Kelahiran awal lebih selamat untuk ibu dan bayi dalam kehamilan tekanan darah tinggi

Kelahiran awal yang dirancang untuk wanita hamil dengan tekanan darah tinggi mengurangkan komplikasi ibu hampir separuh dan mengurangkan risiko kelahiran mati, tanpa meningkatkan kemungkinan pembedahan caesarean, menurut ulasan Cochrane yang baharu.

Gangguan hipertensi kehamilan, yang merangkumi pra-eklampsia, hipertensi gestasi, dan hipertensi kronik, merupakan penyebab utama kematian ibu kedua di seluruh dunia. Bagi wanita yang mengalami pra-eklampsia, kelahiran awal kekal sebagai satu-satunya rawatan definitif, kerana keadaan ini didorong oleh plasenta dan hanya akan hilang setelah ia dilahirkan.

Ulasan ini, yang diketuai oleh King's College London, mengumpulkan data daripada enam kajian rawak terkawal yang melibatkan 3,491 wanita, membandingkan kelahiran awal yang dirancang selepas 34 minggu menunggu dengan penuh perhatian. Kajian tersebut melibatkan wanita dengan satu atau lebih jenis gangguan hipertensi dan berlaku merentasi pelbagai persekitaran, termasuk Belanda, UK, AS, India, dan Zambia.

Manfaat untuk ibu dan bayi

Penemuan menunjukkan bukti berkepastian tinggi bahawa komplikasi ibu yang serius hampir separuh berkurangan dalam kalangan wanita yang merancang kelahiran awal berbanding mereka yang diuruskan dengan menunggu dengan penuh perhatian. 

Kelahiran awal yang dirancang juga berkemungkinan mengurangkan risiko kelahiran mati sebanyak kira-kira 75%, walaupun ini harus ditafsirkan dengan berhati-hati. Penemuan ini berdasarkan bukti kepastian sederhana, dan pengurangan ini didorong oleh satu kajian yang dijalankan di India dan Zambia, di mana kadar kelahiran mati adalah lebih tinggi. Tiada kelahiran mati direkodkan dalam kajian negara berpendapatan tinggi. Yang meyakinkan, kelahiran awal yang dirancang juga berkemungkinan tidak akan menyebabkan peningkatan dalam kemasukan ke unit neonatal, walaupun penemuan ini juga berdasarkan bukti kepastian sederhana.

Yang penting, manfaat ibu merangkumi kedua-dua tetapan berpendapatan tinggi dan rendah, menunjukkan kelahiran awal mengurangkan komplikasi walaupun wanita sudah menerima pemantauan dan penjagaan yang sewajarnya.

"Penemuan ini memberi panduan yang lebih jelas kepada doktor dan wanita tentang masa kelahiran apabila tekanan darah tinggi berlaku semasa kehamilan," kata Prof Catherine Cluver, penulis kanan ulasan dan penyelidik di Universiti Stellenbosch dan Hospital Tygerberg. "Bagi wanita yang menghidap pra-eklampsia khususnya, bukti menyokong menawaran kelahiran awal yang dirancang dari 34 minggu, dan tidak lewat daripada 37 minggu."

"Menilai bila hendak tawarkan kelahiran anak adalah persoalan yang kami hadapi secara klinikal setiap hari," kata Dr Alice Beardmore-Gray, penulis utama ulasan dan Pakar Obstetrik di Kolej King's London. 

Para penulis menambah bahawa dalam dua kajian yang disertakan, lebih separuh wanita yang diperuntukkan untuk menunggu dengan penuh perhatian akhirnya memerlukan kelahiran kecemasan sebelum 37 minggu, biasanya hanya tiga hingga lima hari kemudian daripada wanita yang diperuntukkan untuk kelahiran awal yang dirancang, dan sering mengalami lebih banyak komplikasi.

"Satu salah tanggapan umum ialah dengan menunggu lebih lama, ibu dan bayi akan mendapat lebih banyak masa, tetapi selalunya apa yang anda lakukan hanyalah menangguhkan kelahiran kecemasan yang tidak dapat dielakkan, sedangkan kedua-duanya mungkin berada dalam keadaan yang lebih teruk," jelas Dr Beardmore-Gray. 

Tiada peningkatan risiko pembedahan caesarean 

Ulasan tersebut mendapati bukti kepastian tinggi tentang tiada peningkatan risiko pembedahan caesarean yang berkaitan dengan kelahiran awal yang dirancang. Ini merupakan penemuan yang dianggap oleh para penulis amat penting untuk kaunseling klinikal dan pembuatan keputusan wanita.

"Itulah soalan pertama yang ditanya oleh sesiapa sahaja apabila anda menawarkan induksi awal kepada mereka: bukankah ia akan meningkatkan risiko saya menjalani pembedahan Caesarean?" kata Dr Beardmore-Gray. "Kebolehan untuk menjawab "tidak" dengan jelas adalah maklumat yang sangat penting untuk diberikan kepada wanita semasa memberi kaunseling kepada mereka tentang masa kelahiran mereka."

Para penulis menasihatkan bahawa masa kelahiran harus mengambil kira pilihan wanita dan tahap keterukan keadaannya. Penemuan ini selaras dan mengukuhkan garis panduan antarabangsa semasa, yang mengesyorkan agar semua wanita yang mengalami pra-eklampsia ditawarkan kelahiran awal yang dirancang selewat-lewatnya 37 minggu. Wanita yang mengalami hipertensi gestasi atau hipertensi kronik tanpa ciri-ciri yang teruk boleh memilih untuk meneruskan pemantauan yang teliti, dengan kelahiran awal yang dirancang dipertimbangkan dari 39 minggu dan seterusnya.

Penyelidikan lanjutan adalah diperlukan untuk hasil jangka panjang bagi bayi yang lahir lewat pramatang dan kesihatan kardiovaskular jangka panjang ibu-ibu yang terjejas oleh gangguan hipertensi kehamilan.

Nota terjemahan
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).