Ulasan sistematik baru: ‘Akses pesakit dewasa kepada rekod kesihatan elektronik’
Apakah rekod kesihatan elektronik?
Penyedia penjagaan kesihatan menyimpan maklumat berkaitan kesihatan pesakit dalam rekod kesihatan elektronik, yang disimpan dalam bentuk digital dan diakses melalui komputer. Profesional penjagaan kesihatan menggunakan rekod ini untuk mengakses semua maklumat berkaitan kesihatan untuk penjagaan pesakit, pada bila-bila masa dan di mana sahaja mereka memerlukannya. Maklumat ini merangkumi sejarah perubatan seseorang, ubat-ubatan, alahan, keputusan ujian, dan sejarah imunisasi.
Sebilangan penyedia penjagaan kesihatan membenarkan pesakit melihat rekod kesihatan elektronik mereka sendiri, biasanya dengan memberikan mereka akses melalui web. Pesakit juga boleh ditawarkan perkhidmatan berasaskan web yang lain, seperti peringatan berkaitan kesihatan, pesanan selamat, dan maklumat umum pendidikan kesihatan.
Mengapa kami melakukan Ulasan Cochrane ini
Akses kepada rekod kesihatan elektronik mungkin mendorong pesakit untuk bercakap dengan profesional penjagaan kesihatan mengenai kesihatan mereka dan potensi rawatan, dan boleh membantu mereka untuk mengambil bahagian dalam membuat keputusan. Kami ingin mengetahui sama ada akses kepada rekod kesihatan elektronik memberi manfaat kepada pesakit ataupun menyebabkan kesan yang mungkin tidak diingini.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang melihat akses pesakit kepada rekod kesihatan elektronik. Kami juga mencari kajian-kajian di mana akses tersebut termasuk perkhidmatan tambahan. Kami berminat dengan perubahan dalam:
- berapa banyak yang diketahui, dan difahami, oleh pesakit mengenai penjagaan kesihatan mereka;
- sama ada pesakit merasa dalam kawalan tentang penjagaan mereka (pemerkasaan);
- pengambilan ubat, ataupun kepatuhan kepada program pemantauan (pencegahan);
- kepuasan pesakit terhadap penjagaan mereka;
- bagaimana pesakit menilai kesejahteraan mereka (kualiti kehidupan);
- kesihatan pesakit;
- tahap kegelisahan, kebimbangan, atau kemurungan pesakit;
- kekerapan pesakit menggunakan perkhidmatan penjagaan kesihatan (jumlah panggilan telefon atau lawatan);
- komunikasi antara pesakit dan penyedia penjagaan kesihatan mereka; dan adakah pesakit mengalami sebarang kesan yang tidak diingini.
Tarikh carian: kami menyertakan bukti yang diterbitkan dari tahun 2000 sehingga April 2020.
Apa yang kami temui
Kami menemui 10 kajian yang berkaitan, yang diterbitkan antara 2000 dan 2016, yang mendaftarkan 78 hingga 4500 orang dewasa. Kajian-kajian ini dijalankan di Amerika Syarikat (tujuh kajian), Kanada (dua), dan Jepun (satu). Lima kajian dijalankan di pejabat doktor dan lima di klinik hospital. Individu yang mengambil bahagian dalam kajian-kajian ini telah disusuli selama tiga bulan hingga dua tahun. Dua kajian telah dibiayai oleh syarikat farmaseutikal.
Kajian-kajian ini tertumpu kepada pesakit diabetes jenis 2 (lima kajian), asma (satu kajian), glaukoma (satu kajian), kegagalan jantung kongestif (satu kajian), dan darah tinggi (satu kajian); satu kajian tertumpu kepada pesakit yang berjumpa doktor mereka untuk sebarang sebab.
Kajian-kajian membandingkan penjagaan biasa dan akses kepada rekod kesihatan elektronik berbanding penjagaan biasa sahaja. Dalam sembilan kajian, akses kepada rekod kesihatan elektronik adalah termasuk perkhidmatan tambahan.
Kami tidak dapat menggabungkan hasil-hasil kajian disebabkan oleh perbezaan dalam cara kajian dijalankan, jenis pesakit yang didaftarkan, dan cara hasil diukur, maka kami telah menilai semua kajian secara berasingan.
Apakah hasil utama ulasan kami?
Berbanding dengan penjagaan biasa, kami tidak pasti sama ada akses kepada rekod kesihatan elektronik memberi kesan kepada:
- pengetahuan dan pemahaman pesakit tentang diabetes dan ujian glukosa darah (bukti daripada satu kajian yang melibatkan 379 pesakit diabetes); atau
- berapa kerap pesakit berkomunikasi dengan penyedia penjagaan kesihatan mereka (satu kajian dengan 107 pesakit). Berbanding dengan penjagaan biasa, akses kepada rekod kesihatan elektronik mungkin tidak menyumbang kepada banyak perbezaan dalam:
pesakit rasa diperkasakan (tiga kajian; 601 pesakit) atau puas dengan penjagaan mereka (tida kajian; 903 pesakit); atau - jumlah pesakit yang meninggal dunia atau melaporkan kesan tidak diingini yang serius (dua kajian; 486 pesakit).
Empat kajian (dengan 5466 pesakit) melihat sejauh mana pesakit mengikuti program pemantauan dan meneruskan pengambilan ubat mereka. Walaupun akses kepada rekod kesihatan elektronik mungkin meningkatkan sedikit kepatuhan kepada program pemantauan, kajian yang menilai bagaimana pesakit meneruskan pengambilan ubat menunjukkan hasil yang berbeza, maka kami tidak jelas mengenai kesan intervensi tersebut.
Akses kepada rekod kesihatan elektronik mungkin tidak mempengaruhi kekerapan pesakit menggunakan perkhidmatan penjagaan kesihatan (tiga kajian).
Tiada kajian yang melaporkan kesan yang tidak diingini atau jika akses kepada rekod kesihatan mungkin mempengaruhi kegelisahan, kebimbangan, atau kemurungan pesakit.
Sejauh mana kami yakin dengan hasil kami?
Kami tidak yakin dengan hasil kami kerana jumlah kajian yang dijumpai adalah sedikit. Pencarian kami mungkin telah tertinggal beberapa kajian yang relevan kerana perbezaan istilah yang digunakan untuk rekod kesihatan elektronik. Tambahan pula, kami mengenalpasti had cara kebanyakan kajian direkabentuk atau dijalankan. Penyelidikan lebih lanjut mungkin mengubah penemuan kami.
Mesej-mesej utama
Akses kepada rekod kesihatan elektronik (dan perkhidmatan tambahan) mungkin memberi sedikit atau tiada manfaat kepada perasaan diperkasakan dan kepuasan pesakit, mahupun faktor risiko diabetes, penyakit kardiovaskular, dan tekanan tinggi di dalam mata (faktor risiko untuk glaukoma). Akses sedemikian mungkin meningkatkan sedikit bilangan pesakit yang mengikuti pemantauan untuk faktor risiko.
Kajian masa depan harus menggunakan teknologi yang terkini seperti peranti mudah alih untuk mengetahui:
- kesan akses kepada rekod kesihatan elektronik;
- untuk kumpulan pesakit mana akses yang paling sesuai; dan
- perkhidmatan tambahan yang mana harus disertakan
Jumaat, 26 Februari, 2021
Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my