Penilaian ke atas kesan ubat titik (atau semburan) telinga untuk mengeluarkan atau membantu penyingkiran tahi telinga pada orang dewasa dan kanak-kanak
Pengumpulan tahi dalam telinga adalah perkara biasa. Ianya tidak selesa untuk pesakit dan boleh menyebabkan masalah pendengaran. Ubat titik telinga telah dikaji sebagai alat yang berpotensi untuk melembutkan lilin telinga, menghalang keperluan untuk rawatan lanjut seperti memicagari telinga. Ulasan baru ini, yang dihasilkan oleh pasukan dari UK dan AS yang merupakan sebahagian daripada kumpulan Cochrane Telinga, Hidung dan Tekak, melihat rawatan mana (ubat titik atau penyembur yang berasaskan minyak dan air) dapat membantu menyelesaikan masalah pengumpulan lilin telinga.
Ulasan ini termasuk 10 kajian, dengan 624 peserta (835 telinga). Intervensi-intervensi termasuk:
· rawatan berasaskan minyak (polipeptida triethanolamine, minyak badam, benzocaine, chlorobutanol);
· rawatan berasaskan air (natrium docusate, karbamida peroksida, phenazone, salisilat choline, urea peroksida, kalium karbonat);
· bahan pengawal aktif lain (seperti air garam atau air sahaja) dan tiada rawatan.
Keputusan utama: Hanya satu kajian membandingkan penggunaan ubat titik dengan bahan aktif kepada tidak menggunakan ubat titik sama sekali. Ubat titik boleh membantu meningkatkan kadar telinga dibersihkan daripada tahi telinga dari 1 dalam 20 (jika anda tidak melakukan apa-apa) hingga kira-kira 1 dalam 5 (jika anda menggunakan ubat titik).
Para pengarang tidak mendapati sebarang bukti bahawa ubat titis berasaskan air atau berasaskan minyak adalah berbeza apabila dibandingkan dengan air garam atau air. Walau bagaimanapun, kami juga tidak mendapati sebarang bukti bahawa air atau air garam lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa.
Kesan buruk (sampingan) adalah tidak lazim. Kurang daripada 30 pesakit melaporkan sebarang kejadian buruk apabila menggunakan ubat titis dan kesan-kesan ini adalah ringan (seperti kerengsaan atau sakit sedikit, atau bau yang tidak menyenangkan). Tiada kesan sampingan yang serius dilaporkan oleh mana-mana peserta.
Kualiti bukti: Untuk pembersihan tahi telinga, kami menilai kualiti bukti sebagai rendah. Untuk kesan buruk kami menilai kualiti bukti sebagai rendah.
Profesor Martin Burton, Penyunting Penyelaras bersama Cochrane ENT berkata, "Ramai orang menggunakan ubat titis telinga apabila mereka ingin melembutkan atau mengeluarkan tahi dari telinga mereka. Tidak banyak bukti saintifik yang berkualiti tinggi di luar sana untuk membantu orang membuat keputusan ubat yang mana patut digunakan. Tetapi apa yang ada, telah menunjukkan bahawa penggunaan sebarang jenis ubat titis adalah lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa. Dalam membuat pilihan jenis ubat titis, terdapat pelbagai persediaan yang mengandungi bahan kimia yang dijual menerusi kaunter untuk tujuan ini. Kajian ini menunjukkan bahawa ubat-ubat ini tidak semestinya lebih baik daripada air kosong atau air garam. "
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tan May Loong (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com