Dua ciri utama asma adalah keradangan dan bronkokonstriksi (otot di sekeliling tiub kecil di dalam paru-paru menjadi ketat). Keradangan ini boleh dirawat dengan inhaler steroid harian. Bronkokonstriksi boleh dirawat dengan beta2-agonis untuk mengendurkan otot. Ini membuka saluran udara dan menjadikan lebih mudah bernafas. Beta2-agonis boleh diguna dengan dua cara: untuk memberikan kelegaan dari gejala sesak dada ('beta2-agonis bertindak sekejap') dan membantu mencegah gejala daripada berlaku ('beta2-agonis bertindak lama' atau LABA)
Apabila asma tidak terkawal oleh dos rendah harian ICS, banyak garis panduan asma mengesyorkan tambahan LABA harian, seperti formoterol. Pasukan pengarang yakin LABA memperbaiki fungsi paru-paru, kualiti hidup dan gejala-gejala seperti sesak nafas, nafas berdehit, batuk dan sesak dada. Walau bagaimanapun, terdapat kontroversi tentang keselamatan ubat-ubatan ini untuk orang dengan asma. Para pengarang ulasan ingin meneroka dengan memfokuskan mudarat yang jarang dan serius. Ini ditakrifkan sebagai peristiwa yang mengancam nyawa, memerlukan kemasukan ke hospital atau menjadikan tempoh inap di hospital lebih lama, atau mengakibatkan kecacatan/ketidakupayaan yang signifikan atau cacat lahir.
Pasukan pengarang ulasan menganalisis data daripada 29 kajian dalam kalangan 35,751 orang dewasa dan 10 kajian dalam kalangan 4,035 kanak-kanak berumur sehingga 17 tahun.
Yang penting, hampir semua kajian ditaja oleh pengilang ubat.
Tiga puluh kematian dilaporkan dalam kalangan 35,751 dewasa. Tujuh belas kematian dilaporkan dalam kalangan peserta yang mengambil formoterol dan ICS, dan 13 kematian dalam kalangan peserta yang mengambil ICS sahaja. Tiga kematian yang dilaporkan dalam kalangan dewasa yang mengambil formoterol dan ICS adalah akibat asma, tetapi tiada kematian berkaitan asma dalam kalangan peserta yang mengambil ICS sahaja. Tiada kematian dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berumur sehingga 17 tahun.
Bilangan orang yang mengalami kemudaratan yang serius akibat sebarang sebab adalah sama dengan orang dewasa yang mengambil formoterol dan tanpa formoterol. Walaupun tiada perbezaan risiko mudarat yang serius dalam kalangan dewasa dengan asma yang mengambil kombinasi formoterol regular dengan ICS, mereka tidak dapat mengesahkan sama ada mengambil kombinasi formoterol dengan tambahan ICS mengurangkan atau meningkatkan risiko peristiwa berbanding mengambil ICS sahaja.
Para penulis ulasan sederhana pasti tentang data dalam kalangan dewasa, tetapi kurang pasti tentang kesan penambahan formoterol kepada ICS dalam kalangan kanak-kanak. Memandangkan bilangan kematian yang rendah dalam kajian-kajian, mereka masih belum ada cukup maklumat untuk dapat mengukur dengan tepat risiko penambahan formoterol kepada ICS terhadap jumlah kematian.
Para penulis ulasan tidak dapat menyatakan dengan yakin bahawa mengambil formoterol sebagai tambahan kepada ICS tidak membawa risiko meningkatkan bilangan kematian berbanding ICS sahaja. Mereka juga tidak menemui bukti konklusif tentang peningkatan mudarat yang serius. Tiga kematian yang berkaitan dengan asma berlaku dalam kalangan sejumlah 12,777 orang dewasa yang dirawat dengan kombinasi formoterol dengan ICS. Tiada bukti konklusif tentang risiko mudarat serius yang tidak fatal disebabkan oleh asma apabila formoterol digabung dengan ICS dalam kalangan dewasa.
Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com