Adakah ivermectin berkesan untuk COVID-19?
Mesej utama
Penulis ulasan sistematik Cochrane ini, yang diterbitkan hari ini oleh Kumpulan Penyakit Berjangkit Cochrane, tidak menemui bukti yang menyokong penggunaan ivermectin untuk merawat atau mencegah jangkitan COVID-19, tetapi asas bukti adalah terhad.
Penilaian terhadap ivermectin adalah berterusan dalam 31 kajian yang sedang berjalan dan kami akan mengemaskini ulasan ini dengan keputusan mereka apabila ianya tersedia.
Pengarang utama ulasan, Maria Popp dan Stephanie Weibel berkata: "Kurangnya bukti yang berkualiti baik mengenai keberkesanan dan keselamatan ivermectin muncul dari kumpulan kajian yang terdiri terutamanya dari RCT yang kecil, tidak cukup kuasa dengan keseluruhan kualiti yang terhad bagi reka bentuk, pelaksanaan, dan pelaporan kajian. Bukti semasa tidak menyokong penggunaan ivermectin untuk merawat atau mencegah COVID-19 melainkan jika ia adalah sebahagian daripada kajian rawak yang dirancang dengan baik."
Apa itu ivermectin?
Ivermectin adalah ubat yang digunakan untuk merawat parasit seperti parasit usus pada haiwan dan kudis buta pada manusia. Ia murah dan digunakan secara meluas di kawasan-kawasan di dunia yang sering terjadi serangan parasit. Ia mempunyai sedikit kesan yang tidak diingini.
Ujian di makmal menunjukkan ivermectin dapat melambatkan pembiakan virus COVID-19 (SARS-CoV-2) tetapi kesan seperti itu memerlukan dos yang besar pada manusia.
Pengawal selia perubatan belum meluluskan ivermectin untuk COVID-19. Ia sepatutnya hanya digunakan dalam kajian yang dirancang dengan baik (dipanggil kajian rawak terkawal) untuk menilai kesan yang berpotensi.
Apa yang ingin diketahui oleh penulis?
Mereka ingin mengetahui sama ada ivermectin dapat mengurangkan kematian, penyakit, dan tempoh jangkitan dalam penghidap COVID-19, atau adakah ia berguna dalam pencegahan penyakit ini. Mereka memasukkan kajian yang membandingkan ubat dengan plasebo (rawatan dummy), tidak ada rawatan, rawatan biasa, atau rawatan untuk COVID-19 yang diketahui berfungsi hingga tahap tertentu, seperti remdesivir atau dexamethasone. Mereka mengecualikan kajian yang membandingkan ivermectin dengan ubat lain yang tidak berfungsi, seperti hydroxychloroquine, atau yang tidak diketahui berkesan terhadap COVID-19.
Mereka menilai kesan ivermectin terhadap orang yang dijangkiti pada:
- orang yang tenat;
- sama ada gejala pesakit COVID-19 menjadi lebih baik atau lebih teruk;
- kesan yang tidak diingini;
- kemasukan ke hospital atau masa di hospital;
- penyingkiran virus.
Untuk pencegahan, mereka mencari kesan untuk mencegah jangkitan COVID-19 dan SARS- CoV-2.
Apa yang mereka lakukan?
Pengarang mencari kajian rawak terkawal yang menyiasat ivermectin untuk mencegah atau merawat COVID-19 pada manusia. Orang yang dirawat dengan ivermectin harus menjalani ujian makmal memastikan COVID-19 dan menerima rawatan di hospital atau sebagai pesakit luar.
Merekai membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan kriteria umum sejauh mana bukti tersebut boleh dipercayai.
Apa yang mereka temui?
Pengarang menemui 14 kajian melibatkan 1678 peserta yang menyiasat penggunaan ivermectin berbanding dengan tanpa rawatan, plasebo, atau rawatan biasa.
Untuk rawatan, terdapat sembilan kajian mengenai orang dengan COVID-19 sederhana di hospital dan empat pesakit luar dengan COVID-19 ringan. Kajian menggunakan dos ivermectin yang berbeza dan jangka masa rawatan yang berbeza.
Satu kajian menyiasat ivermectin untuk mencegah COVID-19.
Mereka juga menemui 31 kajian yang sedang berjalan, dan terdapat 18 kajian yang masih memerlukan penjelasan daripada penyelidik atau belum diterbitkan.
Keputusan utama
Merawat orang di hospital dengan COVID-19
Pengarang tidak tahu sama ada ivermectin dibandingkan dengan plasebo atau rawatan biasa, 28 hari selepas rawatan:
- membawa kepada lebih banyak atau lebih sedikit kematian (2 kajian, 185 orang);
- memburukkan atau memperbaiki keadaan pesakit yang dinilai oleh keperluan untuk pernafasan (2 kajian, 185 orang) atau oksigen (1 kajian, 45 orang);
- meningkatkan atau mengurangkan kejadian yang tidak diingini (1 kajian, 152 orang).
Tujuh hari selepas rawatan, kami tidak tahu sama ada ivermectin:
- meningkatkan atau mengurangkan ujian COVID-19 yang negatif (2 kajian, 159 orang).
Ivermectin berbanding dengan plasebo atau rawatan biasa boleh membuat sedikit atau tidak ada perbezaan untuk memperbaiki keadaan pesakit 28 hari selepas rawatan (1 kajian, 73 orang) atau tempoh tinggal di hospital (1 kajian, 45 orang).
Merawat pesakit luar dengan COVID-19
Pasukan pengarang tidak tahu sama ada ivermectin dibandingkan dengan plasebo atau penjagaan biasa:
ยท membawa kepada lebih banyak atau lebih sedikit kematian 28 hari selepas rawatan (2 kajian, 422 orang);
- memburukkan atau memperbaiki keadaan pesakit 14 hari selepas rawatan dinilai oleh keperluan pernafasan (1 kajian, 398 orang);
- meningkatkan atau mengurangkan ujian COVID-19 yang negatif tujuh hari selepas rawatan (1 kajian, 24 orang).
Ivermectin berbanding dengan plasebo atau rawatan biasa mungkin memberi sedikit atau tidak ada perbezaan untuk memperbaiki keadaan pesakit luar 14 hari selepas rawatan (1 kajian, 398 orang) atau jumlah kejadian yang tidak diingini 28 hari selepas rawatan (2 kajian, 422 orang).
Tidak ada kajian yang melihat kemasukan ke hospital dalam kalangan pesakit luar.
Pencegahan COVID-19
Pengarang tidak tahu sama ada ivermectin menyebabkan peningkatan atau pengurangan jumlah kematian berbanding tanpa ubat (1 kajian, 304 orang); tidak ada peserta yang mati 28 hari selepas ubat. Kajian ini melaporkan keputusan untuk perkembangan gejala COVID-19 (tetapi tidak disahkan jangkitan SARS-CoV-2) dan kejadian yang tidak diingini, tetapi dengan cara yang tidak dapat kami sertakan dalam analisis kami. Kajian ini tidak melihat pada kemasukan ke hospital.
Keputusan utama dijelaskan
Pengarang utama ulasan, Maria Popp dan Stephanie Weibel berkata: "Kurangnya bukti yang berkualiti baik mengenai keberkesanan dan keselamatan ivermectin muncul dari kumpulan kajian yang terdiri terutamanya dari RCT yang kecil, tidak cukup kuasa dengan keseluruhan kualiti yang terhad bagi reka bentuk, pelaksanaan, dan pelaporan kajian. Bukti semasa tidak menyokong penggunaan ivermectin untuk merawat atau mencegah COVID-19 melainkan jika ia adalah sebahagian daripada kajian rawak yang dirancang dengan baik."
Apakah batasan bukti tersebut?
Keyakinan terhadap bukti adalah sangat rendah kerana pengarang hanya dapat merangkumkan 14 kajian dengan sedikit peserta dan sedikit kejadian, seperti kematian atau keperluan untuk pernafasan. Kaedah-kaedah berbeza antara kajian, dan mereka tidak melaporkan semua yang mereka minati, seperti kualiti hidup.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 26 Mei 2021.
Apakah selepas ini?
Penilaian terhadap ivermectin adalah berterusan dalam 31 kajian yang sedang berjalan dan kami akan mengemaskini ulasan ini dengan keputusan mereka apabila ianya tersedia.
Rabu, 28 Julai, 2021
Diterjemah oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.