitar 300 kcal (puding tofi yang melekit), maka pilihan yang betul adalah jelas. Walaupun pengurangan sederhana sehingga 10% dalam pengambilan tenaga apabila makan di luar boleh membantu individu yang cuba mengawal kalori mereka."
Prof. Judith Buttriss, Ketua Pengarah, Yayasan Pemakanan British, berkata: " Adalah berita baik bahawa usaha telah diambil oleh beberapa rantaian di jalan utama untuk mempengaruhi pengambilan kalori melalui penyediaan maklumat pada menu dan pada tempat jualan mungkin mempunyai kesan positif. Mudah-mudahan ini akan menggalakkan orang lain menggunakan pendekatan ini sebagai sebahagian daripada penggerak yang direka untuk menggalakkan pilihan yang lebih sihat."
Petikan penuh: Crockett RA, King SE, Marteau TM, Prevost AT, Bignardi G, Roberts NW, Stubbs B, Hollands GJ, Jebb SA. Nutritional labelling for healthier food or non-alcoholic drink purchasing and consumption. Cochrane Database of Systematic Reviews 2018, Issue 2. Art. No.: CD009315. https://doi.org/10.1002/14651858.CD009315.pub2
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail, Kolej Perubatan Melaka-Manipal.). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.