Koleksi Khas Ulasan Sistematik Cochrane ini mengumpulkan banyak penyelidikan mengenai ketepatan ujian-ujian yang diguna untuk mendiagnosis kanser kulit.
Koleksi sebelas ulasan ketepatan ujian diagnostik dan saringan ini dipimpin oleh Dr Jac Dinnes di Universiti Birmingham dan disokong oleh Kumpulan Kulit Cochrane dan pasukan yang melebihi 30 penyelidik dan penasihat pakar, dibiaya oleh Institut Penyelidikan Kesihatan Nasional (NIHR). Ulasan terbaru untuk ditambah kepada koleksi khas ini adalah ulasan saringan yang diketuai oleh Dr Minna Johansson, PhD dan Pengarah Penjagaan Kesihatan Lestari Cochrane. Ulasan terbaru untuk ditambah kepada koleksi khas ini adalah ulasan saringan yang diketuai oleh Dr Minna Johansson, PhD dan Pengarah Penjagaan Kesihatan Lestari Cochrane.
Ulasan-ulasan ini meringkaskan bukti penyelidikan yang menilai ketepatan pelbagai ujian diagnostik dan keberkesanan intervensi saringan untuk menyokong pembuatan keputusan berkaitan klinikal dan polisi dalam diagnosis semua jenis kanser kulit.
Dr Jac Dinnes dari Institut Penyelidikan Kesihatan Gunaan Universiti Birmingham, berkata: “Pengesanan tepat semua jenis kanser kulit adalah penting untuk menguruskan penyakit dan menmperbaiki kadar survival melanoma, terutamanya memandangkan kadar kanser kulit di seluruh dunia yang meningkat.
Sifat visual kanser kulit bermakna ia dapat dikesan dan dirawat dengan pelbagai cara dan oleh pelbagai pakar, oleh itu tujuan ulasan-ulasan ini adalah untuk menyediakan bukti terbaik dunia bagaimana kanser endemik meluas (prevalen) ini perlu dikenal pasti dan dirawat.
“Kami dapati pertimbangan yang teliti perlu diberi kepada teknologi yang boleh diguna untuk memastikan kanser kulit tidak terlepas, pada masa sama memastikan rujukan penilaian pakar yang kurang sesuai dan eksisi lesi kulit benigna diminimumkan.”
Penemuan utama Koleksi Khas adalah:
· Pemeriksaan visual dengan mata kasar sahaja tidak cukup baik dan melanoma mungkin boleh terlepas.
· Aplikasi telefon pintar yang diguna oleh orang yang bimbang tentang tahi lalat baharu atau yang berubah ataupun lesi kulit berpeluang tinggi untuk melanoma terlepas.
· Apabila diguna oleh pakar, dermoskopi - teknik menggunakan alat pegangan untuk zum ke dalam tahi lalat dan kulit di bawahnya - adalah lebih baik untuk mendiagnosis melanoma berbanding pemeriksaan visual sahaja, dan mungkin membantu dalam diagnosis BCC.
· Dermoskopi mungkin juga membantu GP untuk mengenal pasti dengan betul orang dengan lesi yang mencurigakan yang perlu dilihat oleh pakar.
· Dermoskopi telah meluas diguna oleh ahli dermatologi untuk diagnosis melanoma tetapi penggunaannya dalam penjagaan primer belum meluas dinilai oleh itu lebih banyak penyelidikan spesifik diperlukan.
· Senarai semak untuk membantu mentafsir dermoskopi mungkin memperbaiki ketepatan diagnosis untuk pengamal perubatan dengan kurang kepakaran dan latihan.
· ‘Teledermatology’ - penilaian pakar dari jarak jauh lesi kulit menggunakan imej dan gambar dermoskopik - mungkin cara yang baik untuk membantu GP menentukan lesi kulit yang mana yang perlu dilihat oleh pakar kulit tetapi penyelidikan masa depan perlu direka bentuk dengan lebih baik.
· Teknik kecerdasan buatan, seperti diagnosis berbantu komputer (CAD), boleh mengenal pasti lebih banyak melanoma berbanding doktor yang menggunakan gambar dermoskopi. Walau bagaimanapun, sistem CAD juga menghasilkan jauh lebih banyak diagnosis positif palsu berbanding dermoskopi dan boleh meningkatkan pembedahan yang tidak perlu.
· Penyelidikan lanjutan diperlukan tentang penggunaan ujian pakar seperti mikroskopi kepantulan konfokal (RCM) - teknik pengimejan tidak invasif, yang membolehkan seorang doktor melakukan ‘biopsi maya’ kulit dan mendapatkan petunjuk diagnostik sambil meminimumkan biopsi kulit yang tidak perlu. RCM pada masa ini tidak diguna dengan meluas di UK tetapi bukti menunjukkan RCM mungkin lebih baik berbanding dermoskopi untuk diagnosis melanoma bagi lesi yang sukar didiagnos.
· Ujian-ujian lain seperti menggunakan ultrasound frekuensi tinggi mempunyai harapan, terutama untuk diagnosis BCC, tetapi asas bukti adalah kecil dan lebih banyak kerja diperlukan.
· Saringan untuk melanoma diamalkan di banyak tempat di seluruh dunia. Walaupun pengesanan awal melanoma sangat diperlukan untuk mengehadkan morbiditi dan mortaliti, terdapat juga risiko terlebih diagnosis dan terlebih rawatan untuk saringan jenis kanser lain. Oleh keran keseimbangan di antara manfaat dan mudarat adalah sensitif, bukti berkualiti tinggi diperlukan dari kajian rawak sebelum perlaksanaan saringan kanser. Malangnya, tidak wujud untuk saringan melanoma dan bukti dari sumber-sumber lain menunjukkan manfaat yang diragui dan mudarat lebih cenderung.
Pengasas Kulit Cochrane Profesor Hywel Williams, dari Pusat Dermatologi Berasaskan Bukti di Universiti Nottingham, berkata: “Melengkapkan ulasan meluas yang terperinci ini adalah satu maraton yang benar.
“Selain daripada beberapa pengecualian, saya terkejut dengan betapa buruknya keseluruhan reka bentuk kajian, terutama dari segi mendokumen dengan tepat di laluan klinikal mana pesakit diuji.
“Walaupun beberapa kesimpulan berguna telah muncul, misalnya, tentang peranan dermoskopi, nilai penyelidikan yang terbesar adalah untuk menjadi kayu ukur bagi merancang kajian masa depan yang menilai teknik diagnosis kanser kulit pesakit yang sering dilihat di persekitaran GP dan pakar.”
Pasukan penyelidik berkata kajian masa depan yang menilai ujian diagnostik kanser kulit perlu merekrut pesakit dengan lesi kulit yang mencurigakan pada titik masa laluan klinikal yang mana ujian yang dinilai akan diguna dalam praktik. Penyelidikan lanjutan juga diperlukan untuk menilai sama ada senarai semak untuk membantu diagnosis pemeriksaan visual sahaja boleh memperbaiki ketepatan dan mengenal pasti perbezaan ketepatan menurut kepakaran klinisian yang membuat penilaian itu. Kajian dermoskopi di penjagaanprimer dengan reka bentuk baik diperlukan, dan cara terbaik untuk latihan dermoskopi perlu dikenal pasti.
Ulasan ujian diagnosis kanser kulit telah dikongsi dengan Institut Kecemerlangan Kesihatan dan Penjagaan Nasional (NICE) untuk memaklumkan kemas kini garis panduan Melanoma NICE, yang terakhir dikemas kini pada 2015.
Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipala). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.