Apakah intervensi yang paling berkesan semasa hamil untuk mencegah kelahiran mati?

Intervensi antenatal untuk mencegah kelahiran mati, kehilangan janin dan kematian perinatal: gambaran keseluruhan ulasan sistematik Cochrane

Kelahiran mati amnya ditakrifkan sebagai kematian bayi sebelum lahir, pada atau selepas 24 minggu perkembangan. Ia paling lazim di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana tetapi juga mempengaruhi orang di negara berpendapatan tinggi. Bilangan kelahiran mati tidak banyak menurun dalam 20 tahun kebelakangan dan, walaupun bilangan yang tinggi, ia tidak diiktiraf sebagai masalah kesihatan global.

Gambaran keseluruhan ulasan sistematik Cochrane ini memasukkan 43 ulasan Cochrane yang menilai 61 cara berbeza untuk mencegah kelahiran mati semasa hamil, atau kematian bayi sekitar waktu kelahiran. Walau bagaimanapun, hanya sebilangan kecil kajian menyediakan bukti jelas tentang kesan semasa hamil untuk mengurangkan risiko kelahiran mati atau kematian bayi. Kajian-kajian dikumpul ke dalam empat perkara: nutrisi, mencegah jangkitan, menguruskan masalah lain penjagaan kesihatan ibu, dan menjaga bayi sebelum ia lahir.

Nutrisi

·       Memberi ibu-ibu penambahan tenaga dan protein yang seimbang untuk meningkatkan pertumbuhan bayi, terutamanya dalam kalangan wanita hamil yang kurang pemakanan, mungkin mengurangkan 40% kelahiran mati.

·       Untuk Vitamin A sahaja berbanding plasebo (palsu) atau tiada rawatan, dan multipel mikronutrien dengan zat besi dan asid folik berbanding dengan zat besi dengan atau tanpa asid folik, terdapat bukti jelas tiada kesan.

Pencegahan dan pengurusan jangkitan

·       Jaring yang dirawat dengan racun serangga anti-malaria berbanding tiada jaring mungkin mengurangkan kehilangan bayi dalam rahim (janin) sebanyak 33%.

Pencegahan, pengesanan dan pengurusan masalah penjagaan kesihatan lain

·       Di mana bidan adalah penyedia penjagaan kesihatan primer, terutama untuk wanita hamil berisiko rendah, kehilangan janin atau kematian bayi berkurang sebanyak 16%.

·       Pengiring kelahiran tradisional yang terlatih berbanding pengiring kelahiran tradisional tidak terlatih mungkin mengurangkan kelahiran mati dalam populasi luar bandar di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana sebanyak 31% dan kematian bayi sebanyak 30%.

·       Pengurangan lawatan penjagaan antenatal mungkin menyebabkan kematian bayi meningkat sekitar masa kelahiran.

·       Pakej intervensi berasaskan komuniti (termasuk kumpulan sokongan komuniti/kumpulan wanita, mobilisasi komuniti dan lawatan ke rumah, atau melatih pengiring kelahiran tradisional yang membuat lawatan ke rumah) mungkin mengurangkan kelahiran mati sebanyak 19%.

Memeriksa bayi sebelum lahir

·       Kardiotokografi mengukur kadar denyut jantung bayi dan kontraksi rahim. Ia boleh dirakam secara automatik oleh komputer atau secara manual, dengan pen dan kertas. Kardiotokografi berkomputer untuk memantau kesejahteraan bayi dalam rahim, dengan mengukur kontraksi, mungkin mengurangkan kadar kematian bayi sekitar waktu kelahiran sebanyak 80% berbanding kardiotokografi tradisional.

Gambaran keseluruhan ini tidak pasti tentang kesan kaedah-kaedah lain.

Kajian rawak terkawal berkualiti tinggi lebih lanjut diperlukan untuk menilai kesan intervensi pencegahan antenatal dan pendekatan yang paling berkesan untuk mengurangkan risiko kelahiran mati. Lahir mati (atau kematian janin), kematian perinatal dan neonatal perlu dilapor secara berasingan dalam RCT intervensi antenatal lanjutan bagi membolehkan penilaian intervensi yang berbeza terhadap hasil yang jarang tetapi penting ini dan ia perlu jelas menentukan populasi sasaran wanita di mana intervensi mungkin paling bermanfaat.

Dr. Erika Ota, pengarang utama dan profesor di Universiti Antarabangsa St Luke di Jepun berkata, "Kelahiran mati boleh sangat menyedihkan bagi keluarga dan melihat bukti ulasan sistematik  Cochrane adalah penting bagi kami. Ulasan sistematik Cochrane memberi bukti berkualiti tinggi. Kami menilai 43 ulasan Cochrane dengan lebih 60 cara berbeza untuk mencegah kelahiran mati dan kematian bayi semasa lahir.

Kami mendapati daripada 60 intervensi yang berbeza ini, kebanyakan intervensi tidak dapat menunjukkan kesan yang jelas dalam mengurangkan kelahiran mati atau kematian perinatal. Walau bagaimanapun, beberapa intervensi menunjukkan manfaat yang jelas untuk mencegah kelahiran mati dan kematian bayi semasa lahir, seperti penambahan tenaga/protein seimbang, model penjagaan oleh bidan, latihan berbanding tiada latihan atendan kelahiran tradisional, dan kardiotokografi antenatal. Kemungkinan manfaat juga diperhatikan untuk jaring anti-malaria yang dirawat dengan racun serangga dan pakej intervensi berasaskan komuniti, sementara pengurangan bilangan lawatan penjagaan antenatal adalah berbahaya.

Keberkesanan pelbagai kaedah yang diguna untuk mencegah kelahiran mati bergantung kepada di mana ia berlaku, menekankan kepentingan untuk memahami bagaimana ia diuji. Malangnya, penemuan ini tidak dapat diaplikasi kepada wanita secara umum dan di semua persekitaran global tetapi berharap gambaran keseluruhan ini dapat membantu menunjukkan kajian lanjutan berkualiti tinggi diperlukan di negara berpendapatan rendah dan sederhana di mana beban kelahiran mati yang tinggi berlaku. "

Rabu, 23 Disember 2020

Diterjemah oleh -Nila Pillai (Cchrane Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal)