Adakah kortikosteroid yang diberikan secara oral atau melalui suntikan merupakan rawatan yang berkesan untuk pesakit COVID-19?

Adakah kortikosteroid (ubat anti-radang) yang diberikan secara oral atau melalui suntikan merupakan rawatan yang berkesan untuk pesakit COVID-19?

Mesej utama

  •        Kortikosteroid (ubat anti-radang) yang diberikan secara oral atau melalui suntikan (sistemik) mungkin merupaka rawatan yang berkesan bagi orang yang dimasukkan ke hospital dengan COVID-19.  Penulis tidak tahu sama ada kortikosteroid menyebabkan kesan yang tidak diingini. 
  •        Penulis tidak tahu kortikosteroid sistemik mana yang paling berkesan. Mereka tidak menemui bukti mengenai pesakit tanpa gejala atau dengan penyakit COVID-19 yang ringan yang tidak dimasukkan ke hospital.
  •        Mereka menemui 42 kajian yang sedang dijalankan dan 16 kajian yang telah selesai dijalankan yang belum menerbitkan keputusannya. Penulis akan mengemas kini ulasan ini apabila menemui bukti baru.    
Apakah itu kortikosteroid?

Kortikosteroid adalah ubat anti-radang yang mengurangkan kemerahan dan bengkak. Kortikosteroid juga mengurangkan aktiviti sistem imun badan, yang melindungi badan daripada penyakit dan jangkitan. Kortikosteroid digunakan untuk merawat pelbagai keadaan, seperti asma, ekzema, ketegangan sendi dan rheumatoid arthritis. 

Kortikosteroid sistemik boleh ditelan atau diberikan melalui suntikan untuk merawat seluruh badan. Dos kortikosteroid yang tinggi yang diambil untuk jangka masa yang panjang boleh menyebabkan kesan yang tidak diingini, seperti peningkatan selera makan, sukar tidur dan perubahan emosi. 

Mengapa kortikosteroid berkemungkinan menjadi rawatan untuk COVID-19? 

COVID-19 memberi kesan kepada paru-paru dan saluran pernafasan. Ketika sistem imun badan melawan virus, paru-paru dan saluran pernafasan menjadi radang, dan menyebabkan kesukaran bernafas. Kortikosteroid mengurangkan keradangan, dan mungkin mengurangkan keperluan untuk bantuan pernafasan dengan ventilator (mesin yang bernafas untuk pesakit). Sistem imun badan sebilangan pesakit bertindak balas secara berlebihan terhadap virus sehingga menyebabkan keradangan dan kerosakan tisu; kortikosteroid dapat membantu mengawal tindakbalas ini.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Penulis ingin mengetahui sama ada kortikosteroid sistemik adalah rawatan yang berkesan untuk pesakit COVID-19 dan sama ada ia menyebabkan kesan yang tidak diingini.

Mereka berminat dengan

  ·       kematian akibat sebarang sebab dalam 14 hari selepas rawatan, atau lebih lama jika dilaporkan;
  ·       sama ada pesakit semakin pulih ataupun merosot selepas rawatan, berdasarkan keperluan mereka untuk bantuan             pernafasan;
  ·       kualiti hidup;
  ·       kesan yang tidak diingini dan jangkitan daripada hospital.

Apa yang dilakukan para penulis? 

Mereka mencari kajian yang menyiasat kortikosteroid sistemik untuk pesakit dengan COVID-19 ringan, sederhana atau teruk. Pesakit boleh terdiri daripada apa-apa umur, jantina atau etnik.

Kajian boleh membandingkan:

  ·   kortikosteroid ditambah dengan penjagaan biasa berbanding penjagaan biasa dengan atau tanpa plasebo (ubat  palsu);
  ·    satu kortikosteroid berbanding yang lain;
  ·    kortikosteroid berbanding ubat yang berbeza;
  ·    dos kortikosteroid yang berbeza; atau
  ·    rawatan awal berbanding lewat.

Mereka membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti metodologi dan saiz kajian.

Apa yang mereka temui? 

Mereka menemui 11 kajian yang melibatkan 8075 orang. Kira-kira 3000 orang menerima kortikosteroid, kebanyakannya dexamethasone (2322 orang). Kebanyakan kajian dijalankan di negara berpendapatan tinggi. 

Mereka juga menemui 42 kajian yang sedang dijalankan, dan 16 kajian yang telah selesai dijalankan yang belum menerbitkan keputusannya. 

Keputusan utama

Sepuluh kajian membandingkan kortikosteroid ditambah dengan penjagaan biasa berbanding penjagaan biasa dengan atau tanpa plasebo. Hanya satu kajian membandingkan dua kortikosteroid. Kajian-kajian hanya melibatkan pesakit di hospital yang disahkan atau disyaki menghidapi COVID-19. Tiada kajian yang melibatkan pesakit yang tidak dimasukkan ke hospital, dos atau masa yang berbeza, atau memberikan maklumat mengenai kualiti hidup.

Kortikosteroid ditambah dengan penjagaan biasa berbanding dengan penjagaan biasa dengan atau tanpa plasebo (10 kajian)

  • Kortikosteroid mungkin mengurangkan jumlah kematian untuk sebarang sebab, sehingga 60 hari selepas rawatan (9 kajian, 7930 orang).
  • Satu kajian (299 orang) melaporkan bahawa pesakit yang menggunakan ventilator pada awal kajian didapati bebas ventilasi selama lebih banyak hari dengan kortikosteroid berbanding dengan penjagaan biasa, jadi kortikosteroid mungkin memperbaiki gejala pesakit.
  • Empat kajian (427 orang) melaporkan sama ada pesakit yang tidak menggunakan ventilator pada awal rawatan kemudiannya memerlukan ventilator, tetapi kami tidak dapat mengumpulkan keputusan kajian, jadi kami tidak pasti jika gejala pesakit bertambah teruk dengan kortikosteroid atau penjagaan biasa.
  • Penulistidak tahu sama ada kortikosteroid meningkatkan atau mengurangkan kesan tidak diingini yang serius (2 kajian, 678 orang), sebarang kesan yang tidak diingini (5 kajian, 660 orang), atau jangkitan daripada hospital (5 kajian, 660 orang).   

Methylprednisolone berbanding dexamethasone (1 kajian, 86 orang)

  • Penulis tidak tahu sama ada kortikosteroid methylprednisolone mengurangkan jumlah kematian dari sebarang sebab berbanding dexamethasone dalam 28 hari selepas rawatan.
  • Penulis tidak tahu sama ada methylprednisolone memburukkan lagi gejala pesakit berbanding dexamethasone, berdasarkan sama ada mereka memerlukan bantuan pernafasan dalam 28 hari selepas rawatan.
  • Kajian tidak memberikan maklumat mengenai perkara lain yang kami minati

Apakah batasan bukti tersebut ?

Penulis berkeyakinan sederhana terhadap bukti tentang kesan kortikosteroid terhadap kematian kerana sebarang sebab. Namun, keyakinan mereka terhadap bukti lain adalah rendah hingga sangat rendah, kerana kajian tidak menggunakan metodologi yang paling kukuh, dan cara keputusan diukur dan dilaporkan berbeza antara kajian. Pasukan penulis tidak menemui sebarang bukti mengenai kualiti hidup dan tiada bukti daripada negara berpendapatan rendah atau pada pesakit dengan COVID-19 ringan atau tiada gejala, yang tidak dimasukkan ke hospital. 

Bukti adalah terkini hingga 16 April 2021.

 

Penulis utama menerangkan bukti

Ketua penulis Cochrane Hematology Carina Wagner dari University of Cologne dan Mirko Griesel dari University of Leipzig Medical Center berkata,

Isnin, 16 Ogos, 2021

Diterjemah oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.