Bukti tidak mencukupi untuk menyokong kanabis perubatan untuk insomnia

Satu ulasan Cochrane yang baharu mendapati bukti sedia ada adalah sangat tidak pasti untuk menentukan sama ada kanabis perubatan memperbaiki tidur atau fungsi siang hari dalam kalangan penghidap insomnia.

Insomnia adalah gangguan tidur biasa yang menyukarkan seseorang untuk tidur, kekal tidur, atau berasa segar apabila terjaga. Ia boleh memberi impak yang teruk terhadap kualiti hidup seseorang dan menjadikan seseorang lebih terdedah kepada kebimbangan atau kemurungan dari semasa ke semasa. 

Pilihan rawatan sedia ada termasuk terapi tingkah laku kognitif dan ubat-ubatan, termasuk antidepresan dan antipsikotik, tetapi kejayaan kedua-duanya berbeza-beza. 

Dalam beberapa tahun terkini, terdapat peningkatan minat terhadap kanabis perubatan sebagai rawatan alternatif bagi insomnia kerana manfaatnya yang dilaporkan dalam memperbaiki kualiti tidur. Dalam tetapan klinikal, ini biasanya melibatkan nisbah THC dan CBD yang terkawal dan diuji dalam bentuk tablet, semburan atau minyak. Walau bagaimanapun, penggunaan kanabis perubatan untuk insomnia masih menjadi perdebatan, dan bukti adalah terhad. 

Tiada bukti jelas bahawa kanabis perubatan membantu

Diketuai oleh para penyelidik dari Pusat Bersekutu Cochrane di Hospital Universidad Italiano de Buenos Aires dan Universiti Manitoba, ulasan tersebut memasukkan 9 kajian yang melibatkan 537 orang dewasa berumur 18 hingga 76 tahun yang dirawat untuk insomnia. Kebanyakan kajian tertumpu pada penghidap insomnia primer dan bukannya insomnia yang dikaitkan dengan keadaan kesihatan yang lain. Lapan daripada sembilan kajian membandingkan kanabis perubatan terkawal dengan plasebo; satu kajian membandingkannya dengan ubat antidepresan amitriptilin.

Kanabis perubatan menunjukkan sedikit atau tiada peningkatan klinikal yang bermakna dalam kualiti dan kepuasan tidur, jumlah masa tidur atau fungsi pada waktu siang berbanding dengan plasebo. 

Peserta yang mengambil kanabis perubatan jauh lebih cenderung mengalami kesan buruk yang ringan, seperti mulut kering dan pening, berbanding mereka yang mengambil plasebo; tetapi ini berdasarkan sekumpulan kecil kajian.

Kanabis perubatan sedikit sebanyak meningkatkan kualiti hidup, tetapi kepastiannya sangat rendah, dan keputusan terkumpul serasi dengan apa-apa sahaja daripada sedikit kemerosotan kepada peningkatan yang besar.

“Mesej utamanya ialah penyelidikan yang ada pada masa ini tidak mencukupi untuk menjawab dengan pasti sama ada kanabis perubatan membantu penghidap insomnia,” kata Dr. Lucia Varela, penulis utama kajian tersebut dari Universiti Manitoba, Kanada. "Ini tidak bermakna kanabis perubatan tidak berkesan. Ini bermakna, berdasarkan bukti yang kami ada, kami tidak dapat membuat kesimpulan yang boleh dipercayai tentang keberkesanannya untuk insomnia dalam kalangan populasi umum.”

Kajian yang lemah menurunkan taraf bukti

Kualiti dan kepastian keseluruhan bukti dinilai sangat rendah hingga rendah, sebahagian besarnya disebabkan oleh risiko bias dalam asas kajian, keputusan yang tidak konsisten antara kajian, dan saiz sampel yang kecil. 

Kajian-kajian berbeza dari segi jenis produk kanabis yang digunakan, yang mengehadkan perbandingan, dan kajian terpanjang hanya mengikuti peserta selama 12 minggu. Ini bermakna kita tidak boleh bercakap banyak tentang kesan jangka panjangnya.

Data yang ada juga tidak begitu mewakili kumpulan pesakit yang lebih luas. Data tersebut sangat condong kepada golongan yang lebih muda dan wanita (72.66% peserta). Oleh itu, dapatan tersebut mungkin tidak begitu terpakai kepada lelaki, warga emas, dan individu yang mempunyai komorbiditi.

Para penulis menyimpulkan bukti masih lemah dan tidak pasti, menonjolkan keperluan untuk penyelidikan berkualiti tinggi sebelum kanabis perubatan boleh disyorkan untuk insomnia.

"Buktinya terlalu lemah dan tidak pasti untuk membuat kesimpulan yang kukuh tentang penggunaan kanabis perubatan untuk insomnia," kata Dr Luis Garegnani, penulis kanan dari Hospital Universidad Italiano de Buenos Aires, Argentina. "Daripada melihat penemuan ini sebagai sokongan atau penolakan kanabis perubatan, pengamal klinikal dan pesakit harus menyedari ketidakpastian dan mempertimbangkan keadaan individu sementara bukti yang lebih baik dihasilkan.”

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Baca ulasan penuh disini