Apakah kesan rawatan fluoxetine dalam kalangan orang dewasa yang berat badan berlebihan atau obes?

Fluoxetine merupakan ubat yang digunakan untuk merawat kemurungan,
dan kesan sampingannya ialah mengurangkan selera makan. Oleh itu,
ia disyaki bahawa fluoxetine boleh digunakan sebagai rawatan untuk
orang yang berlebihan berat badan atau obes. Dalam kumpulan orang
ini pemberian fluoxetine merupakan rawatan luar label yang bermaksud 
ia tidak dilesenkan untuk merawat obesiti.      

Para penulis mengenal pasti 19 percubaan terkawal rawak (kajian klinikal di mana orang dimasukkan secara rawak ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang menilai wanita terutamanya, yang menerima dos fluoxetine yang berbeza. Sebanyak 1280 peserta yang berlebihan berat badan atau obes menerima fluoxetine dan 936 peserta menerima plasebo atau ubat anti obesiti yang lain. Peserta kajian ini diikuti dengan rawatan susulan untuk tempoh yang berbeza-beza iaitu antara tiga minggu hingga satu tahun.

Untuk kumpulan perbandingan utama kami - fluoxetine berbanding plasebo - dan untuk semua dos fluoxetine terdapat penurunan berat badan  sebanyak 2.7 kg yang memihak kepada fluoxetine. Walau bagaimanapun, pengarang tidak pasti, jika kajian tambahan akan menunjukkan manfaat untuk fluoxetine sekali lagi. Sebanyak 399 daripada 627 peserta (63.6%) menerima fluoxetine berbanding 352 daripada 626 peserta (56.2%) yang menerima plasebo mengalami kesan sampingan. Kesan seperti pening, rasa mengantuk, keletihan, insomnia (tidak dapat tidur) dan loya diperhatikan kira-kira dua kali lebih kerap selepas penggunaan fluoxetine berbanding plasebo. Terdapat 15 dari 197 peserta (7.6%) yang menerima fluoxetine berbanding 12 daripada 196 peserta (6.1%) yang menerima plasebo yang mengalami kemurungan.

Penulis utama, Alejandro Gonzalez Garay berkata, "Kepastian keseluruhan bukti adalah rendah atau sangat rendah, oleh kerana jumlah kajian yang kecil bagi setiap ukuran hasil serta bilangan peserta yang kecil. Bukti kepastian yang rendah mencadangkan bahawa penggunaan fluoxetine di luar label mungkin mengurangkan berat badan

berbanding dengan plasebo. Walau bagaimanapun, bukti kepastian rendah juga menunjukkan peningkatan kesan sampingan pening, rasa mengantuk, keletihan, insomnia dan loya selepas rawatan fluoxetine

Diterjemahkan oleh Manisha Anto Corantionose (RCSI & UCD MALAYSIA CAMPUS). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi manisha@pmc.edu.my. Disunting oleh Dr Tan May Loong (RCSI & UCD MALAYSIA CAMPUS).