Soalan ulasan
Ini adalah kemaskini kedua terhadap ulasan ini, dimana ulasan ini pertama kali telah diterbitkan pada tahun 1998 dan pertama kali dikemaskini pada tahun 2009. Penyelidik ingin mengkaji kelebihan dan kemudaratan penggunaaan ubat-ubatan yang menurunkan tekanan darah dalam kalangan orang dewasa yang berumur 60 tahun atau lebih tua yang mempunyai tekanan darah tinggi.
Tarikh pencarian
Penyelidik telah mencari artikel-artikel perubatan yang sedia ada untuk mengenalpasti semua kajian yang membandingkan rawatan menggunakan ubat dengan plasebo atau tanpa rawatan untuk menilai persoalan ini. Data yang dimasukkan dalam ulasan ini adalah yang terkini sehingga November 2017.
Latar belakang
Tekanan darah tinggi, yang sering berlaku dalam kalangan golongan tua yang berumur 60 tahun atau lebih tua, boleh meningkatkan risiko serangan jantung dan strok.
Ciri-ciri kajian
Penyelidik telah menjumpai 16 kajian yang secara rawak telah menentukan 26,795 orang pesakit berumur 60 tahun atau lebih tua yang menghidap tekanan darah tinggi diberikan ubat antihipertensi atau plasebo atau kawalan tanpa rawatan selama 4.5 tahun secara purata.
Keputusan utama
Rawatan ubatan menurunkan tekanan darah dalam kalangan pesakit hipertensi berumur 60 tahun atau lebih tua telah didapati mengurangkan risiko kematian, strok dan serangan jantung. Manfaat ini adalah sama sekiranya kedua-dua bacaan atas dan bawah tekanan darah adalah tinggi dan sekiranya hanya bacaan atas yang tinggi. Rawatan peringkat pertama yang digunakan dalam kebanyakan kajian adalah thiazide. Lebih banyak pesakit telah menarik diri daripada kajian ini disebabkan kesan-kesan sampingan yang didapati daripada ubat-ubatan ini. Magnitud terhadap manfaat mortaliti dan morbiditi kardiovaskular yang telah dilihat mungkin lebih besar dalam kalangan pesakit-pesakit yang berumur antara 60-79 tahun berbanding pesakit-pesakit yang lebih berusia berumur 80 tahun atau lebih tua.
Kesimpulan
Rawatan ubatan menurunkan tekanan darah untuk individu sihat (60 tahun atau lebih tua) yang mengalami tekanan darah tinggi mengurangkan kematian, serangan jantung dan strok.
Kualiti bukti
Penulis-penulis ulasan ini telah mengredkan kualiti terhadap bukti sebagai tinggi bagi pengurangan terhadap kematian dan sederhana bagi pengurangan terhadap strok dan serangan jantung.
Diterjemahkan oleh Wan Suriana Wan Ab Rahman (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Intan Juliana Abd Hamid (Institut Perubatan & Pergigian Termaju, USM). Untuk sebarang pertanyaan tentang terjemahan ini, sila hubungi suriana@usm.my