Pengambilan minuman bergula dianggap sebagai pemacu utama epidemik obesiti global, dan telah dikaitkan dengan kerosakan gigi, diabetes dan penyakit jantung. Banyak badan kesihatan awam termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyaran kerajaan-kerajaan, industri makanan dan minuman, institusi-institusi pendidikan, tempat-tempat kerja dan pertubuhan sivil supaya menyokong pilihan minuman yang lebih sihat. Ulasan Cochrane baharu ini menyimpulkan bukti dari kajian penyelidikan yang menguji cara-cara yang berbeza untuk mengurangkan pengambilan minuman bergula pada tahap populasi.
Pengarang-pengarang ulasan telah mengenal pasti beberapa langkah berdasarkan bukti saintifik sedia ada yang dapat mengurangkan jumlah minuman bergula yang diambil. Langkah-langkah ini termasuk:
· Label yang mudah difahami, seperti label ‘lampu isyarat’, dan label-label yang menilai tahap kesihatan minuman dengan bintang atau nombor.
· Mengehadkan ketersediaan minuman bergula di sekolah.
· Kenaikan harga minuman bergula di restoran, kedai dan pusat-pusat rekreasi.
· Menu kanak-kanak di restoran rantaian yang menawarkan minuman yang lebih sihat dan bukannya minuman bergula sebagai pilihan lalai.
· Promosi dan penempatan yang lebih baik untuk minuman sihat di pasar raya.
· Manfaat makanan kerajaan (contohnya setem makanan) yang tidak boleh digunakan untuk membeli minuman bergula.
· Kempen komuniti yang berfokus pada usaha untuk menyokong pilihan-pilihan minuman sihat.
· Langkah-langkah yang menambah baik ketersediaan minuman berkalori rendah di rumah, contohnya menerusi penghantaran air botol dan minuman diet ke rumah.
Pengarang-pengarang Cochrane tersebut juga menjumpai bukti bahawa penambahbaikan ketersediaan air minuman dan minuman diet di rumah dapat membantu orang menurunkan berat badan. Terdapat juga langkah-langkah lain yang mungkin dapat mempengaruhi berapa banyak minuman bergula yang diambil oleh seseorang itu, tetapi bukti-bukti yang sedia ada untuk perkara ini adalah berkepastian rendah.
Penyelidikan yang lepas telah menunjukkan bahawa pendidikan kesihatan dan pencukaian minuman yang dimaniskan dengan gula juga boleh membantu mengurangkan pengambilan minuman tersebut, tetapi kaedah-kaedah ini tidak diperiksa dalam ulasan ini. Pencukaian minuman bergula, gula mentah dan makan yang ditambah dengan gula akan dikaji dalam dua Ulasan Cochrane pada masa depan.
Pengarang ulasan Hans Hauner, Profesor Perubatan Pemakanan di Universiti Teknikal Munich, Jerman, dan pakar terkemuka di dunia dalam bidang tersebut, mengulas: “Kadar obesiti dan diabetes semakin meningkat di seluruh dunia, dan trend ini tidak akan diterbalikkan sekiranya tindakan yang meluas dan efektif tidak diambil. Kerajaan dan industri khususnya mesti memainkan peranan masing-masing untuk menjadikan pilihan yang sihat itu satu pilihan yang mudah untuk pengguna. Ulasan ini menonjolkan langkah-langkah utama yang boleh membantu untuk mencapai perkara ini.”
Pengarang ulasan Eva Rehfuess, Profesor Penyelidikan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Kesihatan di LMU Munich, Jerman, menambah: “Ulasan ini menonjolkan blok-blok binaan yang diperlukan untuk strategi komprehensif bagi menyokong pilihan minuman yang sihat untuk seluruh populasi. Walau bagaimanapun, kami perlu melakukan kerja yang lebih banyak untuk memahami apakah langkah yang terbaik untuk tetapan tertentu, contohnya di sekolah dan di tempat kerja, bagi orang yang mempunyai latar belakang sosio-ekonomi dan budaya yang berlainan, dan di negara-negara pada tahap pembangunan ekonomi yang berbeza. Perkara ini akan membantu kami menambahbaik kaedah-kaedah yang sedia ada. Maka, penggubal dasar dan pengamal yang melaksanakan langkah-langkah itu harus bekerjasama dengan pihak penyelidik untuk membolehkan penilaian yang berkualiti tinggi.”
Pengarang utama ulasan Peter von Philipsborn, Penyelidik Bersekutu di LMU Munich, Jerman, berkata: “Minuman bergula adalah satu masalah global, dan negara-negara berpendapatan sederhana seperti Afrika Selatan, Mexico dan Brazil paling terkesan. Langkah-langkah yang ditonjolkan dalam ulasan ini harus ditimbangkan oleh penggubal dasar di seluruh dunia.”
Ulasan Cochrane dari Cochrane Kesihatan Awam ini telah dijalankan oleh penyelidik-penyelidik dari Institut Pemprosesan Maklumat Perubatan, Biometri dan Epidemiologi di Pusat Pengajian Kesihatan Awam Pettenkofer di LMU Munich, Universiti Teknikal Munich, dan Kolej Universiti London.
--TAMAT
Cochrane adalah rangkaian global yang bebas yang terdiri daripada penyelidik, profesional, pesakit, penjaga dan orang yang berminat dengan kesihatan. Cochrane menghasilkan ulasan yang mengkaji semua bukti yang terbaik yang dihasilkan melalui penyelidikan dan membuatkan ia lebih mudah untuk memaklumkan keputusan tentang kesihatan. Ini dipanggil ulasan sistematik. Cochrane adalah sebuah organisasi yang bukan untuk keuntungan yang bekerjasama dengan rakan usaha daripada lebih 120 buah negara untuk menghasilkan maklumat kesihatan yang boleh dipercayai, boleh diakses yang bebas daripada penajaan komersial dan konflik kepentingan yang lain. Kerja kami diiktiraf sebagai mewakili standard emas antarabangsa untuk maklumat berkualiti tinggi, yang dipercayai.
Dapatkan maklumat lanjut di cochrane.org
Ikut kami di Twitter @cochranecollab
Sekiranya anda seorang wartawan atau ahli akhbar dan ingin menerima makluman berita sebelum penerbitan dalam talian atau jika anda ingin mengatur wawancara dengan penulis, sila hubungi pejabat akhbar Cochrane: pressoffice@cochrane.org
Diterjemahkan oleh Tan Shing Cheng (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Tan May Loong (RCSI & UCD MALAYSIA CAMPUS). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi sctan@ukm.edu.my.