Koleksi Khas: Aktiviti fizikal untuk penuaan yang sihat
Pada 26 November 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah melancarkan garis panduan tentang aktiviti fizikal dan tingkah laku sedentari. Koleksi Khas ini yang dikendali oleh Cochrane Campbell Global Aging Partnership merangkumi topik-topik berkaitan dengan penuaan yang sihat, sejajar dengan tindakan global Dekad Penuaan Sihat (2020 hingga 2030). WHO mendefinisi penuaan yang sihat sebagai "proses membangun dan mengekalkan keupayaan berfungsi yang membolehkan kesejahteraan pada usia lebih tua". Keupayaan berfungsi termasuklah orang dapat memenuhi keperluan asas, bebas bergerak, terus belajar dan berkembang, membina dan mengekalkan hubungan, dan mengambil bahagian dalam masyarakat.
Usia yang lebih tua boleh disertai dengan lebih risiko untuk menghidap penyakit tidak berjangkit kronik, dan dikaitkan dengan fungsi yang terhad. Orang yang berumur 60 tahun ke atas menyumbang hampir 25% beban penyakit yang timbul daripada keadaan ini. Walau bagaimanapun, bebas dari penyakit atau masalah kesihatan bukanlah syarat untuk penuaan yang sihat dan ramai orang tua mempunyai keadaan kesihatan yang boleh diurus dengan baik dan dengan itu memberi impak kecil kepada kualiti hidup mereka.
Aktiviti fizikal memain peranan penting dalam mempromosi penuaan yang sihat, dan bukti dari kajian epidemiologi menunjukkan ia sangat berkait dengan penuaan yang lebih sihat. Tahap aktiviti fizikal yang teratur dan mencukupi mempunyai banyak manfaat kesihatan dan kesejahteraan dan dapat mencegah, atau membalikkan, beberapa kesan keadaan kronik sepanjang hayat. Cara popular untuk menjadi aktif adalah dengan berjalan kaki, berbasikal, menari, dan terlibat dalam hobi. Sebarang aktiviti fizikal lain yang dibuat pada masa lapang, atau semasa bekerja, boleh juga memberi manfaat kesihatan.
Hari Warga Tua Antarabangsa PBB tahun ini memfokus bagaimana pandemik COVID-19 mempengaruhi bagaimana penuaan ditangani. Impak kuarantin, kerapkali isolasi di rumah akan memberi kesan ketidakselesaan yang ketara, mempengaruhi berjuta-juta orang tua. Fizikal tidak aktif telah dikaitkan dengan penyakit tidak berjangkit dan mortaliti lebih tinggi, dan aktiviti kini menjadi lebih penting memandangkan sekatan-sekatan COVID-19.
Koleksi Istimewa ini mengumpulkan Ulasan Cochrane terpilih yang menilai manfaat intervensi aktiviti fizikal terhadap tahap aktiviti, fungsi fizikal, dan gejala-gejala. Ulasan-ulasan mensintesis bukti tentang populasi umum, atau kumpulan orang-orang dengan keadaan kesihatan tertentu. Koleksi Khas masa depan akan memfokus kepada intervensi senaman tertentu.
Aktiviti fizikal untuk penuaan yang sihat - Video
Khamis, 26 November 2020
Diterjemah oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal)