Gula menenangkan bayi baru lahir semasa prosedur yang menyakitkan

Para penyelidik mendapati sukrosa boleh melegakan kesakitan bayi yang baru lahir semasa prosedur hospital yang biasa

A baby with sparse hair cradled in a person's gentle hands. The scene conveys tenderness and protection, highlighting the baby's small size and vulnerability.

Satu ulasan Cochrane baharu mendapati sukrosa boleh membantu melegakan sakit dalam kalangan bayi baru lahir semasa prosedur hospital lazim seperti venepunktur. Ini melibatkan pengambilan darah dengan jarum, biasanya untuk ujian. 

Bayi baru lahir, terutama bayi pramasa di unit rawatan intensif neonatal (NICU), menjalani pelbagai prosedur yang menyakitkan. Oleh kerana pengawalan sakit mereka yang tak matang, mereka boleh mengalami prosedur ini dengan intensif. Mencegah dan merawat kesakitan prosedur dalam kalangan bayi baru lahir yang dimasukkan ke hospital adalah penting, kerana kesakitan berulang yang tidak dirawat telah dikaitkan dengan pertumbuhan fizikal yang lebih lemah dan potensi kesan kepada perkembangan otak.

Larutan yang mudah didapati, berkos rendah seperti sukrosa — larutan gula manis yang diletakkan dalam mulut bayi sejurus sebelum prosedur jarum — telah digunakan selama beberapa dekad. Walau bagaimanapun, bukti spesifik untuk beberapa prosedur, seperti venepunktur adalah terhad.

Walaupun sukrosa disyorkan dalam pelbagai garis panduan untuk melegakan kesakitan prosedur dalam kalangan bayi, penggunaannya dalam persekitaran klinikal masih tidak konsisten.

Intervensi yang murah dan selamat

Ulasan baharu itu mengkaji 29 kajian klinikal melibatkan lebih 2,700 bayi pramasa dan cukup bulan yang menjalani venepunktur di hospital. Ulasan tersebut mendapati sukrosa mungkin mengurangkan sakit semasa dan sejurus selepas prosedur jarum berbanding tanpa rawatan, air atau penjagaan standard. Penemuan ini juga menunjukkan sukrosa berfungsi dengan baik apabila digabung dengan hisapan yang tidak berkhasiat, seperti puting atau “dummy”. 

"Bayi baru lahir kerap menjalani prosedur jarum di hospital tanpa sebarang kelegaan sakit atau langkah melegakan sakit, walaupun kanak-kanak yang lebih berusia dan orang dewasa jarang menjalani prosedur ini tanpa penjagaan sakit," kata penulis utama Mariana Bueno dari Universiti Toronto. "Bukti menunjukkan sedikit sukrosa yang diberi sebelum prosedur adalah cara yang mudah, cepat dan berkesan untuk mengurangkan sakit. Ulasan kami membantu klinisian menggunakan bukti ini dengan lebih yakin dan konsisten dalam amalan.”

Tiada satu kajian pun yang disertakan dalam ulasan ini melaporkan kesan sampingan serta-merta daripada sukrosa apabila diguna dalam jumlah kecil yang diperlukan untuk melegakan sakit. Walau bagaimanapun, kajian-kajian ini memfokus kesan jangka pendek, dan lebih banyak kajian diperlukan untuk memahami sebarang potensi kesan jangka panjang penggunaan berulang dalam kalangan bayi di penjagaan neonatal yang lebih lama.

“Ibu bapa mungkin terkejut apabila mengetahui sesuatu yang semudah beberapa titis larutan gula boleh memberi perbezaan nyata kepada keselesaan bayi mereka semasa ujian darah,” kata penulis bersama Ligyana Candido dari Universiti Ottawa. "Ini merupakan intervensi berkos rendah dan selamat yang berkesan dalam beberapa minit, dan ia amat membantu apabila kaedah menenangkan lain seperti sentuhan kulit ke kulit atau penyusuan susu ibu tidak dapat dilakukan."

Dirawat seperti ubat-ubatan lain

Walaupun sukrosa sudah digunakan secara meluas dalam unit neonatal, para penyelidik mendapati variasi yang ketara dalam cara ia diberi termasuk perbezaan dos dan masa. 

"Apa yang menarik perhatian saya semasa membuat ulasan ini ialah variasi yang luas dalam cara sukrosa diberi kepada bayi baru lahir," tambah Bueno. Pengarang mencadangkan penemuan ini dapat membantu memaklumkan protokol klinikal yang lebih jelas dan amalan yang lebih konsisten.

Mereka juga menyerlahkan sukrosa harus diguna untuk prosedur yang menyakitkan dan didokumentasi dengan sewajarnya, daripada diberikan secara rutin untuk menenangkan bayi yang menangis. 

"Bagi memastikan keselamatan dan konsistensi klinikal, sukrosa mesti diberi di bawah protokol ubat formal yang menentukan masa dan dos khusus untuk prosedur yang menyakitkan," kata pengarang bersama Jiale Hu dari Virginia Commonwealth University. 

Pengarang ulasan mengatakan kajian masa depan harus memfokus kepada perbandingan langkah-langkah keselesaan yang berkesan seperti sentuhan kulit ke kulit, penyusuan susu ibu dan sukrosa antara satu sama lain, daripada terus membandingkannya dengan tiada rawatan, dan bagi pemahaman tentang sebarang potensi kesan jangka panjang penggunaan berulang dalam kalangan bayi yang berada lebih lama dalam penjagaan neonatal. 

 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini.
Diterjemah oleh Cochrane Malaysia. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manaipal Malaysia).

Baca ulasan penuh disini