Antidepresan mengurangkan kebimbangan, tetapi kesan jangka panjang masih tidak jelas

Kajian Cochrane baharu mengesahkan bahawa antidepresan berkesan mengurangkan gejala gangguan kebimbangan umum (GAD) di bawah tetapan kajian, walaupun terdapat data terhad mengenai penggunaan jangka panjang.

GAD menjejaskan berjuta-juta orang di seluruh dunia dan dicirikan oleh kebimbangan yang berlebihan tentang isu harian. Antidepresan, terutamanya perencat pengambilan semula selektif serotonin (SSRIs) dan perencat pengambilan semula serotonin-norepinephrine (SNRIs), adalah rawatan yang diiktiraf untuk GAD, disyorkan oleh banyak badan kebangsaan termasuk Institut Kebangsaan untuk Kesihatan dan Kecemerlangan Penjagaan UK. Walau bagaimanapun, salah tanggapan kekal dalam kalangan sesetengah profesional penjagaan kesihatan dan pesakit yang tidak menyedari bahawa 'antidepresan' mempunyai kegunaan yang lebih luas melangkaui kemurungan, malah istilah itu juga membawa stigma bagi ramai orang.

Ulasan itu menganalisa 37 kajian rawak terkawal dengan lebih 12,000 peserta, membandingkan antidepresan dengan plasebo.  Kebanyakan kajian dijalankan terutamanya di negara berpendapatan tinggi, termasuk Amerika Syarikat dan pelbagai negara Eropah, dan merekrut orang dewasa kedua-dua jantina. Dalam kebanyakan kes, terdapat lebih sedikit peserta wanita (~ 60%) yang mencerminkan kelaziman klinikal GAD. 

Keputusan menunjukkan bahawa antidepresan adalah lebih berkesan daripada plasebo bagi mengurangkan gejala kebimbangan, dengan kadar tindak balas 41% lebih tinggi dalam kalangan mereka yang mengambil ubat berbanding dengan pengambilan plasebo. Ulasan menemui tiada perbezaan ketara dalam kadar keciciran antara mereka yang mengambil antidepresan dan mereka yang mengambil plasebo, menunjukkan bahawa ubat-ubatan ini secara amnya diterima dengan baik.

"Penyelidikan menunjukkan bahawa antidepresan sangat berkesan untuk merawat GAD, sekurang-kurangnya dalam keadaan khusus yang dilihat dalam kajian," menurut pengarang kanan Dr Giuseppe Guaiana, Profesor Madya Psikiatri di Sekolah Perubatan & Pergigian Schulich, Western Universiti, dan Ketua Psikiatri di Hospital Besar St Thomas Elgin. “Bagi orang yang mengalami Gangguan Kebimbangan Umum dan tiada keadaan lain, kami mempunyai bukti yang baik bahawa antidepresan membawa kepada peningkatan bermakna secara klinikal dalam tempoh satu hingga tiga bulan berbanding plasebo.

"Kami tidak mempunyai bukti yang mencukupi untuk menyatakan keberkesanannya pada pesakit dengan GAD di samping keadaan kesihatan mental yang lain, yang lebih biasa dalam amalan klinikal. Kebanyakan pesakit yang saya lihat dengan GAD juga mempunyai keadaan kesihatan mental yang lain, jadi kajian masa depan harus menyiasat kesan strategi rawatan yang berbeza pada pesakit yang mengalami pelbagai keadaan."

Ulasan itu juga menyerlahkan kekurangan data mengenai kesan jangka panjang antidepresan. Kebanyakan ujian yang disertakan berlangsung antara 4 hingga 12 minggu, tanpa susulan jangka panjang.

"Kami tidak mempunyai maklumat yang mencukupi tentang potensi manfaat dan mudarat jangka panjang antidepresan, walaupun orang sering mengambilnya selama bertahun-tahun," kata pengarang pertama Katarina Kopcalic, yang menjalankan ulasan itu di Western University. "Ini adalah bidang yang memerlukan penerokaan lanjut dalam kajian masa depan."

Walaupun terdapat batasan ini, ulasan itu menyampaikan mesej yang jelas: antidepresan berkesan untuk menguruskan GAD, terutamanya bagi pesakit yang tidak bertindak balas dengan baik terhadap rawatan bukan farmakologi. Walau bagaimanapun, penyelidikan jangka panjang yang lebih bebas adalah diperlukan untuk memahami kesan sepenuhnya, terutamanya pada pesakit yang mengalami pelbagai keadaan.

--TAMAT--

Nota kepada editor:

'Antidepresan berbanding plasebo untuk gangguan kebimbangan umum (GAD)' akan diterbitkan dalam Pangkalan Data Kajian Sistematik Cochrane. ia akan tersedia di url berikut:  https://www.cochranelibrary.com/cdsr/doi/10.1002/14651858.CD012942.pub2 

Untuk mengakses draf manuskrip yang diembargo, sila gunakan pautan berikut. Kata laluan akses ialah Embargo30Jan2025

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Mia Parkinson, Pembantu Komunikasi, Cochrane

mparkinson@cochrane.org or pressoffice@cochrane.org 

Harry Dayantis, Ketua Komunikasi, Cochrane

hdayantis@cochrane.org, + 44(0) 7870 600169 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (shazlin@usm.my).