Ulasan Cochrane yang dikemas kini telah mendapati faedah kesihatan pergigian dengan menambahkan fluorida ke dalam air minuman mungkin kini lebih kecil berbanding dengan sebelum ubat gigi fluorida tersedia secara meluas.
Pasukan penyelidik dari Universiti Manchester, Dundee dan Aberdeen mengulas bukti daripada 157 kajian yang membandingkan komuniti yang mempunyai penambahan fluorida kepada bekalan air mereka dengan komuniti yang tidak mempunyai fluorida tambahan dalam air mereka. Mereka mendapati bahawa faedah pemfluoridaan telah merosot sejak tahun 1970-an, apabila ubat gigi fluorida menjadi lebih meluas.
Kajian kontemporari dijalankan di negara berpendapatan tinggi. Kesan pemfluoridaan air komuniti di negara berpendapatan rendah dan sederhana adalah kurang jelas, kerana ketiadaan penyelidikan terkini.
Fluorida, yang digunakan dalam kebanyakan ubat gigi dan varnis yang tersedia secara komersial, diketahui dapat mengurangkan kerosakan gigi. Kerajaan di banyak negara telah menambah fluorida kepada bekalan air minuman untuk meningkatkan kesihatan mulut populasi, walaupun terdapat pandangan berbeza sama ada ini adalah tindakan yang betul untuk diambil.
Apabila mentafsir bukti, adalah penting untuk memikirkan konteks yang lebih luas dan cara masyarakat dan kesihatan berubah dari semasa ke semasa," kata pengarang bersama Anne-Marie Glenny, Profesor dalam Penyelidikan Sains Kesihatan di Universiti Manchester. “Kebanyakan kajian mengenai pemfluoridaan air berusia lebih 50 tahun, sebelum ketersediaan ubat gigi fluorida. Kajian kontemporari memberi kita gambaran yang lebih relevan tentang faedahnya sekarang.
Keputusan daripada kajian yang dijalankan selepas 1975 menunjukkan bahawa permulaan skim pemfluoridaan air boleh mengurangkan kerosakan gigi susu kanak-kanak. Analisis kajian ini, meliputi sejumlah 2,908 kanak-kanak di UK dan Australia, menganggarkan bahawa pemfluoridaan boleh membawa kepada purata 0.24 kurang gigi susu rosak bagi setiap kanak-kanak. Walau bagaimanapun, anggaran kesannya datang dengan ketidakpastian, bermakna ada kemungkinan bahawa skim yang terkini tidak mempunyai manfaat. Sebagai perbandingan, analisis kajian dengan 5,708 kanak-kanak yang dijalankan pada tahun 1975 atau lebih awal menganggarkan bahawa pemfluoridaan mengurangkan bilangan gigi susu yang rosak, secara purata sebanyak 2.1 setiap kanak-kanak.
Kajian kontemporari yang sama (yang dijalankan selepas 1975) juga melihat kepada bilangan kanak-kanak yang tidak mengalami kerosakan pada gigi susu mereka. Analisis mendapati bahawa pemfluoridaan boleh meningkatkan bilangan kanak-kanak tanpa kerosakan gigi sebanyak 3 peratusan mata, sekali lagi dengan kemungkinan tiada faedah.
Ulasan ini hanya dapat membuat kesimpulan tentang kesan pada gigi kanak-kanak, dengan penemuan yang sama merentasi kedua-dua gigi susu dan kekal. Tiada kajian dengan orang dewasa yang memenuhi kriteria ulasan.
Bukti menunjukkan bahawa pemfluoridaan air mungkin sedikit mengurangkan kerosakan gigi pada kanak-kanak," kata pengarang bersama Dr Lucy O'Malley, Pensyarah Kanan dalam Penyelidikan Perkhidmatan Kesihatan di Universiti Manchester. "Memandangkan manfaat berkurangan dari semasa ke semasa, sebelum memperkenalkan skim pemfluoridaan baharu, pemikiran yang teliti perlu diberikan kepada kos, kebolehterimaan, kebolehlaksanaan dan pemantauan berterusan.
Penyokong mencadangkan bahawa salah satu faedah utama pemfluoridaan air adalah mengurangkan ketidaksamaan kesihatan mulut. Ulasan yang dikemas kini ini berusaha untuk meneliti soalan ini dan tidak menemui bukti yang mencukupi untuk menyokong dakwaan ini, walaupun ini tidak semestinya bermakna tiada kesan.
Penemuan ulasan ini bersesuaian dengan kajian pemerhatian baru-baru ini termasuk kajian LOTUS, yang membandingkan rekod kesihatan pergigian tanpa nama dengan status pemfluoridaan air untuk 6.4 juta orang dewasa dan remaja di England antara 2010 dan 2020. Orang di kawasan berfluorida memerlukan rawatan pergigian invasif yang lebih sedikit tanpa kesan ketara terhadap ketidaksamaan.
"Bukti kontemporari menggunakan metodologi penyelidikan yang berbeza menunjukkan bahawa faedah air berfluorida telah merosot dalam beberapa dekad kebelakangan ini, " kata Tanya Walsh, Profesor dalam Penilaian Penjagaan Kesihatan di Universiti Manchester, pengarang bersama dalam ulasan Cochrane dan kajian LOTUS. “Ketidaksamaan kesihatan mulut adalah isu kesihatan awam yang mendesak yang memerlukan tindakan. Pemfluoridaan air hanyalah satu pilihan dan tidak semestinya yang paling sesuai untuk semua populasi.”
"Walaupun pemfluoridaan air boleh membawa kepada sedikit penambahbaikan dalam kesihatan mulut, ia tidak menangani isu asas seperti pengambilan gula yang tinggi dan tingkah laku kesihatan mulut yang tidak mencukupi," kata pengarang bersama Janet Clarkson, Profesor dalam Keberkesanan Klinikal, Universiti Dundee. "Kemungkinan besar mana-mana program pencegahan kesihatan pergigian perlu mengambil pendekatan pelbagai aspek, pelbagai agensi.”
Nota kepada editor:
'Pemfluoridaan air untuk pencegahan karies gigi' akan diterbitkan dalam Pangkalan Data Ulasan Sistematik Cochrane. ia akan tersedia di url berikut : https://www.cochranelibrary.com/cdsr/doi/10.1002/14651858.CD010856.pub3
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Harry Dayantis, Ketua Komunikasi, Cochrane
hdayantis@cochrane.org, + 44(0) 7870 600169
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Kuala Lumpur). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rumc.edu.my