Bukti kukuh menyokong kontak kulit-ke-kulit selepas lahir sebagai penjagaan standard

Cochrane Malaysia Workshop

Kontak segera kulit-ke-kulit di antara bayi baru lahir dan ibu mereka menawarkan permulaan kehidupan lebih baik, memperbaik beberapa metrik kesihatan utama, menurut ulasan Cochrane yang baru dikemas kini.

Ulasan ini mendapati bayi yang ada kontak kulit-ke-kulit dengan ibu mereka dalam jam pertama kelahiran lebih cenderung mendapat pelbagai manfaat, termasuk penyusuan eksklusif susu ibu, suhu badan dan paras gula darah yang optimum. Walaupun manfaat yang mungkin untuk ibu juga dikaji, seperti kesan ke atas kehilangan darah dan masa pengeluaran uri, buktinya kurang pasti. 

Kulit-ke-kulit melibatkan perletakan bayi baru lahir berbogel di atas dada ibu yang tidak bertutup sejurus selepas kelahiran. Amalan mudah ini membantu bayi menyesuaikan diri dengan kehidupan di luar rahim, memastikan mereka panas, mengurangkan stres dan menangis, dan menyokong fungsi penting seperti pernafasan dan kadar denyut jantung.

Bukti yang memihak kepada kontak kulit-ke-kulit segera adalah sedemikian sehingga para pengarang kini tidak lagi menasihatkan kajian rawak lanjutan di mana kontak kulit-ke-kulit ditawarkan dalam bahagian kawalan.

Manfaat yang jelas untuk bayi

Ulasan ini terbina berdasarkan kemas kini 2016 yang memaklumkan 20 garis panduan antarabangsa, termasuk syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Kemas kini terkini menambah 26 kajian baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 69 kajian dengan lebih 7,000 pasangan ibu-bayi, kebanyakannya dijalankan di negara berpendapatan tinggi.

Penemuan menunjukkan ibu yang ada kontak kulit-ke-kulit dengan bayi mereka pada jam pertama selepas lahir lebih cenderung untuk menyusu secara eksklusif enam bulan pertama kehidupan bayi.  Penyusuan susu ibu eksklusif memberi banyak manfaat kesihatan untuk ibu, bayi dan sistem kesihatan. 

Ulasan mendapati kira-kira 75% bayi yang menerima kontak awal kulit-ke-kulit menyusu secara eksklusif pada 1 bulan berbanding 55% bayi dalam kumpulan yang tidak menerima kontak kulit-ke-kulit. Bayi baru lahir juga mendapat manfaat paras gula, suhu badan, pernafasan dan kadar denyut jantung yang optimum. 

Walaupun cadangan garis panduan untuk memulakan kontak kulit-ke-kulit segera tanpa gangguan sehingga selepas penyusuan pertama, masih banyak sistem kesihatan memisahkan ibu dan bayi dalam tempoh ini. 

"Secara sejarah, bayi dipisahkan daripada ibu mereka sejurus selepas lahir untuk prosedur rutin seperti pemeriksaan fizikal, menimbang dan mandi, mencegah kontak kulit-ke-kulit segera" kata penulis utama Elizabeth Moore, yang bersara dari Sekolah Kejururawatan, Universiti Vanderbilt. "Walaupun di negara yang ada banyak penjagaan berkualiti tinggi, intervensi percuma dan mudah dilaksanakan ini tidak menjadi amalan biasa."

Mengasingkan ibu dan bayi tidak lagi beretika 

Yang penting, ulasan itu menyerlahkan kajian rawak terkawal lanjutan membandingkan kontak kulit-ke-kulit dengan 'penjagaan biasa' tidak lagi beretika. 

Penemuan menunjukkan kini terdapat cukup bukti untuk menjadikan kontak segera kulit-ke-kulit selepas lahir sebagai standard penjagaan global. Memandangkan WHO sudah mengesyorkan standard penjagaan kulit-ke-kulit, para penulis berpendapat pengasingan secara rawak untuk ibu dan bayi baru lahir mungkin tidak lagi wajar.

"Menegah kontak kulit-ke-kulit kini dianggap tidak beretika, kerana terdapat cukup bukti yang menunjukkan amalan ini memperbaik kesihatan dan survival bayi baru lahir," kata Karin Cadwell, pengarang kanan dan Pengarah Eksekutif dan Fakulti Utama Pusat Projek Kanak-Kanak Sihat untuk Penyusuan. "Walaupun kajian yang layak untuk ulasan kami tidak memfokus kepada survival, penyelidikan lain dalam persekitaran rendah sumber, kontak kulit-ke-kulit boleh menjadi perbezaan antara hidup dan mati bayi yang lahir dengan berat rendah. Pengambilan untuk kajian besar di seluruh hospital di India dan Afrika dihentikan selepas data awal yang menunjukkan kontak kulit-ke-kulit memperbaik survival dengan ketara."

Walaupun kajian yang disertakan dalam ulasan ini datang dari negara berpendapatan tinggi dan sederhana merentas pelbagai benua, tiada satu pun dijalankan di negara berpendapatan rendah. Para penulis mengambil maklum penyelidikan masa depan harus utamakan peningkatan kualiti kajian dan memfokus pelaksanaan, dan bukannya menguji intervensi itu sendiri.

Baca Ulasan penuh

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nila Pillai (RCSI & UCD, Malaysia campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).