
Pemulihan jantung berasaskan senaman mengurangkan kemasukan ke hospital sebanyak satu pertiga dan risiko serangan jantung sebanyak lebih daripada satu perempat, serta kekal bermanfaat dalam jangka masa panjang, menurut ulasan Cochrane yang baharu.
Bukti tersebut juga mencadangkan program pemulihan jantung berasaskan rumah yang lebih baharu dan disokong secara digital boleh sama berkesannya dengan perkhidmatan berasaskan pusat tradisional.
Penyakit jantung koronari adalah punca kematian paling lazim di seluruh dunia. Ia boleh membawa kepada sakit dada, serangan jantung, atau strok. Program pemulihan jantung disyorkan secara meluas selepas kejadian jantung, dengan senaman diiktiraf sebagai komponen teras.
Intervensi yang berkesan dan murah
Para penyelidik, yang diketuai oleh Universiti Glasgow, menganalisis 107 kajian rawak terkawal yang melibatkan 26,886 orang dengan penyakit jantung koronari. Kebanyakan peserta pernah mengalami serangan jantung, menjalani prosedur jantung atau mengalami sejenis sakit dada. Wanita kurang diwakili, hanya membentuk 17% peserta walaupun terlibat dalam kebanyakan kajian.
Keputusan keseluruhan menunjukkan, berbanding tanpa program, pemulihan jantung berasaskan senaman mengurangkan serangan jantung sebanyak 28%, mengurangkan kemasukan ke hospital semua punca sebanyak 35%, dan mungkin mengurangkan kematian.
Peserta juga melaporkan fungsi fizikal yang lebih baik, kesihatan umum, kecergasan, fungsi sosial dan kesejahteraan mental. Manfaat ini dilihat merentasi beberapa ukuran kualiti hidup yang disahkan.
"Ulasan kami menunjukkan pemulihan jantung berasaskan senaman boleh mengurangkan risiko serangan jantung dan kemasukan ke hospital di samping membantu orang ramai kembali kepada kehidupan yang lebih sihat dan aktif," kata Dr Grace Dibben, penulis utama dari Universiti Glasgow.
"Ramai orang hilang keyakinan selepas serangan jantung atau prosedur jantung dan bimbang aktiviti fizikal mungkin berbahaya," tambah Dr Dibben. "Senaman yang ditetapkan dengan sewajarnya bukan sahaja selamat untuk kebanyakan pesakit, tetapi boleh memainkan peranan penting dalam pemulihan dan kesihatan jantung jangka panjang.”
Bukti yang semakin meningkat untuk model pemulihan moden
Kemas kini baharu ini menyertakan 22 kajian baharu yang menampilkan hampir 3,500 peserta, menggabungkan data yang lebih terkini ke dalam keputusan akhir. Kajian-kajian yang lebih terkini sertakan peserta dari negara berpendapatan rendah dan sederhana (LMIC) serta menguji program pemulihan jantung berasaskan rumah dan digital.
"Ulasan ini mengesahkan senaman adalah alat yang hebat untuk meningkatkan kesihatan keseluruhan penghidap penyakit jantung koronari," kata Profesor Rod Taylor, penulis kanan dari Universiti Glasgow. "Dengan menambah kajian yang lebih baharu pada kemas kini ini, kami dapat melihat program digital berfungsi dengan baik serta program secara bersemuka, yang benar-benar mengubah keadaan di sini. Pendekatan ini mungkin membantu kita menjangkau orang yang tidak dapat menghadiri perkhidmatan berasaskan pusat tradisional.”
Beberapa kajian dalam kemas kini ini telah dijalankan di negara-negara kurang upaya (LMIC), yang mengkaji pelbagai jenis senaman di negara-negara yang berbeza; contohnya, yoga di India dan tai chi di China. Para penulis mencadangkan ini bukan sahaja meningkatkan kerelevanan asas bukti, tetapi sesetengah populasi mungkin mendapati pemulihan yang dibina berdasarkan bentuk senaman tradisional dan budaya lebih menarik daripada pemulihan berasaskan mesin konvensional.
Penggunaan yang rendah walaupun terdapat manfaat yang disokong oleh bukti
Walaupun bukti kukuh yang menyokong pemulihan jantung, penggunaannya masih menjadi cabaran dalam banyak sistem penjagaan kesihatan. Pelbagai garis panduan, termasuk NICE di UK, mengiktiraf pemulihan jantung sebagai komponen utama selepas kejadian jantung. Walau bagaimanapun, pemulihan jantung masih kurang digunakan secara meluas dengan kadar penyertaan yang umumnya rendah. Menurut laporan Audit Pemulihan Jantung Kebangsaan (NACR) 2025, kadar pemulihan jantung bagi pesakit dengan sindrom koronari akut adalah 44.5% di England dan 71.3% di Wales.
Para penulis menjelaskan bahawa ramai pesakit menghadapi halangan untuk menghadiri program berasaskan hospital tradisional, termasuk komitmen kerja, cabaran pengangkutan dan tanggungjawab penjagaan. Ini boleh memberi kesan yang tidak seimbang kepada kumpulan seperti wanita, warga emas dan komuniti yang kurang bernasib baik.
Pemulihan jantung berasaskan senaman adalah intervensi yang murah dan berkesan kos, tetapi buat masa ini ia kekurangan dana dan tidak diutamakan.
Kami mahu pilihan ini tersedia untuk semua orang. Penyelidikan baharu ini menunjukkan anda tidak perlu pergi ke pusat pemulihan untuk mendapat manfaat – anda boleh menyertai dari rumah dan masih melihat manfaatnya.
– Dr Grace Dibben, University of Glasgow.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini.
Diterjemah oleh Cochrane Malaysia. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).