Apakah cara terbaik untuk menyokong resiliens dan kesejahteraan mental dalam kalangan profesional penjagaan kesihatan barisan hadapan semasa dan selepas pandemik? Apa itu 'resiliens'?
Bekerja sebagai profesional penjagaan kesihatan atau sosial 'barisan hadapan' semasa pandemik global penyakit, seperti COVID-19, boleh menjadi sangat tertekan. Lama-kelamaan, kesan negatif tekanan boleh menyebabkan masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan keresahan, yang seterusnya boleh mempengaruhi hubungan kerja, keluarga dan sosial lain. ‘Resiliens’ adalah kemampuan untuk mengatasi kesan negatif tekanan dan mengelak masalah kesihatan mental dan kesannya yang lebih meluas. Penyedia penjagaan kesihatan boleh mengguna pelbagai strategi (intervensi) untuk menyokong resiliens dan kesejahteraan mental profesional penjagaan kesihatan barisan hadapan. Ini termasuk intervensi berasaskan kerja, seperti mengubah rutin atau memperbaik peralatan; atau intervensi sokongan psikologi, seperti kaunseling.
Apa yang penulis ulasan ingin tahu?
Pertama, mereka ingin tahu kejayaan sebarang intervensi dalam kalangan profesional kesihatan barisan hadapan memperbaik resiliens atau kesejahteraan mental. Kedua, para penulis ingin tahu apa yang memudahkan (fasilitator) atau menyukarkan (halangan) untuk menyampaikan intervensi-intervensi ini.
Mesej utama
Para penulis tidak menemui bukti tentang berapa baik pelbagai strategi berfungsi untuk menyokong resiliens dan kesejahteraan mental pekerja barisan hadapan. Mereka menemui bukti terhad tentang perkara-perkara yang dapat membantu kejayaan penyampaian intervensi-intervesi. Kajian penyelidikan yang dirancang dengan betul untuk mencari cara terbaik menyokong resiliens dan kesejahteraan mental pekerja penjagaan kesihatan dan sosial sangat diperlukan.
Pengarang utama ulasan ini Dr Alex Pollock menjelaskan, “Adalah jelas pekerja penjagaan kesihatan barisan hadapan harus menghadapi tekanan yang sangat besar ketika bekerja dalam sebarang wabak penyakit berjangkit, dan ini jelas memberi impak negatif terhadap kesihatan mental mereka. Walaupun begitu, masih kurang penyelidikan berkualiti tinggi tentang cara terbaik untuk menyokong kesihatan mental pekerja-pekerja ini. Dengan pandemik COVID-19 yang berlanjutan, timbul peluang untuk penyelidikan yang terancang dengan baik untuk menentukan cara terbaik untuk menyokong kesihatan mental pekerja barisan hadapan - saya sangat berharap kajian penyelidikan ini diutamakan. Walaupun kami temui kurang penyelidikan berkualiti tinggi dalam ulasan ini, perlu diperhatikan fokus kami hanya terhad kepada bukti yang berkaitan dengan profesional penjagaan kesihatan yang bekerja semasa wabak / pandemik penyakit berjangkit. Adalah jelas kami perlu memperluas skop ulasan ini dan beralih kepada bukti penyakit-penyakit lain dan krisis kesihatan. Kami juga perlu mengumpul bukti tentang cara terbaik untuk mempersiapkan orang untuk berkerja di barisan hadapan. Akhirnya, penting untuk diingat majoriti orang yang bekerja di barisan hadapan bukanlah profesional penjagaan kesihatan, tetapi, misalnya, porter atau pekerja pembersihan. Kami perlu pastikan penyelidikan masa depan menangani cara-cara untuk menyokong tenaga kerja yang lebih luas ini."
Apa pasukan penulis lakukan?
Mereka mencari pangkalan data perubatan untuk sebarang jenis kajian yang menyelidik intervensi yang direka bentuk untuk menyokong resiliens dan kesejahteraan mental dalam kalangan profesional penjagaan kesihatan yang bekerja di barisan hadapan semasa wabak penyakit berjangkit. Wabak penyakit harus diklasifikasi oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai epidemik atau pandemik dan berlaku dari tahun 2002 dan seterusnya (tahun sebelum wabak sindrom pernafasan akut (SARS) teruk).
Apa yang mereka temui?
Enam belas kajian relevan dikenal pasti. Kajian-kajian ini berasal dari wabak penyakit yang berbeza - dua dari SARS; sembilan dari Ebola; satu dari sindrom respiratori Timur Tengah (MERS); dan empat dari COVID-19. Kajian-kajian tersebut melihat intervensi di tempat kerja yang melibatkan sokongan psikologi (misalnya, kaunseling atau berjumpa dengan psikologi) atau intervensi berdasarkan kerja (misalnya, memberi latihan, atau menukar rutin).
Objektif 1: satu kajian menyiasat berapa baik intervensi berfungsi. Kajian ini dilakukan sejurus selepas wabak Ebola, dan menyiasat sama ada kakitangan yang berlatih untuk memberi 'pertolongan cemas psikologi' kepada orang lain (seperti pesakit dan ahli keluarga mereka) yang merasa kurang 'kelesuan'. Para penulis bimbang tentang keputusan kajian yang dilaporkan dan beberapa kaedahnya. Ini bermaksud keyakinan bukti adalah sangat rendah dan para penulis tidak dapat menyatakan sama ada intervensi tersebut membantu atau tidak.
Objektif 2: semua 16 kajian memberi beberapa bukti tentang halangan dan fasilitator untuk melaksanakan intervensi. Pasukan penulis menemui 17 penemuan utama dari kajian-kajian ini. Mereka tidak berkeyakinan tinggi terhadap sebarang penemuan dan berkeyakinan sederhana dalam enam penemuan dan keyakinan rendah hingga sangat rendah dalam 11 penemuan.
Para penulis sederhana yakin dua faktor berikut adalah penghalang perlaksanaan intervensi: pekerja barisan hadapan, atau organisasi tempat mereka bekerja, tidak menyedari sepenuhnya apa yang mereka perlukan untuk menyokong kesejahteraan mental mereka; dan kekurangan peralatan, masa kakitangan atau kemahiran yang diperlukan untuk intervensi. Penulis cukup yakin bahawa tiga faktor berikut adalah cara fasilitator untuk melaksanakan intervensi: intervensi yang dapat disesuaikan untuk kawasan setempat; mempunyai komunikasi yang berkesan, baik secara formal dalam organisasi dan rangkaian tidak rasmi atau sosial; dan mempunyai persekitaran pembelajaran yang positif, selamat dan menyokong untuk profesional penjagaan kesihatan barisan hadapan. Penulis sederhana yakin pengetahuan dan kepercayaan yang dimiliki oleh profesional penjagaan kesihatan barisan hadapan tentang intervensi dapat membantu atau menghalang perlaksanaan intervensi.
Khamis, 5 November 2020
Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.