Adakah ivermectin berkesan untuk COVID-19?
Mesej utama
Kami tidak menemui bukti untuk menyokong penggunaan ivermectin untuk merawat atau mencegah jangkitan COVID-19, tetapi asas bukti adalah terhad.
Penilaian terhadap penggunaan ivermectin adalah berterusan dalam 31 kajian yang sedang dijalankan dan kami akan mengemaskini ulasan ini dengan keputusan mereka apabila ianya tersedia.
Apa itu ivermectin?
Ivermectin adalah ubat yang digunakan untuk merawat parasit seperti parasit usus pada haiwan dan kudis buta pada manusia. Ia murah dan digunakan secara meluas di kawasan-kawasan di dunia yang sering terjadi serangan parasit. Ia mempunyai sedikit kesan yang tidak diingini.
Ujian di makmal menunjukkan ivermectin dapat melambatkan pembiakan virus COVID-19 (SARS-CoV-2) tetapi kesan seperti itu memerlukan dos yang besar pada manusia. Pengawal selia perubatan belum meluluskan ivermectin untuk COVID-19. Ia sepatutnya hanya digunakan dalam kajian yang dirancang dengan baik (dipanggil kajian rawak terkawal) untuk menilai kesan yang berpotensi.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada ivermectin dapat mengurangkan kematian, penyakit, dan tempoh jangkitan COVID-19 dalam manusia, atau ia berguna dalam pencegahan penyakit ini. Kami memasukkan kajian yang membandingkan ubat dengan plasebo (rawatan dummy), tidak ada rawatan, rawatan biasa, atau rawatan untuk COVID-19 yang diketahui berfungsi hingga tahap tertentu, seperti remdesivir atau dexamethasone. Kami mengecualikan kajian yang membandingkan ivermectin dengan ubat lain yang tidak berfungsi, seperti hydroxychloroquine, atau yang tidak diketahui berkesan terhadap COVID-19.
Kami menilai kesan ivermectin terhadap orang yang dijangkiti pada:
orang yang tenat;
sama ada gejala pesakit COVID-19 menjadi lebih baik atau lebih teruk;
kesan yang tidak diingini;
kemasukan ke hospital atau masa di hospital;
penyingkiran virus.
Untuk pencegahan, kami mencari kesan untuk mencegah jangkitan COVID-19 dan SARS- CoV-2.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian rawak terkawal yang menyiasat ivermectin untuk mencegah atau merawat COVID-19 pada manusia. Orang yang dirawat dengan ivermectin harus menjalani ujian makmal memastikan COVID-19 dan menerima rawatan di hospital atau sebagai pesakit luar.
Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan kriteria umum sejauh mana bukti tersebut boleh dipercayai.
Apa yang kami temui?
Kami menemui 14 kajian melibatkan 1678 peserta yang menyiasat penggunaan ivermectin berbanding dengan tanpa rawatan, plasebo, atau rawatan biasa.
Untuk rawatan, terdapat sembilan kajian mengenai orang dengan COVID-19 sederhana di hospital dan empat pesakit luar dengan COVID-19 ringan. Kajian menggunakan dos ivermectin yang berbeza dan jangka masa rawatan yang berbeza.
Satu kajian menyiasat ivermectin untuk mencegah COVID-19.
Kami juga menemui 31 kajian yang sedang berjalan, dan terdapat 18 kajian yang masih memerlukan penjelasan daripada penyelidik atau belum diterbitkan.
Keputusan utama
Merawat orang di hospital dengan COVID-19
Kami tidak tahu sama ada ivermectin dibandingkan dengan plasebo atau rawatan biasa, 28 hari selepas rawatan:
– membawa kepada lebih banyak atau lebih sedikit kematian (2 kajian, 185 orang);
– memburukkan atau memperbaiki keadaan pesakit yang dinilai oleh keperluan untuk pernafasan (2 kajian, 185 orang) atau oksigen (1 kajian, 45 orang);
– meningkatkan atau mengurangkan kejadian yang tidak diingini (1 kajian, 152 orang).
Tujuh hari selepas rawatan, kami tidak tahu sama ada ivermectin:
meningkatkan atau mengurangkan ujian COVID-19 negatif (2 kajian, 159 orang).
Ivermectin berbanding dengan plasebo atau rawatan biasa boleh membuat sedikit atau tidak ada perbezaan untuk memperbaiki keadaan pesakit 28 hari selepas rawatan (1 kajian, 73 orang) atau tempoh tinggal di hospital (1 kajian, 45 orang).
Merawat pesakit luar dengan COVID-19
Kami tidak tahu sama ada ivermectin berbanding dengan plasebo atau penjagaan biasa:
-- membawa kepada lebih banyak atau lebih sedikit kematian 28 hari selepas rawatan (2 kajian, 422 orang);
-- memburukkan atau memperbaiki keadaan pesakit 14 hari selepas rawatan dinilai oleh keperluan pernafasan (1 kajian, 398 orang);
-- meningkatkan atau mengurangkan ujian COVID-19 negatif tujuh hari selepas rawatan (1 kajian, 24 orang).
Ivermectin berbanding dengan plasebo atau rawatan biasa mungkin memberi sedikit atau tidak ada perbezaan untuk memperbaiki keadaan pesakit luar 14 hari selepas rawatan (1 kajian, 398 orang) atau jumlah kejadian yang tidak diingini 28 hari selepas rawatan (2 kajian, 422 orang).
Tidak ada kajian yang melihat kemasukan ke hospital dalam kalangan pesakit luar.
Pencegahan COVID-19
Kami tidak tahu sama ada ivermectin menyebabkan lebih banyak atau lebih sedikit kematian berbanding tanpa ubat (1 kajian, 304 orang); tidak ada peserta yang mati 28 hari selepas ubat. Kajian ini melaporkan hasil untuk perkembangan gejala COVID-19 (tetapi tidak disahkan jangkitan SARS-CoV-2) dan kejadian yang tidak diingini, tetapi dengan cara yang tidak dapat kami sertakan dalam analisis kami. Kajian ini tidak melihat kemasukan ke hospital.
Apakah batasan bukti tersebut?
Keyakinan kami terhadap bukti adalah sangat rendah kerana kami hanya dapat merangkumkan 14 kajian dengan sedikit peserta dan sedikit peristiwa, seperti kematian atau keperluan untuk pernafasan. Kaedahnya berbeza antara kajian, dan mereka tidak melaporkan semua yang kami minati, seperti kualiti hidup.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 26 Mei 2021.
Diterjemahkan oleh Nor Asiah Muhamad (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my