Pada 2015 Cochrane menerbitkan ulasan mengenai topik ini, yang kini telah dikemas kini untuk memasukkan enam kajian baharu, data tambahan dari kajian yang disertakan, dan menangani komen dan kritikan.
Organisasi Advokasi Global menuntut menyahcacing rutin semua kanak-kanak sekolah pada selang masa yang regular dengan ubat-ubatan penyahcacing di kawasan-kawasan di mana jangkitan helmin adalah lazim, mempunyai kesan kesihatan dan masyarakat yang substantif di luar penghapusan cacing.
Wawancara dengan David Taylor Robinson, Profesor Kesihatan Awam dan Dasar, Perunding Kehormat dalam Kesihatan Awam Kanak-kanak di Universiti Liverpool, memberitahu lebih lanjut tentang ulasan ini.
Cacing yang merebak dari tanah, termasuk cacing gelang, cacing kerawit, dan cacing cambuk, lazim terdapat di kawasan tropika dan subtropika, dan terutamanya mempengaruhi kanak-kanak yang hidup dalam kemiskinan di mana tiada sanitasi yang cukup. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kini mengesyorkan kanak-kanak sekolah di banyak kawasan dirawat secara regular dengan ubat yang membunuh cacing-cacing tersebut. Sesetengah penyokong mendakwa program tersebut memperbaiki pertumbuhan kanak-kanak, hemoglobin, kognisi, kehadiran sekolah, prestasi sekolah, kecergasan fizikal, dan survival.
Apakah sejarah ulasan Cochrane ini?
Ringkasan di dalam editorial Cochrane ini memberi sedikit latar belakang kepada perkara yang dibahaskan. Para penyokong meyakini program rawatan meluas populasi tetapi ulasan Cochrane mendapati bukti yang cukup besar ketiadaan manfaat dari segi hemoglobin, kognisi, prestasi sekolah, dan kematian.
Berapa luaskah advokasi penyahcacing berkala untuk kanak-kanak yang tinggal di kawasan endemik?
Penyahcacing berkala untuk kanak-kanak yang tinggal di kawasan endemik telah diadvokasi oleh organisasi yang berpengaruh seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Bank Dunia, dan Yayasan Bill & Melinda Gates, dan dianggap sebagai penyelesaian asas kepada masalah yang berkaitan dengan jangkitan helmin endemik melalui tanah.
Apa matlamat kemaskini ini?
Ia termasuklah kajian rawak terkawal (RCT) dan kuasi-RCT yang membandingkan ubat penyahcacing untuk helmin yang merebak melalui tanah (STH) dengan plasebo atau tiada rawatan dalam kalangan kanak-kanak berumur 16 tahun atau kurang, melaporkan berat badan, ketinggian, hemoglobin, dan ujian kognisi formal. Kami juga mencari data tentang ukuran-ukuran pertumbuhan lain, kehadiran sekolah, prestasi sekolah, kecergasan fizikal, dan mortaliti.
Dalam kajian di mana kanak-kanak telah dirawat secara regular dengan ubat-ubatan penyahcacing terdapat sedikit atau tiada kesan ke atas berat badan dalam semua kecuali dua kajian, tidak kira sama ada kanak-kanak dijangkit cacing atau tidak. Kedua-dua kajian dengan kenaikan berat badan yang besar termasuklah kajian Kenya yang dilaksanakan lebih 30 tahun lalu, dan satu kajian dari India yang dijalankan lebih 20 tahun lalu di kawasan beban cacing yang rendah di mana kajian terkemudian di kawasan yang sama tidak menunjukkan kesan. Di dalam kajian-kajian 2000 dan seterusnya, yang lebih relevan memandangkan pengurangan global dalam beban cacing, terdapat sedikit atau tiada kesan. Ini menyebabkan ketidakpastian dan bermakna kami tidak tahu jika menyahcacing secara regular kanak-kanak secara regular dengan ubat-ubatan penyahcacing memperbaiki berat badan mereka. Menyahcacing kanak-kanak secara regular mungkin tidak memberi kesan ke atas ketinggian, hemoglobin, kognisi, dan mortaliti. Kami tidak tahu jika ada impak ke atas kehadiran sekolah, kerana bukti tidak konsisten dan berisiko bias tinggi. Tiada cukup data untuk mengetahui jika terdapat kesan ke atas kecergasan fizikal.
Kami menangani beberapa komen terperinci dari penyokong penyahcacing yang membantu, dan kami memasukkan beberapa kajian baharu. Juga, kritikan terdahulu membahagi analisis di antara orang yang diketahui dijangkiti dan kajian komuniti di mana seluruh populasi dirawat. Di dalam kemas kini ini, kami menjalankan analisis baru melihat seluruh data bersama, berstrata berdasarkan beban cacing. Kami juga mengulangi analisis untuk jenis cacing yang berbeza.
Untuk program kesihatan awam merawat semua kanak-kanak di kawasan endemik dengan ubat penyahcacing, terdapat bukti yang cukup besar bahawa tiada manfaat dari segi hemoglobin, kognisi, prestasi sekolah, dan mortaliti. Untuk berat badan, kajian kontemporari tidak menunjukkan kesan, namun kesan besar luar biasa dilihat dalam kajian-kajian lebih 20 tahun lalu. Kami sarankan berhati-hati memilih hanya bukti dari kajian-kajian lama sebagai rasional untuk program rawatan massa kontemporari.
Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com