Ulasan Rencana: Merawat kanak-kanak sekolah dengan ubat untuk membunuh cacing yang merebak melalui tanah

Pada 2015 Cochrane menerbitkan ulasan mengenai topik ini, yang kini telah dikemas kini untuk memasukkan enam kajian baharu, data tambahan dari kajian yang disertakan, dan menangani komen dan kritikan.

Organisasi Advokasi Global menuntut menyahcacing rutin semua kanak-kanak sekolah pada selang masa yang regular dengan ubat-ubatan penyahcacing di kawasan-kawasan di mana jangkitan helmin adalah lazim, mempunyai kesan kesihatan dan masyarakat yang substantif di luar penghapusan cacing.

Wawancara dengan David Taylor Robinson, Profesor Kesihatan Awam dan Dasar, Perunding Kehormat dalam Kesihatan Awam Kanak-kanak di Universiti Liverpool, memberitahu lebih lanjut tentang ulasan ini.

Apakah penyahcacing dan kenapa ia penting?

Cacing yang merebak dari tanah, termasuk cacing gelang, cacing kerawit, dan cacing cambuk, lazim terdapat di kawasan tropika dan subtropika, dan terutamanya mempengaruhi kanak-kanak yang hidup dalam kemiskinan di mana tiada sanitasi yang cukup. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kini mengesyorkan kanak-kanak sekolah di banyak kawasan dirawat secara regular dengan ubat yang membunuh cacing-cacing tersebut. Sesetengah penyokong mendakwa program tersebut memperbaiki pertumbuhan kanak-kanak, hemoglobin, kognisi, kehadiran sekolah, prestasi sekolah, kecergasan fizikal, dan survival.

Apakah sejarah ulasan Cochrane ini?

Ringkasan di dalam editorial Cochrane ini memberi sedikit latar belakang kepada perkara yang dibahaskan. Para penyokong meyakini program rawatan meluas populasi tetapi ulasan Cochrane mendapati bukti yang cukup besar ketiadaan manfaat dari segi hemoglobin, kognisi, prestasi sekolah, dan kematian.

Berapa luaskah advokasi penyahcacing berkala untuk kanak-kanak yang tinggal di kawasan endemik?

Penyahcacing berkala untuk kanak-kanak yang tinggal di kawasan endemik telah diadvokasi oleh organisasi yang berpengaruh seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Bank Dunia, dan Yayasan Bill & Melinda Gates, dan dianggap sebagai penyelesaian asas kepada masalah yang berkaitan dengan jangkitan helmin endemik melalui tanah.

Apa matlamat kemaskini ini?

Ya, kesimpulan keseluruhan adalah sama. Kami telah memasukkan data enam kajian tambahan dalam kemas kini dan telah menangani komen dan kritikan versi 2015 - seperti versi 2015, kami melihat banyak bukti ketiadaan manfaat untuk hemoglobin, kognisi, prestasi sekolah, dan mortaliti. Untuk kajian berat badan yang dijalankan di dalam dua persekitaran lebih 20 tahun lalu menunjukkan kesan yang besar, tetapi ini tidak ditunjukkan dalam kajian terbaharu yang lebih besar.

Beritahu lebih lanjut kemas kini ini dijalankan?
Penyelidik Cochrane mengkaji kesan penyahcacing kanak-kanak di kawasan-kawasan yang lazim dengan jangkitan cacing usus. Selepas mencari kajian yang relevan hingga 19 September 2018, kami menyertakan 50 kajian dengan sejumlah 84,336 peserta, dan satu kajian tambahan dalam  satu juta kanak-kanak.

Ia termasuklah kajian rawak terkawal (RCT) dan kuasi-RCT yang membandingkan ubat penyahcacing untuk helmin yang merebak melalui tanah (STH) dengan plasebo atau tiada rawatan dalam kalangan kanak-kanak berumur 16 tahun atau kurang, melaporkan berat badan, ketinggian, hemoglobin, dan ujian kognisi formal. Kami juga mencari data tentang ukuran-ukuran pertumbuhan lain, kehadiran sekolah, prestasi sekolah, kecergasan fizikal, dan mortaliti.

Apakah yang diberitahu dalam ulasan Cochrane 2019?
Di dalam populasi kanak-kanak yang tinggal di kawasan endemik, kesan pertama, satu dos ubat penyahcacing terhadap berat badan adalah tidak jelas. Terdapat sedikit atau tiada kesan di dalam kebanyakan kajian, kecuali kesan besar dari satu kawasan kajian di Kenya, dilaporkan dalam dua kajian yang dilaksanakan lebih 30 tahun lalu di sebuah sekolah di mana kanak-kanak dijangkiti cacing. Ini menyebabkan ketidakpastian yang bermaksud kami tidak tahu jika dos pertama atau dos tunggal penyahcacing memberi impak terhadap berat badan. Untuk ketinggian, kebanyakan kajian menunjukkan sedikit atau tiada kesan, kecuali di Kenya. Satu dos ubat penyahcacing mungkin tiada kesan ke atas hemoglobin dan kognisi. Tiada cukup data untuk mengetahui jika terdapat kesan terhadap kehadiran sekolah, prestasi sekolah, atau kecergasan fizikal atau mortaliti.

Dalam kajian di mana kanak-kanak telah dirawat secara regular dengan ubat-ubatan penyahcacing terdapat sedikit atau tiada kesan ke atas berat badan dalam semua kecuali dua kajian, tidak kira sama ada kanak-kanak dijangkit cacing atau tidak. Kedua-dua kajian dengan kenaikan berat badan yang besar termasuklah kajian Kenya yang dilaksanakan lebih 30 tahun lalu, dan satu kajian dari India yang dijalankan lebih 20 tahun lalu di kawasan beban cacing yang rendah di mana kajian terkemudian di kawasan yang sama tidak menunjukkan kesan. Di dalam kajian-kajian 2000 dan seterusnya, yang lebih relevan memandangkan pengurangan global dalam beban cacing, terdapat sedikit atau tiada kesan. Ini menyebabkan ketidakpastian dan bermakna kami tidak tahu jika menyahcacing secara regular kanak-kanak secara regular dengan ubat-ubatan penyahcacing memperbaiki berat badan mereka. Menyahcacing kanak-kanak secara regular mungkin tidak memberi kesan ke atas ketinggian, hemoglobin, kognisi, dan mortaliti. Kami tidak tahu jika ada impak ke atas kehadiran sekolah, kerana bukti tidak konsisten dan berisiko bias tinggi. Tiada cukup data untuk mengetahui jika terdapat kesan ke atas kecergasan fizikal.

Apakah kritikan atau komen yang ditangani?

Kami menangani beberapa komen terperinci dari penyokong penyahcacing yang membantu, dan kami memasukkan beberapa kajian baharu. Juga, kritikan terdahulu membahagi analisis di antara orang yang diketahui dijangkiti dan kajian komuniti di mana seluruh populasi dirawat. Di dalam kemas kini ini, kami menjalankan analisis baru melihat seluruh data bersama, berstrata berdasarkan beban cacing. Kami juga mengulangi analisis untuk jenis cacing yang berbeza.

Apakah mesej yang disediakan untuk para pembuat dasar dan mereka yang menyampaikan program kesihatan awam?

Untuk program kesihatan awam merawat semua kanak-kanak di kawasan endemik dengan ubat penyahcacing, terdapat bukti yang cukup besar bahawa tiada manfaat dari segi hemoglobin, kognisi, prestasi sekolah, dan mortaliti. Untuk berat badan, kajian kontemporari tidak menunjukkan kesan, namun kesan besar luar biasa dilihat dalam kajian-kajian lebih 20 tahun lalu. Kami sarankan berhati-hati memilih hanya bukti dari kajian-kajian lama sebagai rasional untuk program rawatan massa kontemporari.

Apa yang anda harap berlaku akibat kemas kini bukti ini?
Kami mencadangkan bukti terkini tidak menyokong program kesihatan masyarakat yang besar dalam penyahcacing di negara berpendapatan rendah dan sederhana. Negara-negara yang melaksanakan program sedemikian harus menimbangkan penemuan ulasan kemas kini kami dan membuat peta minda sendiri. Orang yang membangunkan garis panduan global mesti jelas tentang sebarang asas program-program penyahcacing.

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com