Penemuan Ulasan Cochrane ini mungkin mencabar preskripsi antihistamin H1 untuk para pesakit dengan ekzema.
Ulasan Cochrane ini menilai kesan-kesan antihistamin H1 oral sebagai terapi 'tambahan' kepada rawatan topikal ekzema dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak. Ekzema (juga dikenali sebagai 'ekzema atopik / dermatitis') adalah gangguan kulit yang sering mempengaruhi kedua-dua kanak-kanak dan orang dewasa. Di negara-negara maju, 10% hingga 20% orang dipengaruhi oleh ekzema dalam jangka hayat mereka. Gejala utama adalah gatal, yang mengakibatkan menggaru dan, keradangan kulit, kerapkali menyebabkan kemerahan pada kulit. Gejala-gejala ekzema boleh menyebabkan tidak dapat tidur dan keletihan, dan menurunkan kualiti hidup. Antihistamin sering diberi untuk gatal-gatal (terutamanya antihistamin H1 yang diambil melalui mulut), dan ia boleh mengurangkan gejala ekzema apabila diberi sebagai tambahan kepada rawatan konvensional yang diaplikasi secara langsung pada kulit (contohnya emolien, pelembap, krim steroid), walaupun ia tidak menyembuhkannya.
Banyak antihistamin boleh didapati tanpa preskripsi, misalnya, cetirizine atau loratadine. Walaupun antihistamin H1 sering dipreskripsi untuk merawat ekzema, kita tidak tahu sama ada ia berkesan dan selamat. Ulasan tersebut memasukkan 25 kajian rawak terkawal dengan 3285 peserta dari semua peringkat umur dengan diagnosis ekzema.
Penulis ulasan Uwe Matterne, dari Institut Epidemiologi dan Perubatan Pencegahan, Universiti Regensburg, Jerman berkata, "Penemuan penyelidikan ini mungkin mencabar preskripsi antihistamin H1 kerana kami tidak menemui bukti yang meyakinkan bahawa antihistamin H1 membantu pesakit dengan ekzema.
"Berdasarkan perbandingan utama, kami tidak mendapati bukti yang konsisten bahawa rawatan AH H1 berkesan sebagai terapi 'tambahan' untuk ekzema berbanding plasebo; bukti untuk perbandingan ini adalah berkualiti rendah hingga sederhana.
"Walau bagaimanapun, fexofenadine mungkin membawa kepada penambahbaikan kecil pruritus yang dinilai oleh pesakit, yang mungkin tiada perbezaan ketara dalam amaun rawatan yang digunakan untuk mencegah marak ekzema. Cetirizine tidaklah lebih baik daripada plasebo dari segi tanda-tanda klinikal yang dinilai oleh doktor atau gejala yang dinilai oleh pesakit, dan kami mendapati tiada bukti loratadine lebih bermanfaat daripada plasebo, walaupun semua intervensi dilihat selamat." Kualiti bukti adalah terhad kerana reka bentuk kajian yang kurang baik dan keputusan yang tidak tepat. Para penyelidik masa depan harus mendefinisi keadaan (tempoh dan keterukan) dan kaedah mereka, terutamanya pemilihan peserta dan perambangan; ciri-ciri asas; dan hasil (berdasarkan Harmoni Hasil Ukuran dalam inisiatif Ekzema).
Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.