Soalan ulasan:Adakah penyusuan bayi pramatang dengan formula yang diperkayakan dengan nutrien tambahan berbanding formula standard (yang direka untuk bayi cukup bulan) selepas discaj dari hospital meningkatkan kadar pembesaran dan perkembangan?
Latar Belakang: Apabila bayi pramatang bersedia untuk pulang ke rumah dari hospital selepas menerima rawatan sejak lahir, kebanyakan bayi tersebut lebih kecil dan mempunyai berat badan yang kurang daripada yang sepatutnya jika mereka masih membesar dalam rahim dan bukannya dilahirkan awal. Terdapat kemungkinan bahawa penyusuan bayi pramatang dengan formula yang diperkayakan dengan nutrien tambahan (bukan formula standard yang digunakan untuk menyusukan bayi yang cukup bulan) akan membantu mereka membesar dengan lebih cepat (dan mencapai kemajuan bayi yang dilahirkan cukup bulan) sambil meningkatkan perkembangan mereka.
Ciri-ciri kajian: Kami mengenalpasti 16 kajian yang layak dan mendaftarkan seramai 1251 bayi pramatang dalam pencarian yang dikemaskinikan sehingga 8 September 2016.
Penemuan utama: Kajian-kajian ini memberikan bukti berkualiti sederhana yang penyusuan tanpa had dengan formula yang diperkayakan dengan nutrien (berbanding standard) tidak mempunyai kesan penting ke atas pembesaran dan perkembangan sehingga kira-kira 18 bulan. Pembesaran dan perkembangan jangka masa panjang belum dinilai lagi.
Kesimpulan: Cadangan semasa untuk menetapkan formula yang diperkayakan dengan nutrien untuk bayi pramatang selepas keluar hospital tidak disokong oleh bukti yang sedia ada.
Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee. (Penang Medical College). Dikemaskini oleh Nila Pillai (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College) Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi nila@pmc.edu.my.