Cermin mata yang dipasarkan untuk menapis cahaya biru mungkin tidak menyebabkan perubahan pada ketegangan mata yang disebabkan oleh penggunaan komputer atau kualiti tidur, menurut ulasan 17 kajian rawak terkawal bagi bukti terbaik yang tersedia setakat ini.
Ulasan yang diketuai oleh pengarang dari Universiti Melbourne dan diterbitkan dalam Pangkalan Data Kajian Sistematik Cochrane [1], juga tidak menemui sebarang bukti bahawa kanta penapisan cahaya biru melindungi daripada kerosakan pada retina, tisu sensitif cahaya di bahagian belakang mata.
Kanta penapisan cahaya biru, juga dikenali sebagai cermin mata menyekat cahaya biru, telah semakin diberikan atau disarankan, selalunya oleh pakar optik, sejak awal 2000-an. Kajian berasaskan kaji selidik di Australia [2] pada 2018 mendapati bahawa, daripada 372 pakar optometris yang bertindak balas, 75% memberikan kanta ini walaupun mengakui batasan dalam bukti untuk menyokong penggunaannya.
Pasukan Cochrane berusaha untuk menilai kesan kanta penapisan cahaya biru berbanding dengan kanta penapisan bukan cahaya biru untuk meningkatkan prestasi visual, memberikan perlindungan pada retina dan meningkatkan kualiti tidur. Mereka menganalisis data daripada semua kajian rawak terkawal yang mereka temui mengenai topik tersebut dan menemui 17 kajian dari enam negara [3]. Bilangan peserta dalam kajian individu adalah antara lima hingga 156, dan tempoh masa di mana kanta dinilai adalah antara kurang dari satu hari hingga lima minggu.
Penulis kanan ulasan itu ialah Profesor Madya Laura Downie, Fellow Dame Kate Campbell dan Ketua Makmal Downie: Mata Anterior, Kajian Klinikal dan Unit Terjemahan Penyelidikan, di Universiti Melbourne, Victoria, Australia.
Dia berkata: "Kami menemui mungkin tiada kelebihan jangka pendek dengan menggunakan kanta cermin mata penapisan cahaya biru untuk mengurangkan keletihan visual yang berkaitan dengan penggunaan komputer, berbanding kanta penapisan bukan cahaya biru. Pada masa ini juga tidak jelas sama ada kanta ini menjejaskan kualiti penglihatan atau hasil yang berkaitan dengan tidur, dan tiada kesimpulan boleh dibuat tentang sebarang potensi kesan pada kesihatan retina dalam jangka panjang. Orang ramai harus sedar tentang penemuan ini apabila membuat keputusan sama ada untuk membeli cermin mata ini.”
Bagaimanapun, kualiti dan tempoh kajian juga perlu dipertimbangkan, katanya.
“Kami melakukan ulasan sistematik mengikut piawaian metodologi Cochrane untuk memastikan penemuan itu mantap. Walau bagaimanapun, kepastian kami dalam penemuan yang dilaporkan adalah terhad disebabkan kualiti bukti yang ada. Tempoh susulan yang singkat mengehadkan keupayaan kami untuk mempertimbangkan potensi hasil jangka panjang.”
Penulis pertama ulasan itu, Dr Sumeer Singh, seorang rakan penyelidik pasca doktoral di Makmal Downie, berkata: “Kajian penyelidikan klinikal yang berkualiti tinggi dan besar dengan susulan yang lebih lama dalam populasi yang lebih pelbagai masih diperlukan untuk memastikan dengan lebih jelas kesan potensi kanta cermin mata penapisan cahaya biru terhadap prestasi visual, tidur dan kesihatan mata. Mereka harus memeriksa sama ada keberkesanan dan hasil keselamatan berubah antara kumpulan orang yang berbeza dan menggunakan pelbagai jenis kanta.”
Kajian itu tidak menemui sebarang laporan konsisten tentang kesan sampingan yang buruk daripada menggunakan kanta penapisan cahaya biru. Sebarang kesan adalah ringan, jarang dan sementara. Ia termasuklah ketidakselesaan memakai cermin mata, sakit kepala dan mood yang lebih rendah. Ini mungkin berkaitan dengan pemakaian cermin mata secara amnya, kerana kesan yang sama dilaporkan dengan kanta penapisan bukan cahaya biru.
Prof. Downie berkata: "Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat perdebatan penting mengenai sama ada kanta cermin mata penapisan cahaya biru mempunyai manfaat dalam amalan oftalmik. Penyelidikan telah menunjukkan bahawa kanta ini kerap diberikan kepada pesakit di banyak bahagian dunia, dan pelbagai tuntutan pemasaran wujud mengenai potensi manfaatnya, termasuk bahawa ia boleh mengurangkan ketegangan mata yang berkaitan dengan penggunaan alat digital, meningkatkan kualiti tidur dan melindungi retina daripada kerosakan akibat cahaya. Hasil ulasan kami, berdasarkan data yang agak terhad, menunjukkan bahawa bukti adalah tidak kukuh dan tidak pasti untuk tuntutan ini. Penemuan kami tidak menyokong pemberian kanta penapisan cahaya biru kepada populasi umum, dan keputusan ini relevan kepada pelbagai orang, termasuk profesional penjagaan mata, pesakit, penyelidik dan komuniti yang lebih luas.”
Cara yang berpotensi di mana kanta penapisan cahaya biru mungkin dapat membantu ketegangan mata, tidur dan melindungi retina adalah tidak diketahui. Satu rasional untuk dakwaan tentang faedah kanta ini ialah alat digital moden seperti komputer dan telefon pintar mengeluarkan lebih banyak cahaya biru daripada sumber pencahayaan tradisional, dan digunakan lebih lama, dan lebih dekat dengan waktu tidur.
Dr Singh berkata: “Jumlah cahaya biru yang mata kita terima daripada sumber buatan, seperti skrin komputer, adalah kira-kira satu perseribu daripada apa yang kita dapat daripada cahaya siang semula jadi. Perlu diingat juga bahawa kanta penapisan cahaya biru biasanya menapis kira-kira 10-25% cahaya biru, bergantung pada produk tertentu. Menapis cahaya biru yang lebih tinggi tahapnya memerlukan kanta untuk mempunyai warna kuning yang jelas, yang akan memberi kesan yang besar pada persepsi warna”
Nota:
[1] "Kanta cermin mata penapisan cahaya biru untuk prestasi visual, tidur dan kesihatan makula pada orang dewasa", oleh Sumeer Singh, Peter R Keller, Ljoudmila Busija, Patrick McMillan, Eve Makrai, John G Lawrenson, Christopher C Hull, Laura E Downie. Pengkalan Data Ulasan Sistematik Cochrane. Selepas sekatan diangkat, ia boleh didapati di https://www.cochranelibrary.com/cdsr/doi/10.1002/14651858.CD013244.pub2
[2] "Pemahaman tentang pengetahuan dan sikap pakar optometris Australia terhadap memberikan alat oftalmik penyekat cahaya biru" oleh Sumeer Singh, Andrew J Anderson, Laura E Downie.
https://doi.org/10.1111/opo.12615
[3] Daripada 17 kajian, 12 telah dijalankan di Australia, Republik Czech, Jepun, Norway, USA dan UK. Lima kajian tidak melaporkan negara di mana kajian dijalankan. Kebanyakan kajian diterbitkan selepas 2010, mencadangkan minat penyelidikan yang semakin meningkat dalam kanta penapisan cahaya biru sepanjang dekad yang lalu.
Pembiayaan: Majlis Penyelidikan Kesihatan dan Perubatan Kebangsaan, Australia, Agensi Kesihatan Awam, UK, Queen's University Belfast, UK.
Tentang Cochrane
Cochrane adalah rangkaian global bebas melibatkan penyelidik, profesional, pesakit, penjaga dan orang yang berminat dengan kesihatan. Cochrane menghasilkan ulasan yang mengkaji semua bukti terbaik yang ada yang dihasilkan melalui penyelidikan dan memudahkan makluman keputusan tentang kesihatan. Ini dipanggil ulasan sistematik. Cochrane adalah sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang melibatkan usaha sama dari lebih 130 negara bagi menghasilkan maklumat kesihatan yang dipercayai, boleh diakses, bebas daripada penajaan komersial dan konflik kepentingan yang lain. Kerja kami diiktiraf sebagai mewakili piawaian unggul antarabangsa untuk maklumat berkualiti tinggi, yang dipercayai.
Ketahui lebih lanjut di cochrane.org
Ikuti kami di twitter @cochranecollab
Jika anda seorang wartawan atau ahli akhbar dan mahu menerima makluman berita sebelum penerbitannya dalam talian atau ingin mengatur temu bual dengan penulis, sila hubungi pejabat akhbar Cochrane: pressoffice@cochrane.org
Diterjemah oleh Cochrane Malaysia. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my