Ulasan Cochrane terbaharu menemui pelabelan kalori makanan pada menu dan produk menyebabkan orang memilih kalori yang agak lebih rendah.
Pasukan penyelidikan, yang diketuai oleh para saintis dari UCL, Universiti Bath Spa, Universiti Cambridge dan Universiti Oxford, meneliti bukti daripada 25 kajian tentang impak pelabelan kalori kepada pemilihan dan penggunaan makanan. Mereka menemui label kalori di pasar raya, restoran dan kedai makanan yang lain membawa pengurangan kecil dalam kalori yang dipilih dan dibeli oleh orang. Pengurangan purata adalah 1.8%, yang bersamaan dengan 11 kalori dalam hidangan 600 kalori - atau kira-kira dua biji badam.
Perubahan kecil harian dalam penggunaan tenaga boleh memberi kesan bermakna jika dapat dikekalkan dalam jangka masa panjang, dan kebanyakan orang dewasa cenderung untuk menambah berat badan sambil umur meningkat. Laporan kerajaan UK menganggarkan 90% yang berumur 20-40 tahun di England akan menambah berat sehingga 9 kg dalam masa sepuluh tahun, dan pengurangan penggunaan 24 kalori tenaga harian setiap hari - kira-kira 1% daripada pengambilan yang disarankan untuk orang dewasa - akan mencegah peningkatan tersebut.
"Ulasan kami mencadangkan pelabelan kalori membawa kepada pengurangan sederhana kalori yang dibeli dan digunakan oleh orang," kata pengarang kanan Dr Gareth Hollands dari Institut Penyelidikan Sosial UCL, juga Felo Pelawat Kanan di Universiti Cambridge.
"Hal ini mungkin memberi sedikit impak kepada kesihatan di peringkat populasi, tetapi pelabelan kalori pastinya bukan penyelesai masalah. Versi terdahulu ulasan ini dari 2018 melaporkan kesan yang berpotensi lebih besar, tetapi tidak konklusif kerana terdapat ketidakpastian yang ketara dalam keputusan-keputusan. Kemas kini ini telah mengurangkan ketidakpastian, dan kami kini boleh menyatakan dengan yakin terdapat kecenderungan kesan yang nyata, walaupun sederhana.”
Kemas kini terbaharu ini mengumpul bukti daripada 25 kajian dengan penekanan kukuh persekitaran sebenar, dengan 16 daripada kajian-kajian dikendalikan di restoran, kafeteria, dan pasar raya. Kajian-kajian yang dianalisis melibatkan lebih 10,000 peserta daripada negara berpendapatan tinggi termasuk Kanada, Perancis, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Hanya dua daripada kajian-kajian menyertakan minuman beralkohol dan keputusan mereka sangat tidak pasti untuk membuat sebarang kesimpulan yang bermakna.
“Ulasan ini mengukuhkan bukti pelabelan kalori boleh membawa kepada pengurangan kecil tetapi konsisten dalam pemilihan kalori,” kata pengarang utama Dr Natasha Clarke daripada Universiti Bath Spa, yang memulakan projek di Universiti Cambridge.
“Walaupun impak keseluruhan terhadap makanan individu atau pembelian makanan mungkin sederhana, bukti tersebut adalah teguh. Kesan kumulatif pada tahap populasi boleh membuat sumbangan yang bermakna kepada kesihatan awam, terutamanya pelabelan kalori yang menjadi lebih meluas.”
Walaupun pelabelan kalori dilihat menjanjikan, kebimbangan masih kekal tentang kemungkinan impak terhadap orang yang berisiko gangguan pemakanan. Ulasan ini mengambil maklum kekurangan data tentang kemungkinan mudarat dalam kajian-kajian yang disertakan, termasuk impak kesihatan mental, dan para pengarang syorkanan penyelidikan masa depan untuk menilainya.
“Pelabelan kalori untuk mengurangkan kalori yang diambil oleh orang kekal dipertikai, kedua-dua dari segi sama ada ia memberi sebarang kesan, dan sama ada potensi manfaat melebihi potensi risiko atau mudarat,” kata Gareth. “Kami kini boleh menyatakan dengan lebih yakin ia berpotensi memberi kesan kecil yang bermakna terhadap pilihan-pilihan makanan orang. Pelabelan mungkin punyai peranan berguna, seelok-eloknya bersama set pendekatan yang lebih meluas untuk memberi lebih tanggungjawab terhadap industri berbanding individu, seperti cukai, sekatan pemasaran, dan formulasi semula. Walau bagaimanapun, kami tidak seharusnya mengharapkan keajaiban, dan sebarang pelaksanaan pelabelan kalori mesti mengimbangi banyak potensi impak positif dan negatif dasar-dasar tersebut.”

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).