Model risiko kanser payudara kurang memuaskan untuk wanita dengan sejarah keluarga

Para Penyelidik dari Trinity College Dublin, Hospital St James dan institusi yang berkolaborasi membuat ulasan paling komprehensif setakat ini terhadap alat yang diguna untuk menganggar risiko kanser payudara dalam kalangan wanita dengan sejarah keluarga penyakit ini.

Penemuan yang dibentang di Mesyuarat Tahunan Persatuan Onkologi Klinikal Amerika (ASCO) menunjukkan walaupun beberapa model risiko yang lazim diguna menunjukkan prestasi yang agak baik, tiada satu pun yang sangat tepat dalam mengenal pasti wanita mana yang akan terus mendapat kanser payudara.

Wanita dengan sejarah keluarga kanser payudara sering ditawarkan penilaian mereka sendiri risiko untuk mendapat penyakit ini. Sebagai sebahagian daripada penilaian ini, doktor menggunakan model statistik yang meramal kemungkinan wanita mendapat kanser payudara di masa hadapan. Ini penting kerana ia membantu membimbing keputusan tentang saringan dan pencegahan. Keputusan ini mungkin termasuk bila perlu memulakan mamogram atau imbasan MRI, sama ada untuk menawarkan ubat-ubatan yang mengurangkan risiko, atau, dalam beberapa kes, sama ada pembedahan pencegahan untuk membuang payudara, harus dipertimbangkan. 

Sehingga kini, terdapat sedikit kejelasan tentang model mana yang paling sesuai untuk kumpulan ini.

Ulasan Cochrane menganalisis 45 kajian yang menilai model risiko kanser payudara dalam kalangan wanita dengan sejarah keluarga kanser payudara. Para penyelidik menilai sejauh mana model tersebut meramal risiko kanser payudara di masa hadapan dengan tepat. Empat model telah dikaji dengan kerap untuk membolehkan analisis terperinci: Gail (BCRAT), Tyrer-Cuzick (IBIS), BOADICEA dan BRCAPRO.

Sesetengah model mengatasi yang lain tetapi masih ada ruang untuk penambahbaikan

Apabila melihat risiko kanser payudara di masa hadapan, ulasan tersebut mendapati model BOADICEA menunjukkan prestasi keseluruhan yang paling seimbang dalam kalangan wanita dengan sejarah keluarga kanser payudara. Model Gail dan BOADICEA menghasilkan anggaran risiko yang secara amnya hampir dengan bilangan kanser payudara yang sebenarnya berlaku dalam kajian. Walau bagaimanapun, model Tyrer-Cuzick cenderung untuk membuat anggaran berlebihan risiko, manakala BRCAPRO cenderung untuk kurang menganggar risiko.

Apabila para penyelidik mengkaji sejauh mana model dapat membezakan antara wanita yang mendapat dan tidak mendapat kanser payudara – yang dikenali secara teknikal sebagai ketepatan berdiskriminasi – semua model hanya menunjukkan prestasi sederhana, tetapi tiada satu pun yang menghampiri ketepatan yang diperlukan untuk penjagaan peribadi sepenuhnya.

Penulis utama Dr Sarah McGarrigle menjelaskan penemuan tersebut mengetengahkan nilai dan batasan model-model ini dalam meramal risiko.

"Alat-alat ini telah diguna secara meluas dalam amalan klinikal, dan kini kami mempunyai gambaran yang lebih jelas tentang ketepatannya dalam kalangan wanita dengan sejarah keluarga kanser payudara," katanya. "Penemuan kami mencadangkan alat-alat ini bernilai dalam menyokong penilaian risiko dan ia sangat menggalakkan, tetapi perjalanan kami masih jauh.”

Menurut penulis, penemuan ini menyokong usaha berterusan untuk meningkatkan penilaian risiko kanser payudara peribadi, terutama bagi wanita dengan sejarah keluarga yang kuat penyakit ini.

"Bagi wanita yang berisiko tinggi berdasarkan sejarah keluarga kanser payudara, memahami risiko peribadi mereka boleh membentuk beberapa keputusan paling penting dalam hidup mereka, seperti sama ada untuk menjalani pemeriksaan dengan lebih kerap dan sama ada untuk mempertimbang rawatan pencegahan," jelas Profesor Elizabeth Connolly, penulis kanan kajian itu. "Adalah sangat penting alat yang diguna untuk membimbing perbualan tersebut adalah setepat mungkin. Kami belum sampai ke tahap itu lagi, tetapi sedang membuat progres, dan ulasan ini membantu menunjukkan hala tuju ke hadapan."

Kebanyakan kajian-kajian yang menilai model-model ini berkualiti rendah atau tidak jelas, lantas mengehadkan keyakinan terhadap sesetengah keputusan.

"Kajian yang lebih berkualiti dan penambahbaikan berterusan model-model ini diperlukan supaya wanita dan doktor boleh membuat keputusan berdasarkan maklumat yang paling tepat," tambah McGarrigle. 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Cochrane Malaysia. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Baca versi Bahasa Inggeris di sini.