
Keputusan mengenai vaksin HPV dalam kalangan remaja dan keluarga mereka dipengaruhi oleh rangkaian faktor sosial, budaya dan berkaitan kepercayaan, di luar kesedaran atau akses mudah, ulasan Cochrane mendapati.
Diterbitkan pada April tahun ini, ulasan kualitatif Cochrane mengenalpasti lapan tema menyeluruh yang membentuk cara penjaga dan remaja melihat dan melibatkan diri dengan program vaksinasi HPV. Untuk Hari Penghapusan Kanser Serviks Sedunia, pasukan di belakang ulasan telah menulis blog baharu untuk membantu profesional kesihatan awam mengemudi kerumitan ini.
Papillomavirus manusia (HPV) ialah keluarga virus lazim, termasuk virus yang menyebabkan ketuat kemaluan dan beberapa jenis kanser dalam kalangan semua jantina. Kanser serviks, kanser keempat paling lazim dalam kalangan wanita di seluruh dunia, adalah kanser yang paling lazim dikaitkan dengan jangkitan HPV. Vaksinasi dalam kalangan orang muda menyediakan alat yang berkuasa untuk mencegah kanser serviks dan penyakit berkaitanHPV lain.
Walaupun diperkenalkan secara progresif di kebanyakan negara, vaksinasi HPV kurang optimum dalam beberapa persekitaran di seluruh dunia. Memandangkan program vaksinasi bergantung kepada tahap liputan yang tinggi untuk berjaya, memahami sebab sesetengah golongan muda dan penjaga mereka teragak-agak atau menolak vaksinasi adalah penting.
Lapan tema utama yang mempengaruhi keputusan vaksinasi HPV
Ulasan ini bertujuan untuk membina pemahaman yang menyeluruh tentang pelbagai faktor yang mempengaruhi pandangan dan amalan penjaga dan remaja tentang vaksinasi HPV, dan mengapa sesetengah orang mungkin kurang menerimanya.
Ulasan tersebut sertakan 206 kajian, di mana 71 kajian telah dimasukkan dalam analisis. Kajian datang dari semua enam wilayah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) termasuk persekitaran bandar dan luar bandar.
Ulasan ini mendapati banyak faktor kompleks - sosial, politik, ekonomi, struktur dan moral - mungkin mempengaruhi cara penjaga dan golongan muda melihat vaksinasi HPV. Faktor-faktor ini dikumpulkan kepada lapan tema menyeluruh:
- Pengetahuan perubatan terhad tentang HPV dan vaksinasi.
- Persepsi tentang risiko dan manfaat, termasuk kebimbangan keselamatan dan kepercayaan moral tentang seksualiti.
- Sikap umum terhadap vaksinasi, dibentuk oleh pengalaman lalu dengan vaksin lain.
- Dinamik membuat keputusan keluarga antara penjaga dan remaja.
- Pengaruh sosial dan komuniti, termasuk rakan sebaya, keluarga besar, pemimpin agama atau tradisional, dan media.
- Kepercayaan dan norma budaya remaja, jantina, keibubapaan, dan seksualiti.
- Percayaan atau tidakpercaya kepada institusi seperti sekolah, kerajaan, sains dan sistem penjagaan kesihatan.
- Halangan praktikal untuk mengakses vaksin HPV, termasuk kos, bahasa dan kemudahan.
Faktor-faktor ini berkait merentasi pelbagai konteks dan tahap pendapatan, menyerlahkan keraguan vaksin bukan hanya setakat maklumat yang salah. Sebaliknya, ia mencerminkan konteks sosial, politik dan moral yang lebih mendalam di mana keputusan kesihatan dibuat.
"Sering diandaikan apabila orang membuat keputusan untuk menentang vaksinasi, ia adalah kerana mereka kurang pengetahuan atau kesedaran. Namun penemuan ulasan kami mencadangkan hubungan yang lebih kompleks antara pengetahuan tentang vaksinasi HPV dan penerimaannya." kata Dr Sara Cooper, pengarang utama ulasan dari Cochrane Afrika Selatan.
Mengambil tindakan melangkau pendidikan dan meningkatkan kesedaran
Penulis menekankan memahami kebimbangan penjaga dan remaja tentang vaksinasi HPV, dan norma dan nilai sosial yang lebih luas mungkin menjadi bahagian yang penting. Membenarkan kebimbangan ini disuarakan dan mendengar mereka dengan empati boleh membantu membina kepercayaan dan mengukuhkan keyakinan dalam program vaksinasi.
“Untuk mempercepat kemajuan ke arah penghapusan kanser serviks, kita mesti melangkau kempen kesedaran. Membina kepercayaan, memahami rangka kerja moral tempatan, dan memastikan akses yang saksama adalah penting untuk meningkatkan pengambilan vaksin HPV di seluruh dunia,” kata Profesor Charles Shey Wiysonge, pengarang kanan ulasan dari Cochrane Afrika Selatan.
Dengan menyasarkan pengaruh ini, penggubal dasar dan profesional penjagaan kesihatan mungkin dapat mengukuhkan keyakinan terhadap vaksinasi HPV dengan cara yang lebih relevan, boleh diterima dan akhirnya berkesan.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).