Bukti lemah di sebalik cara mengukur sakit dalam kalangan bayi

Cochrane Malaysia Workshop

Bukti lemah di sebalik cara mengukur sakit dalam kalangan bayi

Kajian Cochrane yang baru diterbitkan mendedahkan jurang ketara dalam skala pengkadaran klinikal yang diguna untuk menilai sakit dalam kalangan bayi baru lahir, menyerlahkan keperluan mendesak untuk alat yang lebih baik dan kerjasama global.

Walaupun ada keperluan kritikal untuk mengukur sakit dengan tepat dalam kalangan bayi baru lahir, ulasan mendapati tiada skala sedia ada yang disokong oleh bukti berkualiti tinggi dan perlindungan metodologi yang diperlukan untuk mengesahkan kesahihan dan kebolehpercayaannya dalam amalan klinikal.

Penilaian dan pengurusan sakit neonatal memberi cabaran kepada kakitangan klinikal di seluruh dunia. Lebih 40 skala pengkadaran telah dibangunkan dan disesuaikan di seluruh dunia bagi menilai parameter yang berbeza dan pelbagai jenis sakit.

Enam hingga sembilan peratus daripada semua bayi baru lahir perlukan kemasukan ke unit rawatan intensif neonatal (NICU) akibat penyakit pramatang. Bayi-bayi ini mengalami pelbagai prosedur yang menyakitkan setiap hari, yang boleh membawa kesan negatif jangka panjang. Oleh tiu, kaedah yang sesuai sangat penting untuk menyokong penilaian sakit.

Skala sakit bayi tiada bukti yang kukuh

Kajian Cochrane menganalisis 79 kajian melibatkan lebih 7,000 bayi di 26 negara, menilai 27 skala penilaian klinikal yang berbeza. Semua skala penilaian didapati disokong oleh bukti yang sangat berkualiti rendah, menunjukkan batasan utama dalam keberkesanan dan kebolehgunaan klinikalnya.

“Lebih 70% skala penilaian dalam ulasan ini tidak menilai kandungan dan kesahan struktur, dan kedua-dua faktor ini penting semasa memilih instrumen pengukuran," kata Kenneth Färnqvist, ahli fisioterapi dan calon PhD di Jabatan Perubatan dan Pembedahan Molekul di Institut Karolinska di Sweden. “Tanpa asas yang kukuh dalam bidang ini, langkah lain yang perlu, seperti kebolehpercayaan, tidak dapat dinilai dengan tepat. Kajian masa depan mesti mengutamakan pengesahan yang ketat untuk meningkatkan penilaian sakit neonatal. 

Mengukur sakit dalam kalangan bayi baru lahir adalah sangat kompleks berbanding orang dewasa. Batasan sedemikian boleh memberi anggaran sakit yang berlebihan atau terkurang, penggunaan sedasi yang tidak perlu atau sakit yang tidak dirawat secukupnya, yang berpotensi menjejaskan keselamatan bayi melalui kesan sampingan rawatan, termasuk gejala sarak atau ketidakselesaan berpanjangan. Bayi pramatang merumitkan lagi keadaan, kerana sering kurang upaya untuk menunjukkan tingkah laku sakit yang kuat kerana mereka tidak matang. Begitu juga bagi bayi yang kurang sihat atau dibius.

"Adalah penting untuk diingat skala pengkadaran klinikal hanya pengganti untuk pengukuran sakit" kata Roger F. Soll, Profesor Neonatologi di Universiti Vermont. "Memandangkan ketidakpastian dalam ulasan ini, kakitangan klinikal harus mengelak daripada terlalu bergantung kepada skala penilaian yang diamalkan masa kini, sebaliknya berusaha untuk mengurangkan prosedur yang menyakitkan sebanyak mungkin dalam populasi yang rentan ini." 

Kerjasama global diperlukan untuk memperbaik penilaian sakit bayi

Walaupun keputusan yang mengecewakan, ulasan ini memberi peluang untuk progres dalam penilaian sakit neonatal, terutamanya melalui kerjasama dan inovasi global.

Emma Persad, doktor dan calon PhD di Jabatan Kesihatan Wanita dan Kanak-kanak di Institut Karolinska, melihat ini sebagai peluang untuk kerjasama global dan seruan untuk bertindak. 

"Ini adalah peluang kami untuk menyatukan doktor dan pakar metodologi dalam membangunkan skala yang disahkan dengan ketat dari awal, yang memenuhi semua pemeriksaan yang diperlukan sebelum pelaksanaan dalam penyelidikan dan amalan," kata Emma. "Kami berharap untuk memulakan kerja yang memberi impak ini dan implikasinya terhadap menilai dan menguruskan sakit neonatal di seluruh dunia.”

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).