Jururawat boleh memberi penjagaan di hospital sama seperti doktor

Penjagaan hospital yang dipimpin jururawat adalah sepadan dengan penjagaan yang dipimpin doktor untuk keselamatan dan keberkesanan

Jururawat boleh memberi banyak perkhidmatan yang secara tradisi dilakukan oleh doktor dengan selamat, dengan sedikit atau tiada perbezaan dalam kematian, peristiwa keselamatan atau perasaan pesakit tentang kesihatan mereka, menurut ulasan Cochrane yang baharu. Dalam sesetengah kes, penjagaan pimpinan jururawat mengatasi prestasi penjagaan pimpinan doktor.

Perkhidmatan penjagaan kesihatan menghadapi tekanan akibat populasi menua, keperluan kesihatan yang kompleks, senarai menunggu yang panjang dan kekurangan doktor. Menerima penjagaan jururawat, bukan doktor, telah dicadangkan sebagai salah satu cara untuk memperbaik akses kepada perkhidmatan hospital bagi pesakit yang mungkin menunggu lebih lama.

Sekumpulan para penyelidik dari Ireland, United Kingdom dan Australia menilai penggantian jururawat-doktor di unit pesakit dalam dan klinik pesakit luar, menganalisis 82 kajian rawak melibatkan lebih 28,000 pesakit di 20 buah negara. Kajian-kajian tersebut menyertakan pengamal jururawat lanjutan, pakar jururawat klinikal dan jururawat berdaftar yang menggantikan doktor junior atau senior merentasi kepakaran seperti kardiologi, diabetes, kanser, obstetrik/ginekologi dan reumatologi.

Penjagaan hospital yang dipimpin jururawat adalah sepadan dengan penjagaan yang dipimpin doktor untuk keselamatan dan keberkesanan

Ulasan tersebut mendapati sedikit atau tiada perbezaan antara penjagaan yang dipimpin oleh jururawat dan doktor untuk hasil kritikal, termasuk mortaliti, kualiti hidup, efikasi kendiri dan peristiwa keselamatan pesakit. Walaupun kebanyakan hasil klinikal tidak menunjukkan perbezaan antara kumpulan, jururawat mungkin mencapai hasil yang lebih baik dalam beberapa bidang, termasuk kawalan diabetes, susulan kanser dan dermatologi. Penjagaan yang dipimpin oleh doktor menunjukkan prestasi yang sedikit lebih baik dalam sebilangan kecil perkhidmatan susulan kesihatan seksual dan keguguran perubatan.

"Penemuan kami menunjukkan perkhidmatan yang dipimpin oleh jururawat menyediakan penjagaan yang sama selamat dan berkesan dengan perkhidmatan yang dipimpin oleh doktor untuk ramai pesakit," kata penulis utama Profesor Michelle Butler dari Dublin City University. "Dalam sesetengah bidang, pesakit sebenarnya mengalami hasil yang lebih baik apabila jururawat memimpin penjagaan mereka.”

Model penggantian sangat berbeza, dengan gred jururawat yang berbeza beroperasi secara autonomi, di bawah pengawasan atau mengikuti protokol khusus. Terdapat juga perbezaan dalam latihan, tahap tanggungjawab dan cara penggantian, yang semuanya mungkin mempengaruhi hasil.

Butler menambah, “Dalam sesetengah kes, pesakit mempunyai temu janji lebih awal, lebih kerap, atau atas permintaan dengan jururawat, atau mempunyai komponen pendidikan tambahan untuk penjagaan mereka, yang mungkin telah membantu memperbaik hasil mereka.” 

Bukti tentang kos langsung adalah terhad dan berbeza-beza merentasi kajian-kajian, sebahagiannya disebabkan oleh perbezaan kaedah pelaporan, mata wang dan tempoh masa. Tujuh belas kajian melaporkan pengurangan kos untuk penjagaan yang dipimpin oleh jururawat, manakala sembilan kajian mencadangkan kos yang lebih tinggi akibat konsultasi, rujukan atau perbezaan preskripsi yang lebih lama.

Ia bukan penyelesaian satu saiz untuk semua

Walau bagaimanapun, penggantian jururawat-doktor bukanlah satu pendekatan yang sesuai untuk semua situasi. Para pengarang menekankan intervensi-intervensi harus sentiasa ditafsir mengikut konteks. 

“Penggantian jururawat bukan sekadar penggantian satu untuk satu,” kata Timothy Schultz, pengarang kanan dan penyelidik dari Institut Penyelidikan Kesihatan dan Perubatan Flinders. "Untuk berfungsi dengan baik, perkhidmatan ini perlukan latihan, sokongan dan model penjagaan yang betul, tetapi bukti menunjukkan pesakit tidak kurang bernasib baik dan boleh mendapat manfaat dengan cara yang bermakna.”

Memperluas perkhidmatan yang dipimpin oleh jururawat mungkin membantu menangani kekurangan doktor, tetapi para pengarang menggesa agar pembuat dasar mempertimbangkan impak intervensi ini terhadap tenaga kerja kejururawatan, termasuk latihan dan organisasi.

Walaupun asas bukti adalah kukuh, para pengarang menyatakan terdapat jurang yang penting. Kebanyakan kajian adalah dari negara berpendapatan tinggi, dengan majoriti (39%) dijalankan di United Kingdom. Para pengarang menyeru untuk lebih banyak kajian merentasi kepakaran, peranan jururawat dan jenis pesakit yang belum dinilai, serta konsistensi yang lebih kukuh dalam cara hasil-hasil diukur. Mereka juga menekankan keperluan untuk lebih banyak penyelidikan di negara berpendapatan rendah dan sederhana, di mana peranan yang dipimpin oleh jururawat berpotensi memperbaik akses kepada penjagaan di rantau yang menghadapi kekurangan doktor

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini.
Diterjemah oleh C ochrane Malaysia. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manaipal Malaysia).

Baca ulasan penuh disini