Ulasan Cochrane yang diterbitkan baru-baru ini, diterbitkan oleh Amalan Berkesan dan Organisasi Penjagaan Cochrane, meneroka cara ibu bapa dan penjaga membuat keputusan mengenai pemberian vaksin kepada anak-anak mereka. Cochrane EPOC juga telah menghasilkan panduan pelaksanaan ringkas berkaitan ulasan ini.
Mesej utama
- Banyak faktor yang mempengaruhi pandangan dan amalan vaksinasi ibu bapa, termasuk yang berkaitan dengan persepsi individu, hubungan sosial, dan konteks sosial dan polItik yang lebih luas di mana ibu bapa tinggal.
- Apabila ibu bapa membuat keputusan berkenaan vaksin untuk anak-anak mereka, mereka sering berkomunikasi bukan sahaja apa yang mereka fikirkan tentang vaksin, tetapi juga siapakah mereka, apa yang mereka hargai, dan dengan siapa mereka kenal pasti.
Mengapakah penting untuk memahami perkara yang mempengaruhi keputusan ibu bapa dan penjaga mengenai vaksinasi anak-anak mereka?
Vaksinasi zaman kanak-kanak adalah salah satu cara yang paling berkesan untuk mencegah penyakit teruk dan kematian dalam kanak-kanak. Untuk berjaya, program vaksinasi bergantung pada tahap pemvaksinan yang tinggi.
Namun, di seluruh dunia, ramai kanak-kanak yang tidak menerima semua vaksinasi yang disyorkan. Terdapat beberapa sebab yang berpotensi untuk ini. Vaksin mungkin tidak tersedia, atau ibu bapa mungkin mengalami kesukaran dalam mengakses perkhidmatan vaksinasi; contohnya, kerana perkhidmatan kesihatan yang tidak berkualiti, jarak dari kemudahan kesihatan, atau kekurangan wang. Sesetengah ibu bapa mungkin tidak dapat menerima vaksin dan perkhidmatan vaksinasi yang tersedia.
Meningkatkan pemahaman kita tentang perkara yang mempengaruhi pandangan dan amalan ibu bapa mengenai vaksinasi zaman kanak-kanak, dan sebab sesetengah ibu bapa mungkin tidak menerima vaksin untuk anak-anak mereka akan membolehkan perkhidmatan penjagaan kesihatan menyesuaikan program dan maklumat mereka kepada kumpulan orang tertentu. Ini seharusnya membantu menggalakkan penerimaan dan pengambilan vaksinasi zaman kanak-kanak dan meningkatkan kesihatan kanak-kanak di seluruh dunia.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui faktor yang mempengaruhi pandangan dan amalan ibu bapa mengenai vaksinasi rutin zaman kanak-kanak dan bagaimana faktor-faktor ini mempengaruhi ibu bapa. Kami berminat dengan faktor-faktor yang mungkin 'meningkatkan' atau 'mengurangkan' penerimaan vaksinasi.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang menilai pandangan, pengalaman dan amalan ibu bapa terhadap vaksinasi zaman kanak-kanak. Kajian boleh dilakukan di mana-mana sahaja di dunia di mana vaksinasi zaman kanak-kanak disediakan. Peserta dalam kajian mestilah ibu bapa atau penjaga yang bertanggungjawab untuk memutuskan sama ada kanak-kanak perlu diberi vaksin.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 145 kajian yang berkaitan dan menganalisis keputusan daripada 27 kajian tersebut. Kajian berlaku di Afrika, Amerika, Asia Tenggara, Eropah, dan Pasifik Barat, dan termasuk lokasi bandar dan luar bandar, serta tetapan berpendapatan tinggi, sederhana dan rendah.
Keputusan utama
Banyak faktor kompleks mempengaruhi pendapat ibu bapa tentang vaksinasi dan tindakan yang mereka ambil. Kami membahagikan ini kepada 4 tema.
- Idea dan amalan vaksinasi ibu bapa mungkin dipengaruhi oleh idea dan amalan mereka yang lebih luas tentang kesihatan dan penyakit secara amnya, dan khususnya tentang anak-anak mereka dan peranan vaksinasi dalam penjagaan kesihatan mereka.
- Banyak idea dan amalan vaksinasi ibu bapa dipengaruhi oleh orang yang bergaul dengan mereka secara sosial. Pada masa yang sama, idea dan amalan vaksinasi yang dikongsi bersama telah membantu sesetengah ibu bapa menjalinkan hubungan sosial, yang seterusnya memperkukuhkan pandangan dan amalan mereka mengenai vaksinasi.
- Idea dan amalan vaksinasi ibu bapa mungkin dipengaruhi oleh isu dan kebimbangan politik yang lebih meluas, dan terutamanya kepercayaan (atau ketidakpercayaan) terhadap mereka yang terlibat dalam program vaksinasi.
- Idea dan amalan vaksinasi ibu bapa mungkin dipengaruhi oleh akses dan pengalaman mereka terhadap perkhidmatan vaksinasi dan pekerja penjagaan kesihatan barisan hadapan mereka.
Kami telah membentuk dua konsep untuk memahami laluan yang berkemungkinan untuk mengurangkan penerimaan vaksin zaman kanak-kanak.
1. ' Logik neoliberal ', mencadangkan bahawa ramai ibu bapa, terutamanya dari negara berpendapatan tinggi, memahami keputusan kesihatan dan penjagaan kesihatan adalah soal risiko, pilihan dan tanggungjawab individu. Sesetengah ibu bapa mengalami pemahaman ini sebagai bercanggah dengan program vaksinasi, yang menekankan risiko umum dan kesihatan penduduk. Konflik yang dirasakan ini menyebabkan sesetengah ibu bapa kurang menerima vaksinasi untuk anak-anak mereka.
2. ' Pengecualian sosial ', mencadangkan bahawa sesetengah ibu bapa, terutamanya dari negara berpendapatan rendah dan sederhana, kurang menerima vaksinasi kanak-kanak kerana pengalaman mereka tentang pengecualian sosial. Pengecualian sosial mungkin merosakkan hubungan yang boleh dipercayai antara kerajaan dan orang awam, menjana perasaan terasing dan dendam, dan menimbulkan penurunan semangat dalam menghadapi perkhidmatan awam yang berkualiti rendah dan sukar dicapai. Faktor-faktor ini seterusnya menyebabkan sesetengah ibu bapa yang dikecualikan secara sosial untuk tidak mempercayai vaksinasi, untuk menolak vaksinasi sebagai satu bentuk rintangan atau cara untuk membawa perubahan, atau untuk mengelakkan vaksinasi disebabkan masa, kos dan kesusahan yang ditimbulkannya.
Apakah batasan bukti tersebut?
Keyakinan kami terhadap bukti adalah kebanyakannya sederhana hingga tinggi. Sesetengah kajian tidak melaporkan penemuan atau kaedah mereka dengan baik, dan sesetengahnya memfokuskan pada satu vaksin, jenis peserta atau negara, jadi tidak relevan untuk vaksin, peserta atau negara lain. Semua kajian yang disertakan diterbitkan dalam bahasa Inggeris, jadi kami mungkin terlepas penemuan yang tidak diterbitkan dalam bahasa Inggeris. Kajian selalunya agak panjang dengan data yang banyak, jadi kami perlu membuat keputusan praktikal tentang cara terbaik untuk mengurus analisis kami, yang mungkin telah menjejaskan tafsiran bukti.
Sejauh manakah bukti ini dikemas kini?
Bukti adalah terkini sehingga Julai 2020.
Rabu, 27 Oktober, 2021
Diterjemah oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my