
Penggunaan aspirin setiap hari tidak menawarkan cara yang cepat atau boleh dipercayai untuk mencegah kanser usus dalam populasi umum dan ia berisiko perdarahan serius serta-merta, menurut ulasan Cochrane yang baharu.
Kanser usus, juga dikenali sebagai kanser kolorektal, adalah salah satu jenis kanser yang paling lazim di seluruh dunia. Pencegahan biasanya melibatkan gaya hidup sihat dan ujian saringan rutin berkala. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, para penyelidik juga telah meneroka peranan ubat-ubatan sedia ada, seperti ubat anti-radang bukan steroid (NSAID) dalam mengurangkan insiden kanser usus.
NSAID termasuk ibuprofen dan aspirin, lazim diguna untuk mengurangkan keradangan, demam, dan sakit. Walau bagaimanapun, peranan mereka dalam pencegahan utama kanser usus masih tidak pasti dan kontroversial.
Para penyelidik dari Hospital China Barat Universiti Sichuan di China menganalisis 10 kajian rawak terkawal dengan 124,837 peserta, menilai sama ada aspirin atau NSAID lain boleh mencegah kanser kolorektal atau polip prakanser (adenoma) dalam kalangan orang yang berisiko sederhana. Pasukan itu tidak menemui sebarang kajian yang sesuai untuk NSAID bukan aspirin, oleh itu kesimpulan mereka hanya memfokus secara eksklusif kepada aspirin.
Manfaat jangka pendek yang sedikit atau tiada langsung dan kesan jangka panjang yang tidak pasti
Ulasan tersebut mendapati aspirin mungkin tidak mengurangkan risiko kanser usus dalam tempoh 5 hingga 15 tahun pertama penggunaannya. Kesan perlindungan yang mungkin selepas lebih 10–15 tahun susulan diperhatikan dalam beberapa kajian, tetapi kepastian bukti ini adalah sangat rendah.
Manfaat jangka panjang yang berpotensi ini datang daripada fasa susulan pemerhatian kajian, di mana peserta mungkin telah menghentikan aspirin, memulakannya secara bebas, atau memulakan rawatan lain, menjadikan penemuan terdedah kepada bias.
Penulis utama Dr Zhaolun Cai menjelaskan: "Walaupun idea aspirin mencegahkanser usus dalam jangka masa panjang adalah menarik, analisis kami menunjukkan manfaat ini tidak dijamin dan datang dengan risiko serta-merta.”
Risiko segera dan sedia ada
Penemuan ini juga menunjukkan bukti jelas penggunaan aspirin harian meningkatkan risiko perdarahan ekstrakranial yang serius dan mungkin meningkatkan risiko strok hemoragik.
Walaupun dos lebih tinggi berisiko terbesar, aspirin dos rendah ("bayi") juga meningkatkan risiko perdarahan. Orang dewasa yang lebih tua dan mereka yang ada sejarah ulser atau gangguan perdarahan mungkin lebih rentan.
Oleh itu, pengarang mengingatkan sebarang potensi manfaat jangka panjang mesti ditimbang terhadap risiko perdarahan segera dan sedia ada.
"Kebimbangan terbesar saya ialah orang ramai mungkin menganggap mengambil aspirin hari ini akan melindungi mereka daripada kanser esok. Pada hakikatnya, sebarang kesan pencegahan yang berpotensi mengambil masa lebih sedekad untuk muncul, jika ia muncul sama sekali, manakala risiko perdarahan bermula serta-merta.” kata Dr Bo Zhang, penulis kanan.
Tiada penyelesaian satu saiz untuk semua
Bukti terdahulu menunjukkan potensi manfaat untuk orang yang berisiko genetik tinggi untuk kanser kolorektal, seperti mereka yang menghidap sindrom Lynch. Walau bagaimanapun, ulasan ini hanya memfokus orang yang berisiko sederhana, dan bukti jangka panjang untuk mereka terbukti sangat tidak pasti.
Para pengarang menggesa pesakit agar tidak mula mengambil aspirin untuk pencegahan kanser tanpa perbincangan teliti dengan profesional penjagaan kesihatan mereka tentangl risiko perdarahan peribadi mereka.
"Ulasan ini memperkukuh bahawa kita mesti beralih daripada pendekatan satu saiz untuk semua," kata Dr Dan Cao, pengarang kanan. "Penggunaan aspirin yang meluas dalam populasi umum tidak disokong oleh bukti. Masa depan terletak pada pencegahan yang tepat – menggunakan penanda molekul dan profil risiko individu untuk mengenal pasti siapa yang mungkin mendapat manfaat paling banyak dan siapa yang paling berisiko.”
Pasukan penyelidikan menyimpulkan kisah aspirin untuk pencegahan kanser jauh lebih kompleks daripada yang dipercayai sebelum ini dan keseimbangan manfaat dan bahaya berubah dari semasa ke semasa.
"Sebagai saintis, kita mesti mengikuti bukti yang ada," tambah Dr Zhang. "Analisis teliti kami terhadap kajian berkualiti tinggi mendedahkan kisah 'aspirin untuk pencegahan kanser' adalah lebih kompleks dari ‘ya atau tidak’ Bukti semasa tidak menyokong cadangan menyeluruh penggunaan aspirin semata-mata untuk mencegah kanser usus."