Intervensi untuk menggalakkan wanita memulakan penyusuan susu ibu

Apakah isunya?

Kadar antarabangsa permulaan penyusuan susu ibu adalah sangat berubah-ubah di antara dan di dalam negara-negara. Negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana umumnya mempunyai kadar wanita yang memulakan penyusuan susu ibu yang tinggi, dan cabarannya adalah untuk memulakan penyusuan dalam tempoh satu jam kelahiran. Negara-negara berpendapatan tinggi mempunyai variasi yang lebih besar dalam bilangan wanita yang memulakan penyusuan susu ibu, dengan lebih ramai wanita yang berpendidikan tinggi dan lebih kaya cenderung untuk memulakannya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyarankan bahawa penyusuan susu ibu harus bermula dalam jam pertama selepas melahirkan, bahawa semua bayi perlu diberi susu ibu secara eksklusif dari lahir hingga umur enam bulan, dan susu ibu hendaklah diteruskan sehingga 2 tahun atau lebih. Kita tahu bahawa penyusuan susu ibu adalah baik untuk kesihatan wanita dan bayi. Bayi yang tidak diberi susu ibu sepenuhnya untuk tempoh tiga hingga empat bulan pertama kehidupan lebih cenderung untuk mengalami jangkitan perut dan usus, saluran udara dan paru-paru, atau mendapat jangkitan telinga. Bayi yang tidak diberi susu ibu lebih cenderung untuk berat badan berlebihan atau menghidap penyakit kencing manis di kemudian hari, dan ibu-ibu yang tidak menyusukan anak mempunyai peningkatan risiko kanser payudara dan kanser ovari. Manfaatpraktikal lain bagi penyusuan susu ibu termasuklah menjimatkan wang untuk membeli pengganti susu ibu dan, bagi masyarakat, untuk merawat penyakit. Namun ramai wanita memberi bayi mereka susu formula.

Mengapakah ini penting?

Kami ingi memahami dengan lebih baik apakah yang lebih berkesan untuk menggalakkan penyusuan susu ibu, untuk wanita, keluarga mereka, sistem kesihatan dan masyarakat. Wanita menghadapi banyak halangan untuk penyusuan, termasuklah kekurangan tempat awam di mana wanita boleh menyusukan bayi tanpa rasa malu; kekurangan hari kerja yang fleksibel untuk menyusukan anak di tempat kerja; pengiklanan meluas pengganti susu ibu; dan dasar awam yang mengabaikan keperluan wanita menyusukan anak. Cara-cara baru untuk menggalakkan penyusuan diperlukan.

Apakah bukti yang kami dapati?

Kami mencari bukti pada 29 Februari 2016. Ulasan kemaskini ini melibatkan 28 kajian rawak terkawal yang melibatkan 107,362 wanita. Dua puluh kajian yang melibatkan 27,865 wanita melihat intervensi untuk meningkatkan bilangan wanita yang memulakan penyusuan, dalam tiga negara berpendapatan tinggi (Australia, 1 kajian; UK, 4 kajian, dan Amerika Syarikat, 14 kajian) dan satu negara berpendapatan sederhana rendah (Nicaragua , 1 kajian). Tiga kajianmenyiasat kesan intervensi untuk meningkatkan bilangan wanita yang memulakan penyusuan awal, dalam masa satu jam selepas kelahiran. Ini melibatkan 76,373 wanita dari Malawi, Nigeria dan Ghana. Kajian dari Malawi adalah besar, dengan 55,931 peserta.

Pendidikan kesihatan yang disampaikan oleh doktor dan jururawat serta kaunseling dan sokongan rakan sebaya oleh sukarelawan terlatih telah meningkatkan bilangan wanita yang mula menyusukan bayi mereka. Lima kajianyang melibatkan 564 wanita melaporkan bahawa wanita yang mendapat pendidikan penyusuan dan sokongan daripada doktor atau jururawat adalah lebih cenderung untuk mula menyusukan berbanding wanita yang menerima penjagaan standard. Empat daripada kajian-kajian tersebut telah dijalankan dalam kalangan wanita berpendapatan rendah atau dalam kalangan wanita etnik minoriti di USA, di mana garis dasar penyusuan biasanya rendah. Lapan kajian yang melibatkan 5712 wanita menunjukkan peningkatan kadar memulakan penyusuan dengan intervensi sukarelawan terlatih dan kumpulan sokongan berbanding dengan wanita yang menerima penjagaan standard.

Pendidikan penyusuan oleh sukarelawan terlatih juga boleh meningkatkan kadar permulaan awal penyusuan susu ibu, dalam masa satu jam melahirkan, di negara-negara berpendapatan rendah.

Kami menilai semua bukti dalam ulasan ini berkualiti rendah kerana batasan dalam reka bentuk kajian dan variasi dalam intervensi, kepada siapa, bila, di mana, dan bagaimana intervensi telah disampaikan. Penjagaan standard juga berbeza dan boleh melibatkan sokongan penyusuan susu ibu, misalnya di UK.

Kami menemui terlalu sedikit bukti untuk mengatakan sama ada strategi bersama multimedia, hubungan awal ibu-bayi, atau kumpulan penyusuan berasaskan komuniti dapat meningkatkan permulaan penyusuan.

Apakah maksudnya?

Profesional kesihatan yang mempunyai latihan dalam penyusuan ibu termasuk bidan, jururawat dan doktor, dan sukarelawan terlatih boleh menyampaikan sesi pendidikan dan menyediakan kaunseling dan sokongan rakan sebaya untuk meningkatkan bilangan wanita yang mula menyusukan bayi mereka. Penyelidikan berkualiti tinggi diperlukan untuk memahami intervensi mana yang mungkin berkesan dalam kumpulan populasi yang berbeza. Lebih banyak kajian diperlukan di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana untuk mengetahui bahawa strategi yang mana akan menggalakkan wanita untuk memulakan penyusuan sejurus selepas melahirkan.yusuan badan di Amerika Syarikat (RR 4.02, 95% CI 2.63 kepada 6.14, P < 0.00001)

Nota terjemahan:

Diterjemahkan oleh Nila Pillai (RCSI & UCD Malaysia Campus ). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi nila@rcsiucd.edu.my.

https://www.cochrane.org/ms/CD001688/intervensi-untuk-menggalakkan-wanita-memulakan-penyusuan-susu-ibu