Intervensi yang bertujuan untuk mengurangkan tekanan berkaitan kerja untuk individu pekerja penjagaan kesihatan boleh membawa kepada penambahbaikan dalam cara orang menghadapi tekanan sehingga setahun kemudian. Penemuan daripada ulasan Cochrane tentang bukti terkini yang tersedia dibina berdasarkan kesimpulan ulasan sebelumnya pada 2015 yang menemui bukti berkualiti rendah bahawa intervensi, seperti latihan tingkah laku kognitif (CBT), relaksasi mental dan fizikal, adalah lebih baik daripada tiada.
Para penyelidik memasukkan 117 kajian tentang kesan intervensi yang berbeza terhadap pengurangan tekanan dalam ulasan ini, di mana 89 kajian adalah baru. 89 kajian ini diterbitkan antara 2013 dan 2022. Sejumlah 11,119 pekerja penjagaan kesihatan di seluruh dunia telah dirawakkan untuk intervensi yang berbeza, dan tekanan dinilai oleh soal selidik yang mengukur gejala tekanan dalam jangka pendek (sehingga tiga bulan selepas intervensi berakhir), dalam jangka sederhana (antara tiga dan 12 bulan) dan panjang (susulan selepas lebih daripada setahun).
Ulasan dari Cochrane [1], satu kerjasama bebas antara pakar antarabangsa, melihat intervensi pada tahap individu pekerja penjagaan kesihatan yang menumpukan perhatian sama ada pada pengalaman tekanan, atau menjauhi pengalaman tekanan. Strategi untuk menumpukan perhatian pada tekanan termasuk CBT, dan latihan tentang ketegasan, daya tahan dan kemahiran komunikasi. Intervensi yang menumpukan perhatian menjauhi tekanan termasuk relaksasi, meditasi kesedaran, senaman seperti yoga dan tai chi, urutan, akupunktur, dan mendengar muzik. Para penyelidik ingin melihat sama ada jenis intervensi berbeza adalah lebih baik daripada tiada intervensi dalam mengurangkan tekanan.
Pekerja penjagaan kesihatan dalam kajian mengalami tahap tekanan dan keletihan yang rendah hingga sederhana, yang boleh membawa kepada gejala fizikal seperti sakit kepala, ketegangan otot atau sakit, tetapi juga gejala mental, seperti kemurungan, kebimbangan, tumpuan terjejas dan masalah emosi dan hubungan.
Sietske Tamminga, penolong profesor dalam kesihatan awam dan pekerjaan di Pusat Perubatan Universiti Amsterdam, Amsterdam, Belanda, yang mengetuai penyelidikan berkata: “Pekerja penjagaan kesihatan sering berhadapan dengan situasi tekanan dan beremosi dalam penjagaan pesakit, penderitaan manusia, dan tekanan daripada hubungan dengan pesakit, ahli keluarga dan majikan, serta beban kerja yang tinggi dan waktu kerja yang panjang.
“Kami mendapati bahawa pekerja penjagaan kesihatan mungkin dapat mengurangkan tekanan mereka melalui intervensi peringkat individu seperti latihan tingkah laku kognitif, bersenam atau mendengar muzik. Ini mungkin bermanfaat untuk pekerja penjagaan kesihatan itu sendiri dan ia mungkin melimpah kepada pesakit yang mereka jaga, dan organisasi tempat mereka bekerja. Kesannya mungkin bertahan sehingga setahun dan gabungan intervensi mungkin bermanfaat juga, sekurang-kurangnya dalam jangka pendek. Majikan tidak boleh teragak-agak untuk memudahkan pelbagai intervensi tekanan untuk pekerja mereka. Kesan jangka panjang intervensi pengurusan tekanan masih tidak diketahui."
Para penyelidik mengatakan bahawa kajian yang lebih besar, lebih berkualiti adalah diperlukan untuk melihat kedua-dua kesan jangka pendek dan panjang intervensi peringkat individu untuk meningkatkan kepastian bukti.
|
Batasan penyelidikan termasuk: anggaran kesan intervensi pengurusan tekanan peringkat individu mungkin berat sebelah kerana kekurangan pembutaan peserta dalam kajian yang disertakan; banyak kajian adalah kecil; dan terdapat terlalu sedikit kajian yang menumpukan faktor tertentu yang boleh menyebabkan tekanan di tempat kerja.
Kajian telah melaporkan bahawa antara 30% hingga 70% doktor dan jururawat dan 56% pakar anestesiologi mengalami gejala keletihan akibat kerja mereka. Penyelidikan sebelum ini cenderung memberi tumpuan kepada jenis intervensi tertentu dalam kumpulan pekerja penjagaan kesihatan tertentu. Pengarang ulasan Cochrane ini menulis: "Sepanjang pengetahuan kami tiada ulasan terkini yang mengkaji keberkesanan pelbagai jenis intervensi peringkat individu yang bertujuan untuk mengurangkan tekanan dalam pelbagai pekerja penjagaan kesihatan untuk memberikan gambaran yang lebih lengkap."
Dr Tamminga membuat kesimpulan: "Sudah ada kekurangan pekerja penjagaan kesihatan kerana kadar keluar masuk pekerja yang tinggi, dan pencegahan tekanan dan keletihan yang berkesan boleh membantu mengurangkannya."
--TAMAT--
Nota:
[1] "Intervensi peringkat individu untuk mengurangkan tekanan pekerjaan dalam pekerja penjagaan kesihatan", oleh S.J. Tamminga et al. DOI: 10.1002/14651858.CD002892.pub6
Tentang Cochrane
Cochrane adalah rangkaian global bebas melibatkan penyelidik, profesional, pesakit, penjaga dan orang yang berminat dengan kesihatan. Cochrane menghasilkan ulasan yang mengkaji semua bukti terbaik yang ada yang dihasilkan melalui penyelidikan dan memudahkan makluman keputusan tentang kesihatan. Ini dipanggil ulasan sistematik. Cochrane adalah sebuah organisasi bukan berdasarkan keuntungan yang melibatkan usaha sama dari lebih 130 negara bagi menghasilkan maklumat kesihatan yang dipercayai, boleh diakses, bebas daripada penajaan komersial dan konflik kepentingan yang lain. Kerja kami diiktiraf sebagai mewakili piawaian unggul antarabangsa untuk maklumat berkualiti tinggi, yang dipercayai.
Ketahui lebih lanjut di cochrane.org
Ikuti kami di twitter @cochranecollab
Jika anda seorang wartawan atau ahli akhbar dan mahu menerima makluman berita sebelum penerbitannya dalam talian atau ingin mengatur temu bual dengan penulis, sila hubungi pejabat akhbar Cochrane: pressoffice@cochrane.org
Diterjemah oleh Cochrane Malaysia. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my